Archive for the ‘ Belasungkawa ’ Category

Pembunuhan Sosilawati : sekadar satu lakaran kehidupan

intro : para suspek sepertimana berdasarkan sumber dari blog ‘Anak Sungai Derhaka’.

kisah-kisah kemeriahan Syawal dan keheningan Ramadhan terus hilang. kisah-kisah semangat patriotik saki baki bulan kemerdekaan dan hingga Hari Malaysia juga hilang bunyinya. semuanya bagaikan hilang seri. emosi 11 september yang membawa kepada pembakaran Qur’an juga bagaikan tenggelam. konflik minoriti Indonesia yang memijak bendera Malaysia, juga hilang.

malah rentetan kisah kemalangan ops sikap 22 (2010) pun bagaikan tidak cukup ‘thriller’.

bagaikan kemuncak siri pembunuhan kejam. sebelum Ramadhan sudah pun berlaku berbagai kes ; ‘bunuh dan bunuh diri’ di lebuhraya, kemudiannya kes ‘amuk-bunuh’ (Perak & Kelantan) ; kemudiannya kes bunuh dua beranak (ustazah) di Negeri Sembilan. dan akhirnya kes ‘bunuh-cincang-bakar-buang’ ke atas Sosilawati dan tiga yang lain. dalam Ramadhan. 

tempat kerja saya di Presint 15 Putrajaya hampir sangat dengan firma guaman salah seorang mangsa (peguam). di satu kelapangan, saya cuba melihat-lihat kalau-kalau ada apa-apa perkembangan yang berhampiran di situ. tapi nampaknya ia ditutup.

saya tak fikir Syawal untuk setiap dari kalangan waris mereka akan sama lagi selepas ini. satu dua tahun lagi kita mungkin akan melupakan yang keindahan Syawal 2010 ini direnggut dengan berita tragedi yang amat luar biasa ini. tapi tidak untuk sesetengah kita dan waris mereka. saya tak tahulah untuk diri saya, mungkin kalau menyusuri jalan di Presint 15 pada hari raya di masa akan datang, saya akan teringat. mudah-mudahan tidak lupa.

Al Fatehah.

Pergi Tak Kembali : Ustaz Asri Rabbani

sumber

Al Fatihah.

sedih tak terkira rasanya. mudah-mudahan segala pesanan yang kau sampaikan sejak kau di zaman Nada Murni hinggalah kemunculan Rabbani akan sentiasa mekar dalam ingatan.

Ya Allah, cucurilah rahmat Mu ke atas roh hamba Mu ini yang besar jasanya kepada kami.

sumber berita & gambar

Al Fatihah buat Samad Lefthanded

Pulang seorang lagi anak seni kepada pencipta Nya. Al Fatihah.

dunia remaja saya cukup diwarnai keindahan lagu lagu Lefthanded. ketika ini bagi diri saya segala yang dilagukan oleh Lefthanded bukan saja sudah sebati tetapi jiwa saya menerimanya sebagai malar segar.

karyanya yang paling saya hormati adalah instrumental berjudul ‘Joget’ hasil duet gitar antara beliau dan Paul Gilbert (Mr. Big) yang membawa kepada penganugerahan Album Rock Terbaik dalam AIM 95.

sumber gambar

sebagai peminat tegar Lefthanded, ah berita ini amat menyedihkan. rasa belum cukup puas mendengar hasil karyanya. tapi masa nya sudah tiba. relakan sahaja.

maka dengan itu, Allahyarham Samad Mian akan kekal dalam ingatan.

petikan lirik ‘Tiada Lagi Kidungmu’

damai lah kau di sana, di sisi Tuhan yang Esa

 

 

 

 

 

 

 

sumber gambar

Di Raya Ini.. Atuk Opah Dah Tak Ada

‘Opah dah takda’ itulah ungkapan adik bongsu saya melalui panggilan telefon petang Ahad 21 Ramadhan.

Makin ke penghujung, makin mencabar perjalanan Ramadhan tahun ini. Minggu lepas Pak Da (sebelah isteri), dua hari kemudiannya berita kehilangan sahabat yang amat dikasihi Khairil Hisyam Ahmad yang amat menyentap perasaan. Dan hari ini sampailah pula masanya untuk opah dijemput pulang.

Abah ? Jelas dia cuba berselindung di sebalik ketabahan diri walaupun saya tahu dia tidak dapat membendung kesedihannya.

Sementara berbuka puasa dalam keadaan serba sederhana, kami adik beradik dan ipar duai berbincang. Mujur saja semuanya berkumpul iftar di rumah abah petang itu. Senang keputusan dicapai. Masing-masing sepakat ambil cuti. Selepas berkemas ala kadar, kami bertolak balik ke Bendang Panjang, Kuala Kangsar, Perak. Abah dan emak naik kereta saya. Seboleh-bolehnya saya cuba mengelakkan perbualan yang menjurus ingatan terhadap opah walaupun saya tahu itulah perkara yang sedang bermain difikiran semua orang.

Laluan perjalanan juga sedikit sukar di dalam hujan lebat. Pada kala tiada perbualan, saya melayan perasaan seorang diri dan memutar kembali ingatan silam.

21 tahun dulu (1987) atuk pulang menyahut panggilan Illahi. Jauh benar beza masanya dengan opah. Masa itu umur arwah atuk 65 tahun.

Saya masih ingat lagi, abah datang mengambil saya di sekolah pada waktu petang. Malangnya pada masa itu saya sedang didenda berdiri atas kerusi oleh cikgu Bahasa Inggeris, Encik Megat namanya. Entah apa halnya saya pun tak ingat tapi lebih dari separuh kelas sedang berdiri atas kerusi pada masa itu. Ketika berjalan bersama abah, saya takut juga kalau-kalau ditanya tentang denda itu. Tapi abah sebaliknya berkata ‘atuk sakit tenat, kita balik kampung’.

Terus hati dihimpit sayu. Masih saya ingat lagi, pada masa itu baru sahaja lebih kurang sebulan atuk dan opah balik ke Kuala Kangsar selepas datang menziarahi kami di Kuala Lumpur. Ketika berada di rumah kami, atuk menyediakan hidangan nasi tomato ; resepi gubahannya yang lazat. Sampai sekarang pun kalau menjamah nasi tomato saya akan teringatkan atuk, kerana setakat ini belum lagi saya terjumpa nasi tomato yang sama rasanya dengan masakan atuk.

Kalau hari raya pula, atuk buat laksa. Laksa Kuala lain dengan laksa penang walaupun lebih kurang sama dari segi rupanya. Laksa Kuala dibuat dari tepung gandum. Kuahnya pula lebih pedas. Tak semestinya ada telur rebus. Kalau pada hari raya, laksa cepat habis. Kalau habis laksa minum (hirup) saja kuahnya.

Atuk juga, adalah orang yang bertanggungjawab yang memperkenalkan saya kepada ‘meriam’. Bukan meriam buluh tetapi meriam batang paip. Di kebunnya, suatu hari datang sekawan kera yang berhajat menikmati buah-buahan yang masak ranum. Atuk duduk diam-diam sahaja, saya pula yang disuruhnya menembak meriam.

‘pegi tembak’

‘tak pandai le atuk’

‘bukan budak lelaki kalau tak reti’. saya masih berdiam lagi.

‘cammana nak jadi askar ni??’ kata atuk sambil mencebik.

Itulah ayat yang mendorong kaki saya terus berjalan laju ke arah meriam. Berpandukan apa yang disuruh atuk saya pun mula menuangkan kabaid, air dan mencucuh api.

‘Busssss !!’ bunyi pertama yang dikeluarkan oleh meriam itu mengundang ketawa atuk. ‘Rupe bunyi kentut’ katanya. Ah tak boleh jadi. Saya diketawakan atuk.

Sekali lagi saya ulang proses-proses yang telah diajar dengan berhati-hati dan cukup sukatannya. Kali ini .. ‘denttuuummmmm !!!!!!’. Bertempiaran kera lari. Saya sendiri tergolek ke tepi kerana terperanjat dengan bunyi yang sama dengan dentuman meriam betul itu. ‘Nak buat lagi, boleh atuk?’. Dah rasa seronok. ‘Udah, mari kita balik’ katanya. Hampa saya.

Ah jauh pula saya menyimpang dalam tulisan ini. Berbalik tentang perjalanan pulang ke kampung selepas mendapat berita atuk sakit tenat, masa tu belum ada lebuh raya PLUS. Abah memandu laju di jalan lama sehingga terkena perangkap had laju. Polis trafik yang menahan kereta abah, apabila diberitahu tentang ada kecemasan di kampung sempat lagi berpesan pada abah ‘kuala kangsar tu jauh lagi nak sampai encik! sayangkan keluarga yang ini dulu’. Tanpa apa-apa saman kami dilepaskan, dan apabila diingati balik saya kagum dengan kehalusan taktik anggota polis dulu-dulu menasihatkan pemandu.

Namun apakan daya, setibanya kami di sana atuk sudah tiada lagi. Baru saja dalam sejam meninggal dunia .. Saat-saat arwah atuk dimandi, dikafan dan disolatkan masih segar dalam ingatan saya. Tempat-tempat di dalam rumah, di mana jenazahnya diuruskan masih jelas terbayang. Opah menangis setiap kali anak-anaknya seorang demi seorang tiba di rumah.

Dan kini, perjalanan malam itu adalah untuk menziarahi jenazah opah pula.

Opah seorang yang istimewa. Kalau hari raya, tak kan sah kalau tiada halwa kundur. Buah kundur yang dimasak dengan kuah air gula pekat manis. Pajri? Bukan setakat pajri terung atau nenas, pajri rambutan juga salah satu masakannya yang menambat hati. Dan bila rambutan sudah terlebih-lebih dalam musimnya, tidak habis dimakan, opah buat jem rambutan. Home made jam. Sapu dengan butter kat roti.

Opah juga gemar berpantun. Terima sahaja dengan kaku kalau pantun empat kerat yang terlontar dari mulutnya mengandungi persoalan yang sukar dijawab. Sudahlah nak menjawab pantun secara spontan menjadi satu masalah, nak memikirkan apa yang hendak dijawab apalah pula lagi. Saya sukar sekali menepis pantunnya terutamanya ketika di zaman bujang, bila soalannya bertanyakan bila nak kahwin.

Satu lagi, opah gemar memberi nama timang-timangan kepada cucu-cucunya. Macam macam nama diberi. Di masa saya kecil, opah memanggil saya ‘enche musa hitam’ : )   Entah kenapa saya pun tak tau, agaknya mengharapkan saya menjadi timbalan perdana menteri satu hari. sangat besar kemungkinannya itu tidak akan berlaku.

Malam itu sebaik sampai di rumah yang penuh nostalgia itu, jenazah opah terbujur kaku. Sama di sudut jenazah atuk dibaringkan dulu. Abah hiba menatap wajah emaknya. Begitu juga emak. Kami cucu dan menantu juga tak dapat menahan perasaan. Perlahan-lahan saya cuba kuasai diri saya semula dan kami bacakan Yassin dan tahlil untuk arwah.

Keesokannya, urusan memandi dan mengkafankan jenazah diuruskan oleh orang-orang wanita. Cicit-cicitnya termasuk anak saya tekun sahaja melihat urusan mengkafan dijalankan. Pengalaman pertama kali menyaksikannya. Perjalanan terakhir menuju pusara dan urusan pengkebumian berjalan lancar. Arwah opah disemadikan bersebelahan pusara arwah atuk. 20 tahun masa memisahkan mereka, kini mereka disemadikan sebelah menyebelah di alam barzakh.

Al Fatihah. Haji Abdul Hamid bin Rodin (1922-1987) dan Hajah Halijah Mat Saman (1922-2008).

_____________________________________________________________

Salam Aidil Fitri kepada semua. Saya menyusun jari sepuluh memohon segala ampun dan maaf atas apa jua kesalahan yang saya lakukan. Ramadhan berbaki seminggu, semoga pengabdian diri dalam 10 malam terakhir membuahkan hasil. AMIN.

‘SELAMAT HARI RAYA’

Ziarah Ke Rumah Arwah Khairil Hisham Ahmad

Alhamdulillah pada hari Sabtu jam 11.30 pagi, di atas usaha beberapa ahli batch The Orange khasnya sdr. Atan dan Azeze, satu rombongan menziarahi keluarga arwah telah diadakan dengan dihadiri kira kira seramai
hampir 50 orang.

Tujuan ziarah adalah untuk usaha mengurangkan rasa sedih keluarganya, menyampaikan ta’ziah dan rasa simpati di samping menyampaikan rasa kasih dari kwan-kawan arwah.

Dalam ziarah itu satu kutipan spontan telah dibuat dan sejumlah hampir RM 1000 telah diserahkan kepada bapa arwah, En. Ahmad.

Keadaan keluarga arwah semasa diziarahi, mereka dalam keadaan sugul dan sangat bersedih. Saudara Zuhairi kemudiannya telah memimpin bacaan tahlil.

Antara kawan2 yg hadir ialah : Azeze/Jaja, Atan, Naim, Ezan/husband, Hidayat, Safuan, Nasim, Surya, Unny Sankar, Ang Li Ling, Alai, Johan, Kamarul Arifin, NAsrol, Hafiz, Ida Syahrina, Syuk,  (saya tak dapat nak ingat lagi yg lain2, ramai sangat .. minta maaf ya)

Terima kasih kami ucapkan kepada kawan2 yang telah meluangkan masa untuk menyertai ziarah tersebut, hanya Allah memberikan ganjaran pahala kepada kalian. Harapnya lebih ramai lagi akan dapat meluangkan masa pada majlis pengkebumian hari Isnin nanti.

Khairil Hisham Ahmad Dalam Kenangan

Baru sahaja dalam entri yg lepas bercerita tentang kematian.

Satu lagi kehilangan berlaku dalam Ramadhan ini ..

Dia rakan yang tidak pernah tinggal dalam berbuat kebaikan bukan sahaja kepada saya tetapi semua kawan se-batch yg lain. Khusus bagi saya, kenangan bersamanya paling banyak diingati ketika kami berada dalam satu pasukan semasa mengharungi payah getir di Outward Bound School di Lumut, Perak tahun 2004. Segalanya terasa bagai baru sahaja dilalui semalam.

Beliau meninggalkan Malaysia sekitar 2006 kalau tidak silap saya untuk memulakan tugas di Kedutaan Malaysia di Tripoli Libya. Speninggalan beliau ke sana tidak lagi kami berjumpa. Dan semalam 18 Sep 2008 / 18 Ramadhan 1429, dia pulang menyahut seruan Illahi. Kemalangan jalan raya dalam menjalankan tugasnya. Ketika kejadian isteri dan anak2 berada di Malaysia. Anak keduanya baru sahaja lahir pada bulan 6 yang lalu dan kini usianya baru 2 bulan. (sigh).

Ya Allah ketentuan ini adalah atas takdir Mu jua, lalu Kau berikan lah keluarganya ketabahan. AMIN

Al Fatihah kepada Allahyarham Khairil Hisham bin Ahmad. Semoga kau tenang bersemadi, mendahului kami yang akan menyusul jua nanti.

Buat rakan2 Orange yang lain, cadangan mengumpul sumbangan boleh dilihat dalam yahoogroup kita. Belasungkawa tulisan rakan-rakan lain oleh azralwan rafidahmr.otec , abu wafi , wan rafidah (2) , azral (2) , shahir , badd , hartini , abu wafi (2)

Bagaimana Pula Matinya Aku ?

(sumber foto)

Biasa dah kita bercakap tentang mati. Ringan sahaja mulut kita mengeluarkan kata-kata seperti mati itu benar, entah bila kita kan mati, mana lah tahu umur saya ni tak panjang, eh meninggal dah dia tu, ish baru je semalam bercakap dengan si arwah, semoga rohnya dicucuri rahmat, mati dalam iman, mati itu mati ini …

Lepas solat juga kita berdoa atau meng-aminkan doa-doa yang dipimpin oleh imam mengenai memohon dimatikan dalam Islam, dimatikan dengan cara yang baik dan sebagainya.

Telah banyak kali kita mendengar berbagai-bagai tazkirah berkaitan mati. Banyak kali juga kita sudah menonton filem dan drama televisyen yang menunjukkan aksi-aksi kematian. Berita tentang selebriti atau tokoh mati pun selalu kita dengar dengan penuh rasa terperanjat.

Tidak kurang banyaknya juga kita menziarah jenazah dalam perjalanan terakhirnya ke kuburan. Lebih dari itu antara kita  pernah ada yang melihat sendiri bagaimana kematian berlaku di hadapan matanya. Tentu sekali ia menjadi saat yang tak dapat dilupa.

Dalam Ramadhan ini sepertimana bulan-bulan yang lain juga, kematian tetap berlaku. Kita kehilangan akan sanak saudara dan ahli keluarga. Bapa saudara isteri saya, PakDa baru sahaja meninggal pada 16 sep. Tahun lalu Pak Anjang saya juga menyahut panggilan Illahi dalam Ramadhan. Mengenang pemergian mereka-mereka itu membuatkan saya berfikir agak jauh tentang nasib diri sendiri kelak.

Iaitu, persoalan tentang bagaimana agaknya ketentuan takdir untuk diri saya nanti. Bagaimanakah keadaan yang Allah tentukan untuk nyawa saya diambil (dan anda semua juga) ?

Itu juga antara perkara yang dah banyak kali mungkin kita pernah fikirkan. Namun sedalam manakah dan sejauh manakah kita memikirkannya?

Mudah-mudahan untuk diri ini dipermudahkan kelak urusan yang sesakit tikaman 300 mata pedang ini. Ini hanya apa yang saya fikirkan, sedangkan Allah SWT berkuasa mematikan kita dengan apa cara yang dikehendakiNya jua ..

Mati sakit tua
Mati semasa tidur
Mati selepas solat

Mati melahirkan anak
Mati tak dapat bernafas
Mati sakit dada
Mati sakit jantung

Mati demam denggi
Mati barah otak
Mati leukimia

Mati ditimpa pokok
Mati disambar petir
Mati terkena eletrik
Mati bangunan terbakar

Mati kelaparan
Mati kehausan

Mati termakan racun
Mati disihir ilmu hitam

Mati kapal terbang terhempas
Mati kemalangan kereta
Mati feri karam
Mati jatuh motosikal
Mati dilanggar lori

Mati jatuh dari bukit
Mati jatuh dari bangunan
Mati jatuh ke lubang dalam

Mati dalam tsunami
Mati dalam puting beliung
Mati dalam banjir

Mati lemas di sungai
Mati lemas di laut

Mati selepas dirompak
Mati selepas diculik

Mati ditembak
Mati dipukul orang
Mati ditetak
Mati disembelih
Mati ditikam

Mati dalam letupan (perangan)
Mati disiksa (perang)

Mati dibaham harimau
Mati ditelan ular sawa
Mati dipatuk ular tedung
Mati dibaham jerung
Mati dibaham buaya

Mungkin sesetengah cara kematian itu kita hanya dengar pernah berlaku kepada orang lain. Kita rasa gerun, kita rasa tak mahu terjadi ke atas diri kita. Namun siapa lah kita untuk menidakkannya.

Kawallah rasa terperanjat bila mendengar sesuatu kematian. Kawallah rasa sedih pabila menerima berita kematian. Namun jangan dikawal rasa takut pada Allah kerana kita pasti akan menyusul selepas itu. Ada orang matinya hanya berselang minggu. Biasa lah dialog macam di bawah ni ..

” … eh seminggu yang sudah baru je lebai tu meninggal, hari ni dah pak haji tu pulak meninggal … ”

Siapa tahu nasib kita, mungkin berselang hari sahaja ? Biarlah takut itu menguasai diri kita. Ibarat kita menanggung ketar lutut menunggu giliran nak cabut gigi, gementar tak dapat ditahan-tahan.

Mudah-mudahan kita diberi mati yang baik caranya. AMIN.