Archive for the ‘ Bolasepak ’ Category

belajar menerima kekalahan

Dua hari sebelum tulisan ini. Jerman kalah di separuh akhir Piala Dunia di tangan Sepanyol. Satu keputusan yang telah memadam emosi ceria yang aku rasai sepanjang Piala Dunia 2010. Dengan keputusan itu tiada lagi rasa debaran untuk mengikuti perkembangan seterusnya.

dah macam mengalahkan emosi rakyat Jerman sendiri pula gayanya …

pun begitu bukan soal kekalahan Jerman yang ingin ku tulis di sini.

sebaliknya, ia adalah mengenai betapa istimewanya Piala Dunia kali ini dalam pengertian yang tersendiri.

Inilah pertama kali, aku berkongsi debaran, kegembiraan, harapan, dan akhirnya kekalahan dengan anak sulung ku yang kini berumur 7 tahun. Aku telah mengimpikan detik ini semenjak melihat dia mengikut-ikut saja tanpa mengerti apa-apa semasa Piala Dunia 2006. Semasa Piala Dunia 2002 pula, dia belum pun lagi berada dalam kandungan isteri ku.

Tapi kali ini dia telah mengerti sepenuhnya apa itu bolasepak. Berapa pemainnya. Siapakah itu referee. Apa tugas penjaga gol, pertahanan, midfield dan striker. Beberapa nama pemain. Pasukan mana yang hebat. Pasukan mana yang kurang hebat tetapi tinggi maruahnya. Dari benua manakah negara yang bertanding. Macam-macam lagi.

Di sekolahnya, cikgu mengadakan perlawanan bolasepak antara kelas dan dia turut sama bermain. Dia mencuba peranan sebagai penjaga gol. Kemudian dia bermain di posisi atas. Dapat pula menjaringkan gol. Aku sendiri bagai tak percaya.

Namun lebih penting dari segala itu, yang paling istimewa ialah kami berkongsi rasa kecewa setelah pasukan pilihan kalah. Lalu aku cuba memberikan pemahaman kepadanya tentang erti kekalahan. Iaitu bangun dan mencuba lagi dan sepatutnya tanpa rasa malu. dengan bermaruah. dan lebih utama berserah kepada Alah setelah segala daya ikhtiar diusahakan.

Sekaligus ku sedari, bukan sahaja aku cuba memahamkan dia tetapi juga diri ku sendiri …

Buat ‘abang’, papa amat hargai kenangan ini. Semoga kita terus bersama meraikan Piala Dunia akan datang dan ketika itu pula, ‘adik’ (yang pada ketika ini hanya mengikut ikut aksi abang) mungkin sudah mula mengerti sebagaimana ‘abang’ mengerti sekarang.

Papa amat sayang kamu berdua …

Advertisements

Nostalgia Pestabola Merdeka

 

Ok cerita bola lagi. Mungkin tak menarik bagi sesetengah orang. Tapi bolasepak tetap sesuatu yang penting. Diiktiraf sebagai antara sukan termahsyur di dunia, lebih dari itu ia adalah maruah yang perlu dipertahankan sesebuah negara … 

Amerika Syarikat yang terkenal dengan besbol, bola keranjang dan ‘american football’ akhirnya  menubuhkan juga pasukan bolasepak kebangsaan kerana mengakui sesungguhya bolasepak akan mengangkat kemahsyuran mereka melebihi dari politik dunia. Negara dunia ketiga, Argentina, Brazil, Mexico ; tidak hebat ekonominya tetapi tidak rendah martabatnya bila berentap dengan negara maju seperti England, Jerman dan Perancis.

Sesungguhnya kemahsyuran bolasepak itu adalah ; Simbol semangat sesebuah negara. Kebangkitan. Penghormatan. Disegani. Sebaliknya pula, negara yang lemah dalam bolasepak dipandang rendah. Walaupun hebat ekonomi dan bangunan pencakar langitnya. Contoh, negara-negara Afrika yang ekonominya belum semantap kita boleh berasa megah kerana mereka lebih dulu berjaya bermain di Piala Dunia walau tanpa kemudahan seperti Malaysia.

Justeru kerana itulah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meletakkan mercu tanda kemerdekaan Malaysia di Stadium Merdeka. Stadium itu adalah lambang the Malaysian dream yang diimpikan Tunku agar Malaysia muncul sebagai kuasa bolasepak di dunia yang berjalan seiring dengan usaha Tunku sebagai Presiden FAM di tahun 1951. Bila kita menyebutkan sahaja stadium Merdeka maka takkan ketinggalanlah dibicarakan nostalgia Pestabola Merdeka.

