Archive for the ‘ Keluarga ’ Category

masa sihat sebelum datangnya sakit ..

bukanlah sakit teruk sangat. namun soalnya tetap tentang ‘sakit’. bila kita sihat dan melihat orang lain sakit, mungkin mudah sekali kita menanggap .. ‘alah sikit je sakitnya tu’

namun soalnya, sakit itu hanya Allah dan orang yang menanggung nya saja yang tahu rasanya.

bila aku menoleh kembali kira-kira sebulan yang lalu. bagaikan tak daya mengingatkan apa rasa nya ketika menanggung ujian yang diturunkan itu. cukuplah  hanya dengan bertambah sedar bahawa ramai yang sayang kepada kita dan Dia juga memberikan banyak ‘pesanan’ melalui sakit yang diberikannya untuk kita rasa, dengan syarat kita haruslah tahu berfikir dan mensyukurinya.

ampunkan aku Ya Allah. syukur atas nikmat sihat pemberian Mu.

esok aku mula bekerja balik …

emosi di kala berangkat sebagai tetamu Allah (buat mak dan abah)

bukan aku tak pernah menghantar keberangkatan bakal haji di kelana jaya. bukan aku tak pernah melihat sendiri di depan mata ku, esak tangis waris yang melambai-lambai orang tua mereka di pintu berlepas di kompleks tabung haji itu.

tapi baru kini aku mengerti apa perasaan sebenarnya …

itu mungkin kerana kami adik beradik ipar duai telah berusaha sejak setahun yang lalu berikhtiar mengumpul tabungan dan membuat persiapan. mungkin kerana kami melihat sendiri pengharapan dan pengorbanan orang tua kami dan apa yang dilalui dalam setiap proses dari memohon, merayu, menerima kelulusan, mencukup jumlah simpanan Tabung Haji, mendapatkan suntikan vaksin, menghantar mereka ke kursus haji dan hinggalah akhirnya menyediakan persiapan akhir.

mungkin kerana kami sedikit sebanyak merasai antara bahagian-bahagian itu, maka menjadikan kami lebih mengerti perasaan tatkala melepaskan mereka di pintu pemeriksaan masuk di kompleks TH Kelana Jaya.

apa pun, perasaan itu memang sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata. kalau diikutkan tiada apalah yang sepatutnya disedihkan, kerana mereka menunaikan suruhan Allah dalam melengkapkan kepatuhan kita melalui rukun Islam yang lima. namun emosi itu menjadi berbeza apabila kita menyedari bahawa perjalanan urusan haji ini bukanlah perjalanan biasa. hanya Allah yang Maha Mengetahui dugaan di sana, dan Dia juga yang menentukan takdir Nya atas doa dan pengharapan agar sekalian yang pergi ke sana itu kembali dengan selamatnya ke kampung halaman.

lagi pula, kami sangat menyedari bahawa segala persiapan untuk mak dan abah itu, apa lah sangat nilainya berbanding apa yang kami dapat dari mereka sejak dari tapak kaki sebesar dua ibu jari.

namun yang pentingnya aku sedar kini bahawa ada bezanya antara membantu persiapan orang tua kita menyahut seruan sebagai tetamu Allah ke tanah suci berbanding dengan hanya sekadar menghantar ke kelana jaya ..

dan ketika bersendirian tak lama selepas mereka hilang dari pandangan aku terimbau satu demi satu episod hidup bilamana mak dan abah menghantar aku di stesen bas balik ke asrama dan menghantar aku berlepas di lapangan terbang satu masa dulu ketika meninggalkan kampung halaman untuk mencari erti sebuah kehidupan ..

bagaimana agaknya perasaan mereka di kala itu ?

mungkinkah sama dengan perasaan aku di kala ini. penuh pengharapan – mendoakan yang terbaik – memohonkan agar kembali dengan selamat. tapi aku percaya apa yang mereka rasai terhadap anaknya ini jauh tak terbanding. apalah sangat perasaan ku. tidak akan sama nilainya dengan apa yang mereka telah korbankan.

