Ramadhan 1429 Hijrah telah memasuki hari keempat. Malam ini pula masuk yang kelima dalam ibadah sunat tarawih.
Pernahkah kita terfikirkan bahawa setiap kali melalui Ramadhan fikiran kita lebih tertumpu tentang hal-hal persiapan masak berbuka puasa, moreh, sahur, buat baju raya dan beli tiket balik kampung.
Kalau setiap kali berulangnya tahun Masihi, kita mudah mengingati bahawa 31 Ogos itu adalah hari kemerdekaan (sebagai contoh, dan tarikh2 lain juga). Namun itulah sebagai manusia biasa kita mungkin alpa terhadap peristiwa-peristiwa lain di bulan Ramadhan. Akhirnya berlalulah Ramadhan dengan kesibukan kita bekerja dan beribadat puasa serta tarawih tanpa sempat kita mengimbas peristiwa-peristiwa yang satu masa dahulu telah berlaku dan menjadikan kita sebagaimana apa yang kita ada pada hari ini.
Contohnya, setiap kali masuknya Ramadhan jarang-jarang kita bersedia untuk mengingati bahawa 2 Ramadhan 2H adalah hari bersejarah berlakunya peperangan pertama dalam survival umat Islam iaitu Perang Badar. Sejarah askar Islam seramai 313 orang di bawah pimpinan Rasulullah SAW bertempur dengan tentera Arab Musyrikin itu telah ‘biasa kita dengar‘ namun begitu juga halnya, kita dengar ia sebagai ‘sesuatu yang biasa‘ sahaja.
Itu kerana kita rasakan ia sebagai sesuatu yang jauh dari kita (kerana kita sekadar mendengar cerita). Namun kalau kita ‘bawa’ diri kita sebagai ’sebahagian dari perisitiwa itu’ tentu kita tidak terasa jauh. Misalnya, ambil inisiatif menghadiahkan pahala bacaan surah Yassin sama ada sendiri atau majlis berjemaah kepada askar-askar Islam dalam peperangan itu khasnya para syuhada. Sedikit sebanyak kita rasa bagaikan hampir dengan perisitwa itu. Silap-silap, harus menitis airmata semasa membaca surah Yassin jika benar-benar menghayati bagaimana peperangan itu berlaku; membayangkan mereka berperang dalam letih berpuasa kerana soal hidup atau matinya perjuangan menyebarkan syiar Islam masa itu.
Dengan izin Allah mereka berjaya maka sampailah syiar Islam itu ke bumi Malaysia beberapa ratus tahun kemudiannya. Kalau ditakdirkan sebaliknya, siapa agaknya kita sekarang?
Banyak sebenarnya perisitwa perang dalam bulan Ramadhan, satu lagi ialah Perang Tabuk yang juga dikenali sebagai perang tentera berjalan kaki dan perang tentera yang dalam kesusahan (kerana kepanasan dan tiada bekalan air). Peperangan ini dicatakan sebagai bermula sejak bulan Rejab lagi. Kalau kita bayangkan .. Rejab, Syaaban dan masuk Ramadhan, hampir tiga bulan semuanya. Seramai 30,000 tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW mempertahankan utara Madinah dari kemungkinan diserang Rom.
Itulah perang pertama antara umat Islam dan Kristian di Eropah yang pada masa itu dikenali sebagai Rom. Andaikan pada hari ini negara-negara Eropah yang kita biasa dengar seperti UK, Jerman, Spain, Portugal, Itali dan sebagainya (katakan termasuk Amerika juga) bergabung dan berperang dengan negara-negara Islam, salah satu angkatan mereka menyerang Malaysia. Bagaimana, adakah semangat kita terasa sekuat tentera Islam Perang Tabuk atau terasa lemah sendi memikirkannya?
Namun dalam Perang Tabuk itu, tentera Islam telah berjaya menyekat kekuasaan Kaisar Rom dan berakhir dengan kejayaan aspek ekonomi dan politik apabila negeri2 dan kawasan yang dijajah Rom sebelum itu telah berani untuk beralih ke bawah naungan kerajaan Islam.