Bintang-bintang Malaysia berjiwa besar dalam bolasepak seperti Ghani Minhat, Allahyarham Mokhtar Dahari, mendiang R.Arumugam, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan menempa kemahsyuran di Pestabola Merdeka. Begitu juga bintang pasukan remaja iaitu Harimau Malaysia seperti Azizol Abu Hanifah dan Karim Pin. Tapi sayangnya, lewat zaman Azman Adnan kita memasuki zaman pudar. Lalu Pestabola Merdeka terus tenggelam.

Bertahun-tahun kita menanti. Sabar dan hilang sabar. Bolasepak kita jatuh dan bangun tanpa konsistensi. Kekecewaan penyokong tempatan mendorong mereka mengkritik, mencaci dan memaki bolasepak Malaysia. Namun tak salah sebenarnya peminat tanahair berbuat begitu kerana itulah tandanya bahawa mereka masih sangat sangat sangat sayangkan bolasepak negara ini. Di saat penyokong (termasuk saya) berasa kecewa, saat kebangkitan yang ditunggu itu bagai makin hampir, light at the end of the tunnel..

pestabola merdeka 02 - photo by Utusan Malaysia

Sepertimana sama dengan persembahan skuad bawah 19 tahun dalam kejohanan CYC , stadium dipenuhi penyokong tempatan semasa Pestabola Merdeka 2007 di mana-mana Malaysia beraksi. Dengan itu sesuatu yang sebelum ini hanya disebut-sebut sebagai tinggalan sejarah kembali berulang iaitu himpunan ribuan penyokong Malaysia di  stadium. Dan semasa final Pestabola Merdeka, seramai 50,000 penyokong Malaysia berhimpun di Stadium Shah Alam, sesuatu yang sudah lama tidak disaksikan.

pestabola merdeka 03 - photo by Utusan Malaysia

Akhirnya kita tewaskan Myanmar dan jadi juara. Hadiah kemerdekaan ke-50. Sesungguhnya doa penyokong sentiasa bersama demi mengharapkan kebangkitan Malaysia. Sudah lama benar dinantikan saat itu.

pestabola merdeka 04 - photo by Utusan Malaysia

Namun bolasepak Malaysia perlu banyak melihat sejarah dan menoleh ke belakang. Boleh dikatakan pasukan junior sebelum ini juga hebat semasa mula-mula membuat penampilan di peringkat kebangsaan. Nama-nama seperti V. Saravanan, Khalid Jamlus  masih dingati dalam skuad remaja Olimpik, manakala Indra Putra, Mohd Kaironissam, Norhafiz Zamani Misbah dan Shukor Adan (yang kini dalam pasukan senior) adalah bekas pemain skuad remaja kelayakan Piala Dunia. Semua mereka hebat semasa junior tetapi masih belum berjaya mengembalikan zaman kegemilangan Malaysia satu masa dulu. Sama ada kecemerlangan Safee Sali, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha baru-baru ini akan berterusan hanya masa yang akan memberi jawapannya.

 pestabola merdeka 01 - photo by Utusan Malaysia

Indah nostalgia Pestabola Merdeka 2007 itu akan segar di ingatan. Kini kita tunggu bagaimana hasil di Sukan SEA, Korat dan pusingan kelayakan ke Piala Dunia 2010 bermula Oktober ini. Mudah-mudahan. Berjaya hendaknya. AMIN.

pestabola merdeka 05 - photo by FAM

Gambar-gambar dipetik dari Utusan Malaysia dan laman web FAM.

Champions Youth Cup (CYC) 2007

Selepas berkunjung ke rumah KS pada tengahari Ahad sempena POT LUCK (sila klik), saya berziarah ke Cheras, membawa anak saya yang nak berjumpa opah dan atuknya. Dan pada malamnya, saya mengambil kesempatan untuk melangkah ke Stadium Bolasepak KL untuk menonton perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Juara-Juara Belia atau Champions Youth Cup 2007 antara Malaysia sebagai tuan rumah dengan PSV Eindhoven iaitu kelab terkemuka liga Belanda ..

cyc - tiket Msia vs PSV

Sudah agak lama juga saya tidak menonton perlawanan bolasepak pasukan negara di stadium. kali terakhir rasanya semasa Piala Tiger atau Sukan SEA, tak ingat dah. Bukan apa, agak bosan juga dengan perkembangan bola Malaysia ni. Tapi untuk CYC ni, apabila melihat skuad U-20 (under twenty) mengikat Chelsea 0-0 dan hanya tewas 1-2 kepada Bayern Munchen di Kuching minggu sebelumnya … hati saya didesak-desak untuk ‘kembali ke stadium’ bagi perlawanan menentang PSV itu.

Antara rumah dan stadium tak sampai sekilo pun jauhnya. Saya masih ingat lagi semasa sekolah dulu, bersama kawan-kawan hanya berjalan kaki pergi menonton pasukan KL bermain di Stadium KLFA. Dan saya mengulangi nostalgia tersebut pada malam itu. Apa seronoknya ? Pertama takpayah pikir pasal parking. Kedua dan lebih penting, semakin dekat langkah kaki dengan stadium semakin memuncak debaran. Ya, itu perasaannya bila pergi menonton bola dengan penuh rasa teruja. Lama dah tak dirasai ..

cyc - Std. KLFA lagi 100 meter nak sampai dah !

Setibanya di stadium … oh alangkah bersemangatnya dirasakan. Penonton berbaju kuning dan hitam ada di sana sini sambil mereka membawa bendera Malaysia yang berkibar-kibar (angin nyaman, lepas hujan). Saya mengambil masa sebelum masuk ke dalam stadium menikmati suasana yang jarang-jarang dapat dirasai ini. Di saat akhir juga masih ramai penonton yang berbaris ingin mendapatkan tiket.

cyc - haa .. inilah Stadium KLFA cyc - tiket ! tiket !

Apabila saya masuk ke stadium, walaupun belum berapa penuh masa tu tapi dah terasa bahang perlawanan. Saya seperti biasanya jarang terus mengambil tempat duduk tetapi merayau-rayau ke sana sini mencari pot yang sesuai. Kali ini pot pilihan saya ialah agak-agak menghadap antara kawasan D dan pintu gol. dan saya naik ke level yang paling dekat dengan bumbung, paling atas le tu. untuk view yang lebih clear. Pada masa saya masuk tu, kedua-dua team sedang melakukan warming up di atas padang. Ni gambar team Malaysia …

cyc - penyokong setia Malaysia cyc - team Malaysia tengah warm up

Perlawanan separuh masa pertama pada mulanya seimbang. Hinggalah Malaysia kena jaringan pertama PSV. Lepas tu PSV nampak macam menguasai perlawanan walaupun budak-budak Malaysia bertahan dan melawan.

cyc - M’sia dan PSV masuk padang dah .. cyc - yeahh ! game on !

Masa first half tu, PSV menyerang ke arah gol berhadapan dengan pot saya. Jadi bagaimana gol-gol PSV itu berlaku, sangat jelas di mata saya. Tapi kat stadium tak ada replay lah. So, setakat first half tu kita kena 0-2. Tapi penonton masih menaruh harapan.. walaupun sambil tu kat scoreboard juga menunjukkan keputusan first half antara Chelsea dan Bayern, yang mana mereka tengah seri 1-1.

cyc - end of first half cyc - semangat abang kita ni ! cyc - player M’sia masuk balik dengan sorakan penyokong

Bila bermula saja 2nd half… saya sendiri bagai tak percaya apabila Malaysia menguasai perlawanan. Walaupun PSV ada juga menyerang ke kawasan Malaysia tapi boleh dikatakan hampir pada setiap ketika, Malaysia yang melancarkan serangan. Berbelas kali rasanya tendangan sudut diperolehi oleh Malaysia.

Kali ini di tempat saya berada tu, sudah berubah menjadi kawasan PSV. Maka segala serangan Malaysia amat jelas dapat saya saksikan. Pilihan pot saya menjadi betul malam itu!

cyc - Malaysia menyerang ! cyc - menyerang lagi !

cyc - terus menyerang … cyc - ahh .. sikit lagi nak gol ..

dan menambah lagi kehangatan … lebih kurang berbaki 12 minit sebelum perlawanan tamat, tercetusnya pergaduhan antara pemain. sekali lagi saya di pot yang bertuah. insiden tu betul-betul di hadapan kawasan saya berada …

cyc - jatuh menjatuhkan .. cyc - tak puas hati .. gaduh ! cyc - merebak ke tengah padang

bila gaduh, biasalah. penonton pun nak join jugak. nampak tu botol air sedang melayang ke arah padang. bila duduk kat tempat paling atas, itulah kelebihannya. boleh nampak clear, botol-botol air meluncur macam peluru berpandu ! dan brader ni marah sungguh (tapi bukan dia yang baling botol air) hehe ..

cyc - rileks brader .. rileks

pemain PSV sapa ntah nama dia tapi yg rambut panjang tu lah (dia jugak lah yg score goal tadi) akhirnya dilayangkan kad merah. dan perlawanan bersambung semula tapi dah rugi masa sebab gaduh tadi. Malaysia masih mengasak …

cyc - terus mengasak cyc - di saat-saat akhir perlawanan .. cyc - tamat masa, akhirnya tewas juga

akhirnya kita akur dengan keputusan perlawanan, tewas 0-2 kepada PSV Eindhoven. Tapi tewas bermaruah. Itu yang boleh saya simpulkan. Bukan seperti skuad senior dalam Piala Asia yang ditewaskan dalam keadaan memalukan. Maka, untuk skuad U-20 ini saya tumpang rasa berbangga atas semangat yang mereka berikan.

Mereka tak malu-malu menyerang, tak takut-takut membuat tackle walaupun keras. Malah semasa tercetus pergaduhan pun, mereka tak kecut pun dengan pemain lawan. Mereka boleh menggelicik, boleh simpan bola lama di kaki, boleh buat dummy, boleh main one-two dalam keadaan player lawan ada berdekatan, boleh buat long pass. Pendek kata mereka ada skil yang diperlukan kalau kita mahu bangkit dalam bolasepak.

Tapi .. mampukah mereka bertahan dengan ‘godaan’ hidup sebagai pemain bolasepak ? Kepada mereka ini, anda tentu tahu bahawa kini seluruh rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi menggunung apabila anda menggantikan skuad senior dalam masa empat-lima tahun lagi. Lakukanlah apa yang perlu anda dilakukan ..

cyc - player Malaysia diberi penghormatan cyc - coach juga diberi pujian

Buat masa ini, syabas untuk mereka …

Zaman Kegemilangan Bolasepak Negara

Al Fatihah.

Bersempena kembalinya Allahyarham Mokhtar Dahari ke rahmatullah pada tanggal 11 Julai 1991. Pergi yang tiada galang gantinya setakat ini. Dan arena bolasepak Malaysia masih meratap kehilangannya melalui prestasi yang tidak mampu dikembalikan ke tahap gemilang sebagaimana yang pernah dicapai semasa zaman hidupnya.

Ada tulisan nostalgia dan klip video You Tube tentang Allahyarham Mokhtar Dahari di sini dan sini.

atau anda boleh saja baca di bawah ini ; terima kasih syukran.wordpress.com di atas tribute yang dihasilkan untuk Allahyarham Mokhtar Dahari. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Semoga satu hari nanti kelak kita kembali bermaruah dalam arena bolasepak.

————————————————————-

Allahyarham Mokhtar Dahari yang masih dikenang sehingga ke hari ini walaupun hayatnya sudah bersemadi hampir 15 tahun lalu.

Biarpun ramai generasi muda masa kini tidak mengenali dengan dekat bintang negara itu, tapi hampir semua pasti pernah mendengar namanya – pemain dengan bakat semulajadi yang mengangkat imej Malaysia setaraf dengan jaguh bola sepak dunia. Paling ketara Pestabola Merdeka yang menjadi gelanggang dia mempamer taring dan kehebatannya.

Pada usia 23 tahun, Mokhtar atau lebih terkenal dengan jolokan SuperMokh diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah dia dinobatkan Olahragawan Kebangsaan 1976.

Kelebihan dimiliki ‘Supermokh’ banyak dengan sepakan deras bak peluru menjadi elemen penting hinggakan tiga jari mendiang R Arumungam, bekas penjaga gol negara pernah patah ketika cuba menampannya. Itu belum dikira bijaknya penyerang ternama negara itu membaca gerakan lawan dan meloloskan diri.

Dengan 167 kaps antarabangsa, dia berjaya meletakkan Malaysia di kedudukan tertinggi pentas bola sepak Asia seterusnya mampu membuka mata dunia hingga kuasa bola sepak dunia. Skuad England B bimbingan Bobby Robson turut merasa bahangnya selepas diikat skuad negara 1-1 hasil jaringan menakjubkan Mokhtar.

Walaupun kelibat pemain istimewa seperti Mokhtar yang tiada galang gantinya sehingga kini sudah lama meninggalkan kita, bayangan kehebatannya tidak pernah padam apatah lagi apabila mengingati susah payah anak kelahiran Setapak, Kuala Lumpur itu mencipta nama walaupun dia memang sudah memiliki kurniaan yang tiada pada orang lain.

Mokhtar sangat gigih ketika latihan, sejak di bangku sekolah lagi dia yang menuntut di Victoria Institution tidak pernah jemu berlatih sehingga namanya sudah sebati dengan di skuad kebangsaan pun dia masih sama apabila terus mengawal bola sambil menggelecek tiang-tiang kecil sebelum melepaskan tendangan kencang ke gawang yang kosong untuk menajamkan kuasa pemusnah yang ada pada dirinya.

Malah dia tidak suka diganggu ketika latihan apatah lagi mengaitkan kemasyhuran dirinya di padang dengan kehidupan peribadi hingga menjadikan dia idola paling diminati.

Apapun kehilangan permata paling berharga bola sepak negara itu tidak seharusnya ditangisi sampai bila-bila dan generasi sekarang sepatutnya cuba menjadikannya sebagai motivasi meningkatkan diri supaya bola sepak negara kembali segar seperti sebelumnya.

Berikut diperturunkan sedikit maklumat yang dapat dicari oleh pihak editor untuk golongan muda masa kini.

TARIKH LAHIR: 13 November 1953, di Setapak

ISTERI: Tengku Zarina Tengku Ibrahim

BAPA: Dahari Abeng

EMAK: Maimon Sadikin

ANAK: Mohamad Redza, Nur Azera dan Nur Arina

KELAB: Kelab Sultan Sulaiman, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Talasco, Kwong Yik Bank

MULA WAKILI SELANGOR: Piala Burnley 1971

PIALA MALAYSIA: Wakili Selangor 1972

MULA WAKILI NEGARA: Pestabola Merdeka 1972

TERAKHIR WAKILI NEGARA: Pra-Piala Dunia menentang Korea Selatan di Seoul 1985

KAPS: 167

GOL PIALA MALAYSIA: 177

GOL ANTARABANGSA: 125

JARINGAN TERBAIK: Gol penyamaan menentang England B pada 1978

PENCAPAIAN: Membantu Selangor memenangi Piala Malaysia 10 kali. Menang pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Teheran

ANUGERAH: Olahragawan Kebangsaan 1976

FAKTA: KRONOLOGI MOKHTAR

1971: Mewakili Selangor dalam Pertandingan Piala Burnley (sekarang Piala Razak), di Kuching, Sarawak. Perlawanan pertama menentang Kedah dan menjaringkan gol pertamanya pada perlawanan itu.

1972: Kali pertama turun mewakili pasukan utama Selangor menentang Kelab Hitachi dari Jepun dan perlawanan akhir pertama Piala Malaysia ialah ketika Selangor menewaskan Perak 3-0 dengan Mokhtar menjaringkan satu gol. Mula mewakili Malaysia di Kejohanan Belia Asia, di Bangkok.

– Kali pertama terpilih mewakili pasukan utama Malaysia ke Kejohanan Piala Jakartaraya. Perlawanan pertama menentang Sri Lanka.

1973: Mewakili Malaysia ke pra Piala Dunia di Seoul. Kali pertama beraksi di Pestabola Merdeka menentang Kuwait pada perlawanan akhir. Malaysia menang 3-1 dan Mokhtar jaringkan dua gol.

1974: Mencipta gol terbanyak dalam satu perlawanan antarabangsa apabila menjaringkan lima gol ketika menentang Filipina di Sukan Asia Teheran.

1975: Mewakili negara menentang Arsenal. Malaysia menang 2-0. Mokhtar menjaringkan kedua-dua gol itu.

1976: Mendapat kaps Malaysia ke-100 ketika menentang Jepun di Pestabola Merdeka.

1977: Mendapat Anugerah Olahragawan Kebangsaan 1976.

1980: Kembali beraksi di Pestabola Merdeka dan membawa negara muncul naib juara selepas tewas kepada Maghribi di final. Membawa negara meraih pingat emas Sukan Sea pertama apabila menewaskan Thailand 2-0 pada perlawanan akhir. Mokhtar menjaringkan 1 gol.

1978: Menjaringkan gol penyamaan ketika menentang England `B’. Perlawanan berkesudahan seri 1-1.

1979: Kali pertama dipilih menjadi ketua pasukan Piala Malaysia Selangor (menentang Tentera) apabila Soh Chin Aun enggan meneruskan tugas itu. Mengakhiri zaman bujang selepas berkahwin dengan Tengku Zarina Tengku Ibrahim. Mempertahankan pingat emas Sukan Sea dengan mengalahkan Indonesia 1-0 menerusi jaringan gol tunggal. – Mengumumkan persaraan arena bola sepak antarabangsa.

1981: Menerima kad merah pertama dan terakhir dalam kariernya ketika menentang Singapura (Piala Malaysia). Pengadil `bersejarah’ itu ialah Othman Omar. Mewakili negara ke pra Piala Dunia di Kuwait. Malaysia dikecam kerana gagal. Mokhtar mengumumkan persaraannya bagi kali kedua.

1982: Mengetuai Pilihan Selangor menentang Boca Juniors yang diketuai Diego Maradona.

1985: Kembali menyarung jersi negara ke pertandingan pra Piala Dunia di Seoul menentang Korea Selatan. Malaysia tewas 0-2 dan Mokhtar mengumumkan persaraannya bagi kali ketiga dan terakhir.

1986: Memimpin Selangor menjadi juara Piala Malaysia dan muncul sebagai `Pemain Terbaik Perlawanan Akhir’. Mengumumkan persaraan peringkat negeri dan menghadiahkan jersi `keramat’ nombor 10 kepada Raja Muda Selangor.

1987: Menarik balik persaraannya untuk mewakili Selangor semusim lagi.

1988: Menyertai Kwong Yik Bank dan membawa kelab itu menjadi juara Liga Selangor. Khabar angin bertiup Mokhtar mengidap penyakit ganjil.

1989: Disahkan mengidap penyakit Mascular Dystrophy. – berlepas ke London untuk mendapat rawatan lanjut. Pulang ke tanah air tanpa sebarang perubahan.

1990: Keadaan Mokhtar semakin buruk.

1991: Meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang pada Khamis, 11 Julai jam 8.25 pagi.

BENARKAH MALAYSIA LAYAK KE PIALA DUNIA 2022 ?

soccer_field.jpg

‘Satu Malaya’ dah tahu hasil Simposium Bolasepak FAM minggu lalu. Dengan langkah yang sungguh berani FAM mengumumkan sasaran untuk Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Dunia iaitu tahun 2022. Media massa pula telah menjalankan peranannya dengan berkesan dalam mengetengahkan perkembangan ini ke khalayak masyarakat. Segalanya kini kelihatan seperti ‘sudah sedia’ untuk dihadapi.

Namun begitu, elok direnung sedikit analisis tentang tahun 2022, iaitu sasaran yang telah ditetapkan itu. Berdasarkan perkiraan mudah, tahun 2022 itu adalah satu garis masa seperti berikut :

  • 65 tahun semenjak Malaysia merdeka
  • 36 tahun selepas Korea Selatan layak ke Piala Dunia 1986, Mexico
  • 31 tahun setelah Allahyarham Mokhtar Dahari meninggal dunia, 1991
  • 20 tahun selepas Senegal yang pernah bermain dalam Pestabola Merdeka, layak ke Piala Dunia 2002, Korea-Jepun
  • 15 tahun dari sekarang, dikira mulai 2007
  • 2 tahun selepas mencapai Wawasan 2020

Melihat angka-angka itu, terasa sungguh betapa ketinggalannya kita. Akan tetapi satu-satunya frasa yang rasanya boleh mungkin melupakan sejenak rasa ketinggalan itu ialah ‘better late than never’.

Itulah keberanian yang ditampilkan oleh FAM. Sekurang-kurangnya, berani untuk meletakkan sasaran walaupun belum dapat meyakinkan majoriti rakyat Malaysia.

Namun ada sebabnya mengapa sasaran itu belum dapat diyakini oleh segenap lapisan peminat bolasepak tempatan. Sebelum pada ini, telah banyak kali FAM meletakkan harapannya kepada skuad kebangsaan dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa. Untuk kesekian kalinya juga, boleh dikatakan tiada perubahan dalam pencapaian pasukan bolasepak negara.

Berdasarkan senario tersebut, harus hasil simposium yang telah diumumkan itu hanya menjadi satu bahan berita yang diterima oleh masyarakat sebagai satu ‘khabar angin’ selagi kesungguhannya belum dapat dibuktikan. Pelbagai sorotan persoalan dikupas baik dalam perbualan kosong di kedai kopi atau diskusi serius kumpulan profesional.

Persoalan Pertama

Justifikasi yang diberikan oleh FAM bahawa Malaysia akan layak ke Piala Dunia 2022 ialah kerana tempohnya yang memakan masa 15 tahun (dari sekarang). Tempoh 15 tahun itu dikatakan relevan kerana kuasa bolasepak Asia seperti Korea dan Jepun mengambil masa 15 tahun untuk mengatur perancangan sebelum layak ke pusingan akhir Piala Dunia mereka yang pertama. Juga, Korea dan Jepun dikatakan menetapkan tempoh selama 15 tahun bermula dari penyertaan pertama mereka untuk mengatur strategi dinobatkan sebagai juara dunia.

Persoalannya, setakat pada tahun 2007 ini adakah tahap bolasepak Malaysia sudah diakui setaraf dengan prestasi yang dicapai Korea dan Jepun pada ketika 15 tahun sebelum negara-negara itu layak ke Piala Dunia mereka yang pertama ?

Persoalan Kedua

Sehingga hari ini, Liga Malaysia masih belum menunjukkan wujudnya satu sistem yang konsisten dalam halatuju peningkatan prestasi bolasepak. Contoh, pada satu masa, pemain impot diambil dalam jumlah yang ramai dan kemudiannya dikurangkan. Apabila jumlah pemain impot dikurangkan pula, pemain tempatan tidak kompetetif kerana hanya bersaing sesama sendiri.

Persoalannya, berdasarkan tempoh sasaran 15 tahun dari sekarang, adakah Liga M diakui setaraf dari segi mutunya, kompetensi dan konsistensi dengan Liga Korea dan Jepun pada masa 15 tahun sebelum layak ke Piala Dunia pertama mereka ?

Persoalan Ketiga

Pelbagai promosi telah diatur oleh FAM dengan bermulanya musim Liga M tahun 2007. Sayangnya, stadium tidak juga penuh. Siaran langsung di televisyen masih tenggelam dengan program hiburan.

Siaran langsung bolasepak Liga Malaysia bukan setakat tewas kepada EPL yang disiarkan di ESPN, malah tewas teruk jika dibandingkan dengan program realiti seperti Mentor atau Akademi Fantasia ! Hakikatnya, penonton atau penyokong tempatan masih belum mengalu-alukan bolasepak Malaysia.

Sebagaimana selalunya, FAM menamakan barisan yang dibentuk untuk mewakili negara ke sesuatu kejohanan utama. Sebelum pada ini, kita pernah mendengar skuad Pra Olimpik (generasi Khalid Jamlus dan V. Saravanan). Kemudiannya, skuad bawah 23 tahun (generasi Indra Putra dan Norhafiz Zamani). Barisan ini dibentuk seawal usia masih di bangku sekolah.

Kini untuk membawa cabaran Malaysia ke Piala Dunia 2022, FAM menamakan skuad bawah 14 tahun sebagai sasaran. Kalau tidak silap, mereka ini kini berada di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Berapa ramaikah keanggotaan skuad 14 tahun sekarang ? 23 orang, sepertimana jumlah pemain sepasukan yang biasa ditetapkan ?

Persoalannya, mengapa tidak 150 orang ? Agar bakal wira kebanggaan Malaysia itu benar-benar dapat dicungkil dan dicarigali di kalangan adik-adik kita agar yang benar-benar layak memartabatkan maruah Malaysia dapat dipilih seteliti telitinya ?

Sekali lagi, mengambil Jepun sebagai perbandingan. Semasa dalam Darjah 3, saya masih ingat lagi majalah Dunia Sukan menyiarkan gambar kanak-kanak Jepun pada usia tadika sedang menimbang bola di atas padang. Berapa ramai yang ada dalam gambar itu ? Penuh separuh padang bolasepak !

Kesimpulannya, mereka itulah yang kita lihat menyarung jersi biru kebangsaan Jepun dengan bermain dengan penuh rasa bangga dalam Piala Dunia sekitar 12 tahun kebelakangan.

Persoalan Kelima

Di akhir simposium itu, FAM memberitahu media bahawa bukan setakat tanggungjawab mereka sahaja dalam memastikan Malaysia layak ke Piala Dunia sebaliknya turut sama melibatkan peringkat akar umbi di negeri-negeri ?

Ada nada yang seakan sedikit kurang menyakinkan dalam kenyataan itu. Sejauhmanakah persatuan bolasepak negeri memberikan komitmen terhadap sasaran FAM ini. Mengapa media tidak meminta ulasan dari kalangan wakil persatuan negeri ataupun pandangan dari tokoh-tokoh bekas jaguh bolasepak negara yang turut hadir pada masa itu ?

Sedikit sebanyak timbul kekhuatiran bahawa belum ada satu bentuk kerjasama yang dipersetujui di kalangan semua pihak yang menyertai simposium itu. Lainlah misalnya ulasan yang diberikan oleh FAM itu berbunyi :

‘FAM akan bertanggungjawab penuh memastikan sasaran itu tercapai dan semua persatuan negeri juga akan sama-sama bertanggunjawab menjadikan sasaran itu satu kejayaan kepada seluruh rakyat Malaysia’

Nah. Bukankah itu lebih bernada patriotik ?

Persoalan Keenam

Pujian sesungguhnya buat FAM di atas sasaran yang berani itu. Namun begitu, di kalangan masyarakat mungkin belum dapat menerimanya kerana satu kesimpulan sahaja iaitu sasaran yang berani belum tentu sasaran yang realistik.

mokhtar-maradona.jpg

Gambar : Allahyarham Mokhtar dan Maradona – perlawanan persahabatan Selangor dan belia Argentina, akhir 1970-an

Sekadar imbasan, bukan hanya saya malah majoriti rakyat Malaysia pasti terlalu rindukan masa-masa silam ketika martabat Malaysia diangkat oleh Allahyarham Mokhtar Dahari, Dato’ Soh Chin Aun, Santokh Singh dan R. Arumugam satu masa dahulu.

Pada tahun-tahun 1980-an, saya masih budak kecil tetapi suasana gegak gempitanya Stadium Merdeka semasa Malaysia beraksi dalam Pestabola Merdeka tidak akan hilang dari kenangan. Pentas antarabangsa milik kita yang sudah cukup baik untuk mencarigali bakat Malaysia ke Piala Dunia tapi baru kini FAM memberikan kita sasaran yang cukup berani.

Pandangan

Cukup dengan segala imbasan dan persoalan. Apa pun, pokoknya FAM telah memberikan ‘janji’nya kepada rakyat Malaysia. Sebagai menghormati keberanian itu, kita berikan kepercayaan dan terserah kepada kebijaksanaan golongan profesional dalam sukan bolasepak untuk mengikhtiarkan perancangan dan strategi dalam mencapai hasrat Piala Dunia 2022.

Namun atas rasa tanggungjawab, sebagaimana FAM mengatakan bahawa ia bukan tanggungjawab mereka semata-mata maka pihak lain baik individu atau organisasi perlu melakukan sesuatu (malah kerana rasa tanggungjawab itu, artikel ini diutuskan). Kerana inilah masanya. Bukan dua atau tiga tahun lagi, apatah lagi kalau hanya tinggal 5 tahun sebelum 2022.

15 tahun tidak lama. Sebagaimana seorang guru melihat anak murid kecilnya sudah besar dan layak menduduki PMR. Sekejap sahaja. Di pihak FAM dan golongan profesional, persiapan strategi dan teknikal adalah urusan mereka. Di pihak lain, sokongan yang paling padu mesti diberikan sepenuhnya.

Tidak bolehkah RTM, TV3, NTV7, 8TV, TV9 dan Astro menyediakan slot khas yang menyorot tentang perkembangan semasa, persiapan, latihan, perlawanan ujian, pencapaian dan sebagainya dalam satu program khas setiap minggu ?

Program khas itu tidak semestinya sebagaimana sesi pemilihan My Team yang berupa rancangan realiti tetapi samalah sebagaimana siri-siri tentang persiapan negara-negara lain yang bakal bertanding di Piala Dunia setiap 4 tahun itu.

Tidak perlu terlalu mendedahkan para pemain yang masih kecil nanti memberikan tekanan yang berat pula. Tetapi tumpukan lebih kepada hasil dan keputusan. Sedutan perlawanan persahabatan. Siaran langsung atau rakaman perlawanan ujian. Pandangan pegawai pasukan. Temubual pegawai FAM dan negeri. Ulasan bekas jaguh tempatan. Perancangan latihan. Kuiz penonton. Segala bentuk cara yang benar-benar sesuai menarik minat penonton !

Selain itu, badan-badan korporat ternama seperti Air Asia, tidak teringinkah menaja pasukan kebangsaan 14 tahun ini bertanding dengan pasukan-pasukan seusia dari negara-negara yang telah ‘pasti’ akan bertanding di Piala Dunia 2022 kelak ?

Diberikan dua sebab tersirat atas cadangan ini iaitu ; agar mereka benar-benar tahu betapa seriusnya peranan mereka dalam mencapai sasaran ini dan ; jika mereka layak bermain di Piala Dunia 2022 nanti maka setidak-tidaknya satu atau dua muka pemain negara lain telah pun mereka kenali, kerana mereka pernah bermain bersama pada usia 14 tahun dahulu.

Malah selain dari nama-nama agensi dan badan korporat yang dinyatakan di atas, tak kan lah tidak ada badan-badan korporat atau NGO lain yang ingin memberikan pandangan bernas ‘di luar kotak’ demi cita cita yang sungguh murni ini ?

Paling kemuncak di sini, jangan lupa bahawa 2022 adalah 2 tahun selepas Wawasan 2020 di mana Malaysia telah maju dalam acuannya yang tersendiri. Kalau benar pemain-pemain Malaysia melangkah masuk ke padang pada Piala Dunia itu, sesungguhnya itulah hadiah yang paling berharga untuk setiap seorang yang berbangga mengaku rakyat Malaysia.

Apa pun, syabas FAM dan selamat berjaya. Di sebalik gusarnya keyakinan penyokong bolasepak tempatan namum pastinya seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh di belakangmu, andai semua usaha ini benar-benar dibuktikan dengan serius. Semoga Malaysia berjaya.

http://www.fam.org.my/

http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_sports.php?id=237105

http://en.wikipedia.org/wiki/Mokhtar_Dahari