Di Raya Ini.. Atuk Opah Dah Tak Ada

‘Opah dah takda’ itulah ungkapan adik bongsu saya melalui panggilan telefon petang Ahad 21 Ramadhan.

Makin ke penghujung, makin mencabar perjalanan Ramadhan tahun ini. Minggu lepas Pak Da (sebelah isteri), dua hari kemudiannya berita kehilangan sahabat yang amat dikasihi Khairil Hisyam Ahmad yang amat menyentap perasaan. Dan hari ini sampailah pula masanya untuk opah dijemput pulang.

Abah ? Jelas dia cuba berselindung di sebalik ketabahan diri walaupun saya tahu dia tidak dapat membendung kesedihannya.

Sementara berbuka puasa dalam keadaan serba sederhana, kami adik beradik dan ipar duai berbincang. Mujur saja semuanya berkumpul iftar di rumah abah petang itu. Senang keputusan dicapai. Masing-masing sepakat ambil cuti. Selepas berkemas ala kadar, kami bertolak balik ke Bendang Panjang, Kuala Kangsar, Perak. Abah dan emak naik kereta saya. Seboleh-bolehnya saya cuba mengelakkan perbualan yang menjurus ingatan terhadap opah walaupun saya tahu itulah perkara yang sedang bermain difikiran semua orang.

Laluan perjalanan juga sedikit sukar di dalam hujan lebat. Pada kala tiada perbualan, saya melayan perasaan seorang diri dan memutar kembali ingatan silam.

21 tahun dulu (1987) atuk pulang menyahut panggilan Illahi. Jauh benar beza masanya dengan opah. Masa itu umur arwah atuk 65 tahun.

Saya masih ingat lagi, abah datang mengambil saya di sekolah pada waktu petang. Malangnya pada masa itu saya sedang didenda berdiri atas kerusi oleh cikgu Bahasa Inggeris, Encik Megat namanya. Entah apa halnya saya pun tak ingat tapi lebih dari separuh kelas sedang berdiri atas kerusi pada masa itu. Ketika berjalan bersama abah, saya takut juga kalau-kalau ditanya tentang denda itu. Tapi abah sebaliknya berkata ‘atuk sakit tenat, kita balik kampung’.

Terus hati dihimpit sayu. Masih saya ingat lagi, pada masa itu baru sahaja lebih kurang sebulan atuk dan opah balik ke Kuala Kangsar selepas datang menziarahi kami di Kuala Lumpur. Ketika berada di rumah kami, atuk menyediakan hidangan nasi tomato ; resepi gubahannya yang lazat. Sampai sekarang pun kalau menjamah nasi tomato saya akan teringatkan atuk, kerana setakat ini belum lagi saya terjumpa nasi tomato yang sama rasanya dengan masakan atuk.

Kalau hari raya pula, atuk buat laksa. Laksa Kuala lain dengan laksa penang walaupun lebih kurang sama dari segi rupanya. Laksa Kuala dibuat dari tepung gandum. Kuahnya pula lebih pedas. Tak semestinya ada telur rebus. Kalau pada hari raya, laksa cepat habis. Kalau habis laksa minum (hirup) saja kuahnya.

Atuk juga, adalah orang yang bertanggungjawab yang memperkenalkan saya kepada ‘meriam’. Bukan meriam buluh tetapi meriam batang paip. Di kebunnya, suatu hari datang sekawan kera yang berhajat menikmati buah-buahan yang masak ranum. Atuk duduk diam-diam sahaja, saya pula yang disuruhnya menembak meriam.

‘pegi tembak’

‘tak pandai le atuk’

‘bukan budak lelaki kalau tak reti’. saya masih berdiam lagi.

‘cammana nak jadi askar ni??’ kata atuk sambil mencebik.

Itulah ayat yang mendorong kaki saya terus berjalan laju ke arah meriam. Berpandukan apa yang disuruh atuk saya pun mula menuangkan kabaid, air dan mencucuh api.

‘Busssss !!’ bunyi pertama yang dikeluarkan oleh meriam itu mengundang ketawa atuk. ‘Rupe bunyi kentut’ katanya. Ah tak boleh jadi. Saya diketawakan atuk.

Sekali lagi saya ulang proses-proses yang telah diajar dengan berhati-hati dan cukup sukatannya. Kali ini .. ‘denttuuummmmm !!!!!!’. Bertempiaran kera lari. Saya sendiri tergolek ke tepi kerana terperanjat dengan bunyi yang sama dengan dentuman meriam betul itu. ‘Nak buat lagi, boleh atuk?’. Dah rasa seronok. ‘Udah, mari kita balik’ katanya. Hampa saya.