pada menulis entri ini, mereka telah selamat tiba di Madinah dua hari yang sudah. itulah yang menghadirkan sedikit ketenangan dalam diri aku dan membolehkan aku menulis kembali di sini.

perjalanan sebenar mereka kini bermula. semoga Allah permudahkan urusan mereka di sana. Ya Allah, terima lah mereka sebagai tetamu Mu yang dikasihi, ampuni segala dosa mereka dan berikanlah kelapangan dada, kesihatan dan kekuatan azam untuk mengerjakan perintah Mu, agar dengan itu mereka dapat melaksanakan yang terbai dan beroleh ganjaran haji mabrur dari Mu jua.

untuk aku, ini adalah pengalaman yang baru. kini barulah aku memahami sebenarnya emosi perjalanan ke Tanah Suci; sekurang-kurangnya memahami sedikit sebanyak sebagai orang yang mendoakan dan mengiringi keberangkatan mereka.

Filem Seram di Hari Raya : siapa yang beraya sebenarnya ?

Syawal, minggu ke-2. kehangatan beraya masih dirasai.

Di layar tv filem-filem untuk meraikan hari raya masih ditayangkan. cuma tema barangkali tak menepati pilihan sesuai. apa kaitan genre seram dengan aidil fitri ? (atau yang seram tak jadi).

justeru, dialog spontan antara anak dan isteri saya menerbitkan senyum sendirian.

Ma, kenapa asyik cerita hantu je raya ni ?

Eh biasalah tu. kan iblis dah keluar penjara.

 

wahai karyawan filem. wahai penerbit rancangan. fikirkan.

Ungkapan Romantis Nabi Muhammad dan Siti Khadijah

bicara Siti Khadijah mengenai Nabi Muhammad SAW  

“Jika segala kenikmatan hidup diserahkan kepadaku, dunia dan kekuasaan Raja Iran dan Rom diberikan kepadaku, tetapi aku tidak hidup bersamamu, maka semua itu bagiku tidak lebih berharga daripada sebelah sayap seekor nyamuk”

 

sabda Nabi Muhammad SAW mengenai Siti Khadijah

“di saat semua orang mengusir dan menjauhiku, dia beriman kepadaku. ketika semua orang mendustakan aku, dia meyakini kejujuranku. sewaktu semua orang menyisihkanku, dia menyerahkan seluruh harta kekayaannya kepadaku”

 

alangkah indahnya !

.

sumber : Harian Metro selasa 7 september 2010

Ramadhan dan kehidupan

Ya Allah. Hanya Dikau Yang Maha Mengetahui apa hikmahnya di sebalik segala dugaan yang dikau turunkan kepada hamba-hamba Mu ini. sabarkanlah jiwa mereka dan cekalkanlah hati mereka menghadapi ketentuan Mu. Buat diriku dan keluarga ku wahai Allah, dikau lah Tuhan Yang Maha Mengerti isi hati kami, satukan hati kami dalam kasih sayang, berikan ketentuan yang baik-baik kepada kami, hanya kepada Dikau kami memohon pertolongan, tunjukkan kami jalan yang lurus. 

tragedi anak disimbah asid oleh bapa kandung

berlaku di terengganu. si bapa kandung; seorang penagih tegar. setelah sedar apa yang berlaku, kata si anak tiada lagi rasa sayang terhadap bapanya. walhal sebelum itu dia amat rapat dengan bapanya. manakan tidak. sedang lena tidur tahu-tahu saja berasa menggelupur kepanasan. barangkali sebelum tidur itu sempat dia membacakan doa untuk bapanya. namun sedar-sedar, bapa datang memusnahkan hidupnya ..

tragedi amuk selepas sahur

kejadian di teluk intan. si bapa dikatakan menghadapi masalah mental. panas barannya tidak terkawal. akibatnya, isterinya ditetak mati. terbayang akan detik bersahur kita yang cukup hening dan tenang suasananya. si kecil dipujuk bangun walaupun susah. yang belum boleh berpuasa pula semungkin boleh tidak diganggu agar tidak terjaga dari tidur. maka, suara-suara semasa waktu bersahur berbunyi antara berbisik dengan bercakap. indah bukan ?

namun bagi keluarga yang menghadapi tragedi itu. keesokannya si anak sudah yatim piatu. ibu yang dibantu semasa bersahur tadi sudah tiada. bapa pula ditembak polis, juga pergi selama-lamanya …

tragedi kemalangan empat sekeluarga maut nahas jalanraya

baru sahaja berbuka di negeri sembilan. dalam perjalanan pulang ke rumah di selangor.  si ayah selamat walaupun cedera; sempat menghadiri pengkebumian empat yang terkorban. si bongsu berusia setahun kritikal di wad. si ibu pergi selama-lamanya. tiga beradik mengiringi pemergian si ibu. termasuk kembar si bongsu. tentu sahaja tinggi harapan dan doa si ayah agar anak yang satu itu dapat terus hidup. namun bukan mudah untuk menjawab pertanyaannya kelak, mana ibu ? mana kakak dan abang ..

tragedi kematian si anak kecil Syafiah Humaira

arwah sudah lama meninggal. dan perbicaraan sedang berjalan sekarang. tertuduh mengatakan pada kejadian arwah dipijak di atas padang, dia mabuk dan khayal setelah mengambil ganja dan 2 botol Guiness Stout.

Musibbah dalam Ramadhan

Adalah sesuatu yang normal untuk berasa sedih atas musibbah yang menimpa saudara segama dalam bulan Ramadhan. semasa Sayidina Hamzah r.a. terkorban syahid perang Badar (dalam bulan Ramadhan), Rasulullah saw juga sangat bersedih. bagi kita yang manusia berdarjat biasa ini (jauh lebih rendah dari darjat para sahabat), hidup dalam zaman yang berbeza dan budaya yang tidak sama mungkin menjadi faktor yang mempengaruhi rasa sedih atas musibah dalam Ramadhan. kerana di tempat kita ni, Ramadhan adalah bulan yang cukup istimewa dalam mengeratkan ikatan kasih sayang keluarga, dan di hadapannya pula ada Syawal. walaupun masayarakat memang umum mengetahui bahawa Ramadhan itu jelas sekali jauh lebih banyak ganjarannya berbanding Syawal.

jadi, oleh kerana hidup dalam zaman yang berbeza dan budaya yang tidak sama itu menjadi faktor yang mempengaruhi rasa sedih atas musibah dalam Ramadhan, maka menatap kisah tragedi dalam kehidupan pastinya meninggalkan  kesan yang sangat mendalam dan meruntun rasa sayu. sesungguhnya tragedi yang berlaku di bulan Ramadhan adalah ujian Allah yang amat berat bagi yang menerimanya.

tragedi ribut puting beliung

bazar ramadhan, jasin. rakaman video amatur ihsan You Tube disiarkan di TV1 menunjukkan khemah putih terbang setinggi 30 kaki ke udara !  bukan alang kepalang berat khemah tu. besinya tiangnya saja semasa nak dipasang bukan kederat satu dua orang. angin ribut itu pula, kalau angin kuat semasa hujan pun kita sudah cemas, ni kan pula puting beliung .. angin melayangkan khemah itu 30 kaki ke udara, bersamaan bangunan 10 tingkat ?

tiga orang meninggal dunia; 2 peniaga dan seorang pengunjung.

paling tersentuh bila melihat cendol milik seorang peniaga yang terkorban yang khabarnya berusia 70an. cendolnya nampak segar – masih penuh dalam tong air, belum sempat dijual. terbayang aku betapa penatnya dia membuat persediaan dari pagi, dibantu oleh isterinya yang kini hanya mampu meratap hiba pemergian suami tercinta.

dan sesetengah orang pula, sudah mula kedengaran macam-macam cerita. kononnya maksiatlah, ada berlaku benda-benda haram lah, tak menghormati bulan Ramadhan lah. ok terpulang masing-masing.

tapi harus diingat. kalau ribut itu berlaku bazar ramadhan depan rumah anda sendiri apakah anda akan mengatakan yang serupa ? kalau kena di batang hidung sendiri, kalau yang terkorban itu waris anda sendiri bagaimana ? kalau angin puting beliung itu benar-benar lalu di depan anda, barangkali untuk dosa siapakah itu, dosa anda sendiri ?

bercakap biarlah menggunakan akal. tidak ada seorang pun di kalangan kita adalah ma’sum. bukan begitu ?

si kecil adik

dalam masa dua tahun ‘kehilangan’ masa menulis, banyak benar perkara yang tak sempat ku tulis. namun tidak sekali segalanya hilang dari ingatan. segalanya abadi, insya Allah, selagi Maha Esa mengurniakan daya ingatan yang ku miliki ini.

adik  datang ke hidupku tanggal 6 februari 2009. kini (semasa penulisan ini) sudah 1 tahun 5 bulan. ibunya melalui proses caeserian ; sama sepertimana abangnya dulu. terlalu besar kiranya apa yang dikurniakan Allah buat keluarga ku. kini dia telah pun memiliki berbagai kebolehan sesuai dengan usia kecilnya, yang kadang kala ; hanya senyuman sahaja mampu ku ukir, tiada kata-kata dapat menggambarkannya.

pagi tadi aku berbual dengannya sebelum ku tinggalkan di taska. apa sahaja yang ku ucapkan, dia mengangguk-angguk bersungguh-sungguh; bagaikan faham benar apa yang ku katakan walaupun aku pasti manalah dia faham bahasa percakapan dewasa yang ku tuturkan itu. sekadar berpesan kepadanya supaya jangan nakal di sekolah, dengar cakap cikgu dan main elok2 dengan kawan. pun begitu, mungkin dia faham sebahagiannya.

perwatakannya mengembalikan nostalgia semasa abangnya berada di usia kecil dulu. sedikit berbeza namun kedua-duanya amat membahagiakan. walaupun aku kadangkala terpaksa bersuara tinggi menegah itu dan ini apabila kerenah mereka sudah tidak terkawal lagi namun segala-galanya adalah ‘senyuman’ buat diri ku.

aku masih belajar menjadi seorang bapa. bagi ku tidak ada seorang bapa pun yang dapat memperolehi pengalaman sebagai bapa melalui teori atau pemerhatian. pengalaman tersebut hanya diperolehi dengan melalui sendiri liku-liku kehidupan sehari demi sehari bermula dari anaknya seusia bayi – kemudian kanak-kanak – kemudiannya remaja – kemudiannya lagi belia – seterusnya dewasa dan akhirnya usia mereka tua (kalau hayat si bapa masih ada). lagi pula, pengalaman sebagai bapa kepada anak pertama belum tentu menjamin yang terbaik untuk anak kedua.

ringkasnya, pada fikiran ku ; setiap hari yang baru adalah ‘pengalaman baru’ bagi setiap ibubapa. mungkin seseorang ibu atau bapa itu ‘pakar’ berdasarkan pengalaman yang dilalui setakat hari semalam namun mereka pastinya belum benar-benar pasti adakah tindakan yang akan dilakukan hari esok merupakan sesuatu yang betul; apatah lagi untuk sesuatu perkara yang hanya kan berlaku dalam peringkat hidup yang seterusnya dalam usia si anak. kerana ia adalah sebahagian dari batas fitrah manusia yang amat terhad.

mungkin betul atau salah pandangan itu. penerimaan kita tidak sama.