Begitu juga pembukaan kota Makkah selepas Perjanjian Hudaibiyah dilanggar oleh kaum Arab Musyrikin. Nabi memimpin tentera Islam dari Madinah untuk mengambil semula Kota Makkah. Pada masa itu Khalid al-Walid telah pun memeluk Islam dan memimpin satu unit pasukan memasuki Makkah dan mengalami sedikit pertempuran ditentang sahabat karib lamanya Ikrimah Abu Jahal. Mampukah kita berdepan dengan sahabat karib seperti ujian yang dihadapi Khalid itu?
Pada hari ke sepuluh nanti bersamaan Rabu 10 Ogos jangan lupa untuk merenung seketika detik ini, kerana itulah tarikh peristiwa ini berlaku 10 Ramadhan 6 H.
Dan lama selepas zaman Nabi, bulan Ramadhan juga adalah bulan berlakunya peristiwa Laksamana Tariq bin Ziad memimpin angkatan laut Islam (navy) mendarat di Andalusia (Spain) lalu membakar semua kapal bagi membulatkan tekad askar-askar Islam agar tidak berbelah bahagi untuk menyerang kerana tidak ada jalan pulang lagi. Dengan izin Allah, serangan itu berjaya dan Islam bertapak di Spain selama 700 tahun.
Di ambang Aidil Fitri nanti iaitu pada 28 Ramadhan, dalam kesibukan kita membuat kuih raya, memasang langsir baru, menjahit baju raya yang ditempah pelanggan dan menservis kereta balik kampung .. janganlah dilupakan tarikh bersejarah perisitwa pembukaan Andalusia yang telah berlaku 1337 tahun yg lalu iaitu pada 28 Ramadhan 92 H.
Kerana, itulah bermula saatnya bangsa Eropah menerima perpindahan ilmu moden ; maths, perubatan, arkitektur, ketenteraan, saliran, perbandaran, sosiologi, kejuruteraan, astronomi, farmasi, kimia, fizik dan lain-lain sebagainya secara langsung dari umat Islam melalui Andalusia hinggalah akhirnya Fernando dan Isabella pada Rabiul Awal 897H mengusir penguasaan Islam keluar dari Spain dan tiada lagi syiar Islam di sana hatta suara azan pun tidak lagi kedengaran dan masjid ditukar menjadi gereja.
Renung-renungkanlah. Ber-muhasabah-lah. Selain beramal ibadat dalam Ramadhan ini dan bergembira di Syawal nanti, jangan dilupakan peristiwa-peristiwa yang telah sekian lama berlaku tetapi kesannya terhadap kita masih ada hingga hari ini. Empayar berusia ratusan tahun lagikan musnah kerana ‘kuasa’. Apalagi Malaysia, ‘baru’ sahaja berusia 51 tahun, itupun sudah celaru dengan perebutan kuasa (politik). Kemusnahan dan kematian tak menunggu usia, untuk manusia dan juga negara.
______________________________________________________________
Untuk mendalami lagi :
Lihat pautan mengenai peristiwa dalam bulan Ramadhan, Perang Tabuk, Perang Badar dan Andalusia.
Bacaan lain mengenai Andalusia :
Ahmad Zaki Ibrahim (2008). Sorotan Sejarah Kecemerlangan Tamadun Islam Di Andalusia (Sepanyol) Dan Kedudukan Sebagai Jambatan Kecemerlangan Tamadun Eropah, dlm Mohammad Azizan Bin Sabjan Set, Prosiding Seminar Antara Bangsa Andalusia 1300 Tahun, Menyingkap Rahsia Kegemilangan Tamadun Barat, Jabatan Mufti Pulau Pinang, Malaysia (Hlmn 88-107).
Filed under: Muhasabah, Puasa n' Raya, Sejarah , Andalusia, Badar, Makkah, Ramadhan, Rasulullah, Tabuk
Di zaman dahulu.. bulan Puasa pembakar semangat juang.. zaman sekrang bulan puasa bakar kuih jer utk hari raya..
Salaam Kasawari,
marilah kita kembali kepada fitrah asalnya
[...] sejarah yang tercipta dalam Ramadhan [...]
mulia sguh para sahabat n pengikut rasulullah zmn dulu….
ya sungguh mulia