Ah jauh pula saya menyimpang dalam tulisan ini. Berbalik tentang perjalanan pulang ke kampung selepas mendapat berita atuk sakit tenat, masa tu belum ada lebuh raya PLUS. Abah memandu laju di jalan lama sehingga terkena perangkap had laju. Polis trafik yang menahan kereta abah, apabila diberitahu tentang ada kecemasan di kampung sempat lagi berpesan pada abah ‘kuala kangsar tu jauh lagi nak sampai encik! sayangkan keluarga yang ini dulu’. Tanpa apa-apa saman kami dilepaskan, dan apabila diingati balik saya kagum dengan kehalusan taktik anggota polis dulu-dulu menasihatkan pemandu.

Namun apakan daya, setibanya kami di sana atuk sudah tiada lagi. Baru saja dalam sejam meninggal dunia .. Saat-saat arwah atuk dimandi, dikafan dan disolatkan masih segar dalam ingatan saya. Tempat-tempat di dalam rumah, di mana jenazahnya diuruskan masih jelas terbayang. Opah menangis setiap kali anak-anaknya seorang demi seorang tiba di rumah.

Dan kini, perjalanan malam itu adalah untuk menziarahi jenazah opah pula.

Opah seorang yang istimewa. Kalau hari raya, tak kan sah kalau tiada halwa kundur. Buah kundur yang dimasak dengan kuah air gula pekat manis. Pajri? Bukan setakat pajri terung atau nenas, pajri rambutan juga salah satu masakannya yang menambat hati. Dan bila rambutan sudah terlebih-lebih dalam musimnya, tidak habis dimakan, opah buat jem rambutan. Home made jam. Sapu dengan butter kat roti.

Opah juga gemar berpantun. Terima sahaja dengan kaku kalau pantun empat kerat yang terlontar dari mulutnya mengandungi persoalan yang sukar dijawab. Sudahlah nak menjawab pantun secara spontan menjadi satu masalah, nak memikirkan apa yang hendak dijawab apalah pula lagi. Saya sukar sekali menepis pantunnya terutamanya ketika di zaman bujang, bila soalannya bertanyakan bila nak kahwin.

Satu lagi, opah gemar memberi nama timang-timangan kepada cucu-cucunya. Macam macam nama diberi. Di masa saya kecil, opah memanggil saya ‘enche musa hitam’ : )   Entah kenapa saya pun tak tau, agaknya mengharapkan saya menjadi timbalan perdana menteri satu hari. sangat besar kemungkinannya itu tidak akan berlaku.

Malam itu sebaik sampai di rumah yang penuh nostalgia itu, jenazah opah terbujur kaku. Sama di sudut jenazah atuk dibaringkan dulu. Abah hiba menatap wajah emaknya. Begitu juga emak. Kami cucu dan menantu juga tak dapat menahan perasaan. Perlahan-lahan saya cuba kuasai diri saya semula dan kami bacakan Yassin dan tahlil untuk arwah.

Keesokannya, urusan memandi dan mengkafankan jenazah diuruskan oleh orang-orang wanita. Cicit-cicitnya termasuk anak saya tekun sahaja melihat urusan mengkafan dijalankan. Pengalaman pertama kali menyaksikannya. Perjalanan terakhir menuju pusara dan urusan pengkebumian berjalan lancar. Arwah opah disemadikan bersebelahan pusara arwah atuk. 20 tahun masa memisahkan mereka, kini mereka disemadikan sebelah menyebelah di alam barzakh.

Al Fatihah. Haji Abdul Hamid bin Rodin (1922-1987) dan Hajah Halijah Mat Saman (1922-2008).

_____________________________________________________________

Salam Aidil Fitri kepada semua. Saya menyusun jari sepuluh memohon segala ampun dan maaf atas apa jua kesalahan yang saya lakukan. Ramadhan berbaki seminggu, semoga pengabdian diri dalam 10 malam terakhir membuahkan hasil. AMIN.

‘SELAMAT HARI RAYA’

  1. AL-fatihah buat Opah..
    semoga rohnya ditempatkan di sisi para anbia dan syuhada..
    harap keluarga bro tabah menghadapi dugaan ini..

    ——————————————————————–

    naper bunyi Busssss tu.. teringat tentang kejadian terlampau tarawikh ari tu. he he

    Amin. Terima kasih di atas doa itu.
    Bunyi ‘busss’ itu kerana letupan yg tak menjadi, macam bunyi bukak botol air gas😐

  2. Ikatan antara cucu dengan datuk atau nenek lebih rapat daripada hubungan antara anak dengan bapa. Kerana, bila di sesah dengan abah, kita akan ngadu dengan nenek atau atuk.

