Archive for the ‘ Jalan-Jalan ’ Category

‘Menikmati Masa’

Di atas sebab-sebab kepentingan awam, tempoh saya bertugas di selatan diteruskan untuk dua minggu lagi. Semuanya sebulan.

Kasawari ada menghubungi saya sekembalinya dia ke Johor dari menonton A1 di Sepang, mengajak keluar malam pada hari Khamis sudah namun nasib tak menyebelahi kami kerana saya sudahpun menerima pelawaan rakan setugas. Mungkin minggu depan ada masa yang sesuai.

Pada kiraan saya, jarak dari rumahnya di Senai dengan Larkin di mana saya berstesen tidak kurang jauhnya. Pada masa-masa tertentu jalanraya agak sesak juga. Apa pun terima kasih kepada beliau kerana susah-susah datang jauh jauh begitu.

Untuk tempoh sebulan ini, perlu saya lakukan apa yang sesuai bagi ‘menikmati masa’ yang lama itu. Ini adalah antara apa yang saya ada untuk dipaparkan buat masa ini. Mencari sup gear box di ZZ Soup dan ujikaji membuat ‘cappucino’ sendiri di bilik hotel.

restoran-zz-kat-jb.jpg

telur-dadar-sotong-goreng-tepung-kailan-ikan-masin.jpg

sup-gear-box-kat-restoran-zz-di-jb.jpg

capucino-buatan-sendiri.jpg

Advertisements

Gerai Air Tebu ‘Abang Nan’

(bersambung dari Surau di TBBU)

Rasanya, mana-mana bekas pelajar Teknik Melaka dari mana-mana generasi sekali pun, amat tahu kenal dengan seorang lelaki yang dipanggil Abang Nan yang membuka gerai air tebu betul-betul bersebelahan dengan pintu masuk sekolah ..

Semasa saya memasuki Teknik Melaka pada tahun 1989 itu, ‘gerai tolak’ milik Abang Nan itu sudah sedia ada di sana. Saya kurang pasti selama manakah beliau telah mula berniaga di situ, namun jangkaan saya memang telah lama berdasarkan gaya perbualannya dengan orang-orang kampung.

Gerai Abang Nan sentiasa menjadi destinasi pilihan pelajar-pelajar untuk membeli air tebu yang lemak manis dan sungguh menyegarkan. Sama ada; selepas sesi sukan wajib di sebelah petang, selepas kegiatan ko kurikulum, selepas kerja elektif di bengkel kejuruteraan atau ladang pertanian, gerai abang Nan pasti dikunjungi ramai.

Begitu juga di hujung minggu hari Sabtu, selepas selesai kerja-kerja gotong royong atau di hari Ahad selepas bermain bola seawal jam 8 pagi. Pastinya juga dalam bulan Ramadhan, seawal 6 petang lagi air tebu Abang Nan sudah mula dicari.

Ya, siapa yang dapat melupakan air tebu Abang Nan itu …

Kerana nostalgia itu, ketika berada di Melaka menjalankan tugas selama 2 minggu pada bulan puasa lalu (2007), walau sesibuk mana pun saya berazam ingin berkunjung semula ke gerai Abang Nan.

Semasa memandu kereta menyusuri jalanraya menuju ke sekolah lama itu, rentetan nostalgia tidak henti-henti berputar di ingatan. Saya juga berasa sedikit gusar, kalau-kalau Abang Nan tidak lagi berniaga di situ. Namun setibanya saya di hadapan sekolah, alangkah teruja rasa hati melihat gerai Abang Nan masih ada di situ.

Maka bertemulah saya dengan Abang Nan di petang bulan puasa itu, mengulangi tradisi bulan puasa semasa bersekolah dulu; membeli air untuk dibuat berbuka puasa. Namun pada petang itu hanya air soya dan air kelapa sahaja yang saya beli. Abang Nan tidak lagi menjual air tebu kegemaran pelajar Teknik Melaka dulu. Dah letih memesin tebu katanya.

Lebih menggembirakan apabila Abang Nan masih mengecam saya walapun sudah 17 tahun tidak berjumpa. Sambil berbual-bual ceria tentang kisah lama dan bertukar-tukar khabar baru, Abang Nan memperkenalkan saya dengan seorang pelanggan tetapnya yang merupakan guru di sekolah lain berdekatan, yang juga ‘super senior’ ; mula menjadi pelajar Teknik Melaka kira-kira 10 tahun lebih awal dari saya. Nampaknya bukan saya sahaja bekas pelajar yang mengunjungi gerai beliau.

Rupa-rupanya kuat benar daya ingatan Abang Nan terhadap bekas pelajar-pelajar Teknik Melaka. Katanya, ‘saya ni dah macam cikgu kamu juga, budak datang dan pergi .. saya tak ke mana juga masih di sini’.

Dalam kegembiraan mengulangi pertemuan itu, ralat juga rasanya kerana saya tidak mengambil apa-apa gambar. Kealpaan itu hanya saya sedari selepas beredar meninggalkan gerai beliau. Tambahan pula sejak dari awal memasang niat ingin berkunjung ke gerai beliau itu pun, tidak pula saya terfikir untuk menjadikan kisah itu sebagai bahan tulisan.

Kalaulah orang bertanyakan “apa yang istimewa di Teknik Melaka?” Saya pasti tidak tersilap kalau mengatakan salah satu keistimewaannya ialah gerai air tebu Abang Nan.

Memang dia bukan guru yang mengajar pelajar Teknik Melaka, namun sumbangan ‘kecil’ abang Nan itu adalah antara penyeri hidup pelajar Teknik Melaka generasi demi generasi.

Terima kasih abang Nan.

air-tebu-foto-from-flickr-by-azka98.jpg.

sekadar meminjam gambar untuk nostalgia ini ..

– akan disambung dengan kisah Kuih Pak Ajit, Insya Allah –

Khabar Dari Selatan

Buat masa ini saya masih bertugas di selatan tanahair. Terima kasih kepada Kasawari yang meluangkan masa untuk minum2 dan borak2 di Singgah Selalu yang terkenal di JB ini, pada malam Rabu yang lalu.

Menikmati dingin malam yang baru disejukkan oleh hujan, berlatarkan lagu November Rain (Guns n’ Roses) menjadikan suasana itu sebagai ‘cukup sempurna’. Tambah-tambah pula bila lagu-lagu ‘live’ Deep Purple diputarkan selepas itu, seperti Smoke On The Water dan Highway Star lagilah rancak jadinya.

Ingin saya tuliskan cerita tentang melepak itu tapi nampaknya, semuanya sudah begitu terperinci dituliskan oleh Kasawari. Baca sajalah di sini.

Pertama Kali Menonton Filem Hindustan

Saya bertugas ke selatan tanahair sepanjang minggu ini dan selang minggu berikutnya. Untuk itu, penulisan tentang nostalgia ‘hostel life’ saya rehatkan seketika. Penulisan kali ini adalah tentang sebuah nostalgia tentang filem Hindustan.

kkkg.jpg

Saya sebenarnya bukanlah peminat filem Hindi @ Hindustan. Dari kecil lagi saya anti filem Hindi dan pemikiran saya telah membuat tanggapan bahawa menonton filem Hindi itu tidak macho dan ‘tak rock’ kerana kisahnya terlalu banyak nyanyian dan tarian serta jalan ceritanya meleret dan dibuat-buat.

Semasa kecil, pernah sebuah filem Hindi disiarkan di  televisyen dan panjang sungguh kisahnya sehingga terpaksa disiarkan selama dua hari, bermula jam 1.00 tengahari sampai 4.00 petang dan bersambung keesokan harinya. Hairan bila difikirkan bagaimana penonton melayan emosi menghabiskan filem yang sungguh panjang itu, selama dua hari itu. Mungkin macam filem Titanic juga agaknya. Entahlah.

Prinsip menolak filem Hindi itu saya pegang hingga dewasa. Tambah pula melihat artis Bollywood yang berperangai mengada-ngada, mengalahkan Hollywood. Juga apabila melihat penerbit filem Bollywood menggunakan lokasi negara lain untuk di-India-kan dalam filem, termasuk Malaysia. Atas dasar pelancongan terpaksa dibenarkan, alasannya. Tapi bagi saya, ia sungguh menjengkelkan, malah sungguh tidak patriotik bagi negara sendiri. Sanggup meminjam negara sendiri kepada orang luar dan biarkan ia dicanang sebagai India. Terhadap penerbit dari Bollywood pula, memanglah mereka itu tidak ada perasaan malu dan sensitiviti.

Pada tahun 2000, semasa seluruh Malaysia sedang taksub dengan Kuch Kuch Hota Hey dan Mohabaten (jika salah ejaan filem itu, harap maaf) saya tidak terpengaruh sikit pun. Maksud saya, tidak ada rasa teruja ingin mengetahui apakah kisah di sebalik filem-filem itu. Tidak ada rasa digamit oleh panggung-panggung TGV dan GSC untuk cuba menonton lakonan Shah Rukhan, Kajol serta Rani.

Semasa masih berteman dengan girlfriend saya sehinggalah selamat mendirikan mendirikan rumahtangga dengannya, saya mengenali bahawa salah satu sifatnya ialah peminat filem Hindi. Bagaimanapun, ia tidaklah menjadi suatu kenyataan yang sukar saya terima. Saya tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri.

Namun ‘dugaan sebenar’ datang tidak lama selepas kami berkahwin. Dia mengajak saya menonton filem Kabhi Kushi Kabhi Gam (KKKG) di panggung ..

Saya turuti permintaannya itu setulus hati. Soal tidak minat tidak mengapa, boleh dikorbankan. Prinsip anti pada filem Hindi, saya letak ke tepi dahulu. Jadi, saya dan isteri telah ke Mid Valley untuk menonton filem ini.

Selesai menonton, ke luar dari panggung, dia bertanya “macam mana, best tak?”. Komen saya ? Saya senyum sahaja dan kemudian memberi komen, “ini satu-satunya filem yang sarat dengan nilai dan menjatuhkan ego dan airmata Abang”.

(Ya sesiapa yang rasa ingin ketawa boleh berbuat begitu sekarang : P)

Sangkaan saya, selepas itu saya akan mula meminati filem Hindi. Tapi tidak rupanya. Walaupun ada menemani isteri menonton filem Hindi lain selepas itu namun KKKG kekal menjadi satu-satunya filem Hindi yang saya anggap paling logik dan relevan jalan ceritanya.

Sehingga kini, lagu-lagu dalam filem KKKG (tidak ingat tajuknya), kalau-kalau keluar di radio akan terus mengembalikan nostalgia menonton filem itu. Sekurang-kurangnya ada lah juga lagu Hindi yang dapat menambat jiwa rockers saya ini.

Entri ini khas buat isteri tersayang. Luv – abang.

Bunga Api di Putrajaya

Masih ingat pertunjukan bunga api di Putrajaya sempena kemerdekaan ke-50 bulan Ogos yang lalu ? Kenangan bersama keluarga melihat percikan bunga api dan kunjungan seorang rakan telah saya tuliskan namun gambar-gambar yang diambil belum sempat saya paparkan sebelum ini.

Ini antara yang sempat dirakam melalui lensa saya sendiri semasa pertunjukan hari pertama (lokasi : PICC) dan hari terakhir (lokasi : tasik di Desa Pinggiran Putra) ..

bungapi-putrajaya-01.jpg bungapi-putrajaya-02.jpg bungapi-putrajaya-03.jpg

bungapi-putrajaya-04.jpg bungapi-putrajaya-05.jpg bungapi-putrajaya-06.jpg

bungapi-putrajaya-07.jpg bungapi-putrajaya-08.jpg bungapi-putrajaya09.jpg

Menonton Transformers

sebenarnya dah hampir dua minggu saya balik dari langkawi. coklat yang dibeli pun dah habis. tapi ada bermacam-macam perkara berlaku menyebabkan saya tak terjenguk blog ni. saya sendiri ternanti nanti masa untuk mengarang kisah-kisah nostalgia persekolahan dan sebagainya. ilham datang mencurah-curah tapi waktu pula yang berkata ‘tidak ! bukan sekarang ..’ dan deretan tugasan kerja tentunya satu dari faktor penghalang utama. keletihan fizikal dan mental juga. apa apa je lah. kalau nak beri alasan panjang memang boleh aja.

dalam satu dua minit yang saya masih miliki ini .. ingin saya ceritakan tentang sesuatu yang satu Malaya dah tahu .. ya walaupun semua orang tahu, saya tetap bercerita jugak  iaitu TRANSFORMERS yang mula ditayangkan di Malaysia 28 Jun lalu. Saya mengambil kesempatan membawa anak saya menonton tayangan early bird pada hari Sabtu 30 Jun. Isteri saya pula terpaksa bekerja di hari Sabtu tersebut jadi hanya kami berdua saja yang pergi. Walaupun memilih waktu tayangan awal, seat hampir penuh dan kami duduk di baris paling depan.

Apa yang ingin saya kongsi di sini ialah tentang golongan yang menonton hadir Transformers. Berdasarkan peringkat umur penonton, saya pasti majoriti penonton (termasuk saya) satu masa dulu adalah golongan kanak-kanak yang tidak ketinggalan mengikuti kartun Transformers di tv seawal tahun 1986.

Mereka sangat kenal dan ingat siapa itu Optimus Prime, Bumblebee, Starscream, Megatron dan apa itu planet Cybertron. Juga mudah sekali bagi mereka untuk menghayati plot dan falsafah di sebalik isu peperangan ‘manusia-Autobots-Decepticons’ itu. Kedengaran juga bisik-bisik sesama mereka .. “eh Bumblebee dah tak jadi volkswagen lah” (versi baru ni Bumblebee bertukar menjadi kereta sport Camaro) atau “nape Megatron tak bertukar jadi pistol ni ??” .. ahh layan nostalgia betul nampaknya mereka 🙂

Transformers di zaman semasa saya masih bersekolah dulu adalah antara fenomena yang mempengaruhi budak-budak. Memang ketara benar. Logo-logo Autobots atau Decepticons menghiasi helaian mukasurat kosong buku sekolah. Hinggakan ada sorang budak di sekolah dulu digelar Megatron kerana namanya Megat.

Selepas Tranformers melalui pembaharuan dalam siri-siri di tahun-tahun berikutnya generasi awal remaja yang sudah mula meningkat dewasa mungkin kurang memberi perhatian. Namun dengan kembalinya Autobots dan Decepticons ke bumi membawa peperangan mereka yang tak kesudahan, ditambah lagi bukan dalam objek kartun tetapi ‘dihidupkan’ dalam kehidupan sebenar manusia .. majoriti besar di kalangan generasi yang pernah mengenali Transformers dulu dulu pasti tidak berfikir dua kali sebelum membuat keputusan untuk berjumpa dengan watak-watak robot itu di pawagam.

Dan mereka itu yang dulunya budak budak sekolah di zaman awal Transformers kini adalah abang-abang dan kakak-kakak yang datang membawa anak-anak mereka sebagai peminat cilik Transformers generasi baru..

Ya memang seronok rasanya menonton dengan mereka yang sama-sama faham, merasai dan melalui pengalaman silam yang serupa. Untuk saya sendiri, bertambah lagi keseronokan itu apabila dikongsi bersama-sama anak saya yang semacam terpukau benar melihat robot besar itu bertukar menjadi bermacam-macam benda. (anak dengan bapa sama je .. hehhhe)

Jadi, anda belum menonton Transformers ? Rugi tak tengok kerana selepas menontonnya anda akan didatangi nostalgia-nostalgia manis yang mungkin telah lama anda lupakan …

transformers

Dulu dan sekarang ….

transformers-dulu-sekarang.jpg

Menonton Ninja Turtle The Movie

Oh tak terasa sudah tiba ke satu lagi penghujung minggu … kerana baru saja di hujung minggu lalu saya dan isteri menunaikan janji kepada anak kesayangan kami yang begitu ingin menonton Tenage Mutant Ninja Turtle di KLCC. Ramai juga yang datang menonton seisi keluarga. Elok lah tu 🙂

http://www.wetaworkshop.co.nz/

Bagi saya tidak timbul istilah terlalu ‘tua’ untuk menonton cerita animasi. TMNT tidak mengecewakan baik untuk anak saya juga saya sendiri. Plotnya dewasa. Cuma wataknya sahaja diadaptasi dari kartun kesukaan kanak-kanak. Moral of the story is about brotherhood. Hmm .. air dicincang takkan putus. Ada sentuhan yang membuatkan rasa terharu menyelinap sekali sekala.

Gambar ini pula adalah kenangan yang dirakamkan untuk anak saya ketika bertemu Ninja Turtle dua tahun lalu ..

ninja-turtle-02.jpg

TMNT pertama kali muncul di TV semasa saya sendiri masih bersekolah lagi. Patutlah anak saya minat betul; mewarisi minat menonton TMNT yang terdapat dalam DNA saya, hehhe.

Janji yang seterusnya ialah Spiderman 3. Insya Allah akan saya tunaikan juga permintaan si manja ini. Dan .. dengan ketiadaan isteri sekali lagi di sisi (ke Langkawi pulak dia kali ni) maka berdua lagilah saya dengan anak kesayangan. Berdua dengan mu pasti lebih baik? Ya betul tu. Dia lebih manja kalau hanya tinggal berdua. Kalau bertiga .. dia akan cuba melakukan sesuatu termasuk aksi-aksi stunt hanya untuk mendapatkan perhatian saya.