Belajar Guna Perigi
Apabila masuk ke asrama sekolah, cabaran hidup di atas kaki sendiri pastinya akan dilalui oleh setiap mereka yang merasainya. Basuh baju sendiri, kemas katil sendiri, menentukan masa sendiri adalah antara perkara yang biasa.Namun semasa masuk ke Teknik Melaka tidak terlintas langsung bahawa saya akan memperolehi satu pengalaman berharga yang memang tak akan dirasai andainya masih berada di KL. Pengalaman yang saya maksudkan itu ialah belajar menggunakan perigi.
Pada tahun 1990 seluruh negeri Melaka mengalami krisis air yang menyebabkan bekalan air awam ke seluruh negeri terjejas teruk. Bukan sahaja asrama sekolah malah kawasan kampung dan perumahan juga menerima kesannya.
Ketika itu, sangat sukar untuk mendapatkan bekalan air. Bangun pagi sahaja terus menuju ke bilik mandi dan apabila paip dibuka setitik air pun tidak menitis. Kering bagaikan kemarau. Itupun mujurlah pihak sekolah memastikan takungan air kolah mandi sentiasa mencukupi untuk digunakan sama rata sesama pelajar melalui bekalan air yang dihantar ke sekolah oleh lori JBA.
Bagi mengatasi kesulitan ini, pihak sekolah telah mendapat kerjasama orang kampung di sekeliling sekolah untuk membenarkan pelajar asrama mengambil air dari perigi mereka. Pada tahun itu saya berada di Tingkatan 5 dan telah pun masuk ke asrama dalam kawasan sekolah.
Bayangkan pelajar asrama yang berjumlah ratusan orang itu, pastinya jumlah sukatan air yang diambil oleh mereka banyak sekali. Namun orang-orang kampung sekitar Bukit Piatu sentiasa bermurah hati dan tidak menyekat kami dari turun mengambil air.
Di waktu petang, pelajar-pelajar berduyun-duyun keluar dari pagar asrama membawa baldi masing-masing (namun waktu keluar digilirkan antara lelaki dan perempuan) adalah satu pemandangan yang biasa.
Memang orang-orang kampung Bukit Piatu sangat baik hati. Salam yang diberikan kepada makcik dan pakcik tuan punya perigi sentiasa berjawab dengan penuh kemesraan daripada mereka. Di kalangan pelajar lelaki pula biasanya akan menuju ke rumah pakcik atau makcik yang salamnya pernah dijawab oleh anak dara mereka. Namun tidaklah pula mereka menunjukkan perlakuan yang tidak disenangi penduduk kampung, sekadar saja-saja maklum sahajalah budak-budak remaja.
Pertama kali merasai pengalaman menurunkan timba yang diikat dengan tali ke dalam perigi dan mengaut air untuk dibawa naik ke atas adalah sesuatu yang tak boleh dilupakan. Tak kira budak KL atau negeri lain, sama sahaja rupanya. Ramai juga yang ‘keras tangan’. Cara balingan timba pun tak betul. Itu pun ada juga yang cuba menjadi pakar di kalangan sesama sendiri ..
“Apa benda la kau ni, baling baldi macam tangan kayu. Bak sini biar aku tunjuk! ”
Gelak ketawa dan saling memperli sentiasa menjadi penyeri dalam suasana itu. Mula kutuk orang lepas itu orang lain pula beramai-ramai mengutuk diri kita sendiri dan begitulah seterusnya.
Kadang-kadang oleh kerana ramai yang menunggu giliran maka ada yang mengikat sendiri baldi mereka pada tali supaya beberapa orang boleh menimba air pada satu satu masa. Namun ada yang tak bernasib baik kerana tak pandai mengikat dan baldinya terjatuh ke dalam perigi.
Krisis air Melaka mengambil masa yang agak lama juga untuk dipulihkan malah khabarnya sehingga generasi Akirasuri memasuki sekolah itu 10 tahun selepas batch saya pun, bekalan air masih menghadapi gangguan. Apapun krisis air pada zaman saya telah memberikan tempoh secukupnya kepada semua pelajar membiasakan diri dengan perigi. Bukan sahaja belajar dalam aliran teknik tetapi juga mahir dalam teknik menimba air dari perigi.
Bagaimanapun setakat yang saya tahu di kalangan generasi pelajar di zaman saya di sana tidaklah pula ada yang berjaya menambat hati mana-mana pakcik makcik orang kampung untuk mengambil mereka menjadi menantu walaupun telah pandai menimba air perigi.
Kalaulah ada agaknya, maka benar sungguhlah pepatah yang mengatakan ‘takkan perigi mencari timba’ . Eheh.
Kini Melaka khabarnya sudah jauh berubah. Bakal menjadi negeri WiFi. Juga sungainya telah diperindahkan. Bertuah kiranya bumi Melaka ini …