    Al-fatihah buat opah encik. Semoga segalanya baik.

    Amin, terima kasih (Al Fatihah).
    Benar, anak saya sendiri pun tengah buat perkara yang sama sekarang ni🙂

  3. alfatihah utk opah bro…moga rohnya dicucuri rahmat…

    nampaknya dua kesedihan melanda keluarga bro pd ramadhan kali ni…

    mmg terasa kehilangan org yg dekat dgn kita…saya juga merasainya ramadhan ini..

    selamat hari raya maaf zahir batin dr sy dan keluarga…kalau buat open hse kat rumah baru jgn lupa jemput ek…

    Amin di atas doa dan fatihah. Harap bro juga tabah dgn kehilangan abg kandung tempohari

    dan nampaknya road block dibukak selepas bermulanya Ops Sikap😉
    tada buat open house kut tahun ni. jemput datang bila bila masa sahaja

  4. Takziah buat bro Jeff. Semoga roh opah aman dan bahagia disana, insyaAllah.

    Jeff beruntung dapat merasa kasih opah hingga ke tahun 2008 ini. Abah kehilangan nenek yg mengajar abah kenal ayat2 Al-Quran pada tahun 1997. Dan paling ralat, abah tak berpeluang balik tengok jenazah. Abah diberitahu hanya selepas jenazah dikebumikan.

    Selamat hari raya buat Jeff dan keluarga. Walau mungkin raya kali ini akan sikit hambar untuk bro, tapi abah doakan perjalanan balik ke Kelate nanti akan lancar dan selamat.

    terima kasih banyak2 abahmuiz mendoakan keselamatan kami balik ke kelantan. semoga abahmuiz dan keluarga juga selamat dan lancar perjalanan ke destinasi ditujui. lepas masing2 abis beraya di kampung nanti, datanglah rumah🙂

    • sf
    • 27 September 2008

    Salam hari raya, ampun maaf dipinta juga andai ada terkasar bahasa sepanjang tahun ini.

    salam raya, sama2 kita maaf memaafkan

  5. salam alayk, takziah atas kehilangan di bulan Ramadhan, semoga keredhaan melimpahi arwah.

    salam eidulfitri, kullu am wa antum bikhair.

    terima kasih jenguk blog, maaf silap salah.

    mudah2an, Amin. sesama kita minta maaf juga

  6. Assalamu’alaikum,

    Saudara Jeff,

    Menerusi kesempatan ini saya ingin merakamkan rasa dukacita dan takziah atas pemergian orang tersayang. Semoga dicucuri roh mereka akan rahmat.

    Sementara itu, ucapan terima kasih kerana sudi menghubungkan blog saudara dengan blog saya yang seadanya, serta sempat mencatatkan komen jua.

    Maaf zahir batin atas kesilapan dan kekhilafan, kalaulah ada kesempurnaan, dinisbahkan kepada Tuhan.

    Salam Aidil Fitri dari Sungai Bakap.

    mana kan ku lupai, kata2 saudara ‘di manapun kita berada, kita merenung rembulan yang sama’ yang menjadi tagline istimewa batch kita sehingga kini : )

  7. jgn minum sgt banyak2 air gas tu.. kang solat “terlepas” pulak.. batal.. he he

    tak turun JB ker bro meraya.. he he

    • akirasuri
    • 6 Oktober 2008

    Bro.. Selamat Hari Raya ek..
    Maaf zahir batin.. Dok kt putrajaya kan?
    Jemput datang rumah..🙂

    • Abu Munzir
    • 7 Oktober 2008

    Takziah saya ucapkan kepada saudara Jeff. kullu nafsun zaiqatul maut [setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati]. masa kita akan sampai juga. sama-samalah kita mengambil pengajaran.

  8. Bro…

    jom joint Msjbox Holiday 2008 at http://kasawari7.blogspot.com/2008/10/msjbox-holiday-2008.html

    • Fariza
    • 7 April 2009

    salam….atuk u org Bendang Panjang??saya org Bendang Panjang jugak…mmmm…umah atuk n opah yg mana ek???

  9. Sebenarnya bukan saja dibulan Ramadhan kite perasan sorang2 hamballah kawan kita pergi meninggalkan kita,namun di kala usia yang lanjut atau 40 an ke tas biasanya lebih kerap perkara sebegini berlaku dan ini memang lumrah dan adat dunia kerana setiap satu dan detik sesiapa saja akan pergi ke alam barzakh dan tidak terkecuali kita.
    Salam takziah dan semoga kita semua tabah dan terus beramal ke akhir hayat.Semoga tulisan bro Jeff ni dapat di manafaat ke generasi akan datang.Insyaallah.

  1. No trackbacks yet.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: