Archive for the ‘ Masa Kecil ’ Category

Di Raya Ini.. Atuk Opah Dah Tak Ada

‘Opah dah takda’ itulah ungkapan adik bongsu saya melalui panggilan telefon petang Ahad 21 Ramadhan.

Makin ke penghujung, makin mencabar perjalanan Ramadhan tahun ini. Minggu lepas Pak Da (sebelah isteri), dua hari kemudiannya berita kehilangan sahabat yang amat dikasihi Khairil Hisyam Ahmad yang amat menyentap perasaan. Dan hari ini sampailah pula masanya untuk opah dijemput pulang.

Abah ? Jelas dia cuba berselindung di sebalik ketabahan diri walaupun saya tahu dia tidak dapat membendung kesedihannya.

Sementara berbuka puasa dalam keadaan serba sederhana, kami adik beradik dan ipar duai berbincang. Mujur saja semuanya berkumpul iftar di rumah abah petang itu. Senang keputusan dicapai. Masing-masing sepakat ambil cuti. Selepas berkemas ala kadar, kami bertolak balik ke Bendang Panjang, Kuala Kangsar, Perak. Abah dan emak naik kereta saya. Seboleh-bolehnya saya cuba mengelakkan perbualan yang menjurus ingatan terhadap opah walaupun saya tahu itulah perkara yang sedang bermain difikiran semua orang.

Laluan perjalanan juga sedikit sukar di dalam hujan lebat. Pada kala tiada perbualan, saya melayan perasaan seorang diri dan memutar kembali ingatan silam.

21 tahun dulu (1987) atuk pulang menyahut panggilan Illahi. Jauh benar beza masanya dengan opah. Masa itu umur arwah atuk 65 tahun.

Saya masih ingat lagi, abah datang mengambil saya di sekolah pada waktu petang. Malangnya pada masa itu saya sedang didenda berdiri atas kerusi oleh cikgu Bahasa Inggeris, Encik Megat namanya. Entah apa halnya saya pun tak ingat tapi lebih dari separuh kelas sedang berdiri atas kerusi pada masa itu. Ketika berjalan bersama abah, saya takut juga kalau-kalau ditanya tentang denda itu. Tapi abah sebaliknya berkata ‘atuk sakit tenat, kita balik kampung’.

Terus hati dihimpit sayu. Masih saya ingat lagi, pada masa itu baru sahaja lebih kurang sebulan atuk dan opah balik ke Kuala Kangsar selepas datang menziarahi kami di Kuala Lumpur. Ketika berada di rumah kami, atuk menyediakan hidangan nasi tomato ; resepi gubahannya yang lazat. Sampai sekarang pun kalau menjamah nasi tomato saya akan teringatkan atuk, kerana setakat ini belum lagi saya terjumpa nasi tomato yang sama rasanya dengan masakan atuk.

Kalau hari raya pula, atuk buat laksa. Laksa Kuala lain dengan laksa penang walaupun lebih kurang sama dari segi rupanya. Laksa Kuala dibuat dari tepung gandum. Kuahnya pula lebih pedas. Tak semestinya ada telur rebus. Kalau pada hari raya, laksa cepat habis. Kalau habis laksa minum (hirup) saja kuahnya.

Atuk juga, adalah orang yang bertanggungjawab yang memperkenalkan saya kepada ‘meriam’. Bukan meriam buluh tetapi meriam batang paip. Di kebunnya, suatu hari datang sekawan kera yang berhajat menikmati buah-buahan yang masak ranum. Atuk duduk diam-diam sahaja, saya pula yang disuruhnya menembak meriam.

‘pegi tembak’

‘tak pandai le atuk’

‘bukan budak lelaki kalau tak reti’. saya masih berdiam lagi.

‘cammana nak jadi askar ni??’ kata atuk sambil mencebik.

Itulah ayat yang mendorong kaki saya terus berjalan laju ke arah meriam. Berpandukan apa yang disuruh atuk saya pun mula menuangkan kabaid, air dan mencucuh api.

‘Busssss !!’ bunyi pertama yang dikeluarkan oleh meriam itu mengundang ketawa atuk. ‘Rupe bunyi kentut’ katanya. Ah tak boleh jadi. Saya diketawakan atuk.

Sekali lagi saya ulang proses-proses yang telah diajar dengan berhati-hati dan cukup sukatannya. Kali ini .. ‘denttuuummmmm !!!!!!’. Bertempiaran kera lari. Saya sendiri tergolek ke tepi kerana terperanjat dengan bunyi yang sama dengan dentuman meriam betul itu. ‘Nak buat lagi, boleh atuk?’. Dah rasa seronok. ‘Udah, mari kita balik’ katanya. Hampa saya.

Ah jauh pula saya menyimpang dalam tulisan ini. Berbalik tentang perjalanan pulang ke kampung selepas mendapat berita atuk sakit tenat, masa tu belum ada lebuh raya PLUS. Abah memandu laju di jalan lama sehingga terkena perangkap had laju. Polis trafik yang menahan kereta abah, apabila diberitahu tentang ada kecemasan di kampung sempat lagi berpesan pada abah ‘kuala kangsar tu jauh lagi nak sampai encik! sayangkan keluarga yang ini dulu’. Tanpa apa-apa saman kami dilepaskan, dan apabila diingati balik saya kagum dengan kehalusan taktik anggota polis dulu-dulu menasihatkan pemandu.

Namun apakan daya, setibanya kami di sana atuk sudah tiada lagi. Baru saja dalam sejam meninggal dunia .. Saat-saat arwah atuk dimandi, dikafan dan disolatkan masih segar dalam ingatan saya. Tempat-tempat di dalam rumah, di mana jenazahnya diuruskan masih jelas terbayang. Opah menangis setiap kali anak-anaknya seorang demi seorang tiba di rumah.

Dan kini, perjalanan malam itu adalah untuk menziarahi jenazah opah pula.

Opah seorang yang istimewa. Kalau hari raya, tak kan sah kalau tiada halwa kundur. Buah kundur yang dimasak dengan kuah air gula pekat manis. Pajri? Bukan setakat pajri terung atau nenas, pajri rambutan juga salah satu masakannya yang menambat hati. Dan bila rambutan sudah terlebih-lebih dalam musimnya, tidak habis dimakan, opah buat jem rambutan. Home made jam. Sapu dengan butter kat roti.

Opah juga gemar berpantun. Terima sahaja dengan kaku kalau pantun empat kerat yang terlontar dari mulutnya mengandungi persoalan yang sukar dijawab. Sudahlah nak menjawab pantun secara spontan menjadi satu masalah, nak memikirkan apa yang hendak dijawab apalah pula lagi. Saya sukar sekali menepis pantunnya terutamanya ketika di zaman bujang, bila soalannya bertanyakan bila nak kahwin.

Satu lagi, opah gemar memberi nama timang-timangan kepada cucu-cucunya. Macam macam nama diberi. Di masa saya kecil, opah memanggil saya ‘enche musa hitam’ : )   Entah kenapa saya pun tak tau, agaknya mengharapkan saya menjadi timbalan perdana menteri satu hari. sangat besar kemungkinannya itu tidak akan berlaku.

Malam itu sebaik sampai di rumah yang penuh nostalgia itu, jenazah opah terbujur kaku. Sama di sudut jenazah atuk dibaringkan dulu. Abah hiba menatap wajah emaknya. Begitu juga emak. Kami cucu dan menantu juga tak dapat menahan perasaan. Perlahan-lahan saya cuba kuasai diri saya semula dan kami bacakan Yassin dan tahlil untuk arwah.

Keesokannya, urusan memandi dan mengkafankan jenazah diuruskan oleh orang-orang wanita. Cicit-cicitnya termasuk anak saya tekun sahaja melihat urusan mengkafan dijalankan. Pengalaman pertama kali menyaksikannya. Perjalanan terakhir menuju pusara dan urusan pengkebumian berjalan lancar. Arwah opah disemadikan bersebelahan pusara arwah atuk. 20 tahun masa memisahkan mereka, kini mereka disemadikan sebelah menyebelah di alam barzakh.

Al Fatihah. Haji Abdul Hamid bin Rodin (1922-1987) dan Hajah Halijah Mat Saman (1922-2008).

_____________________________________________________________

Salam Aidil Fitri kepada semua. Saya menyusun jari sepuluh memohon segala ampun dan maaf atas apa jua kesalahan yang saya lakukan. Ramadhan berbaki seminggu, semoga pengabdian diri dalam 10 malam terakhir membuahkan hasil. AMIN.

‘SELAMAT HARI RAYA’

Kena Pukul Pasal Tak Sembahyang ..

oops .. tajuk ini nampaknya membocorkan rahsia saya masa kecil. Tapi tak apalah, sebab benda baik jadi teladan, buruk pula jadi sempadan.

Sebagaimana belajar sifir, dalam hal mengajar sembahyang ni emak juga yang melatih saya pada peringkat awalnya. Semasa tinggal di rumah di Jalan Cochrane, pada umur 7 tahun saya disuruh membaca buku ‘Belajar Sembahyang’ dan menghafal bacaan-bacaan dalam solat. Sekarang ni pun buku itu masih diterbitkan lagi.

Setelah boleh menghafal sikit-sikit saya disuruh mendirikan solat tetapi masih melihat buku kalau terlupa bacaannya. Kelakar juga rasanya, tengah-tengah solat bila terlupa toleh ke buku kat sebelah sejadah. Tapi tak apalah, dalam proses belajar. Pada masa itu juga abah sudah mula menyuruh saya menjadi makmum. Tak lama lepas tu kira-kiranya saya dah boleh menunaikan solat dengan teratur.

Tapi cerita sebenarnya ialah masa saya di darjah 4. Dah berumur sepuluh tahun masa tu. Pada satu hari di hujung minggu, lebih kurang jam 4.00 petang abah dan emak nak keluar ke kedai. Abah pesan kat saya “Jangan lupa, kejap lagi nak masuk waktu asar,sembahyang !” . Saya menyambut pesanan itu dengan janji akan menunaikannya.

Selepas abah dan mak keluar, tak lama lepas tu kedengaran pulak suara kawan-kawan di luar rumah. “oooi ..main bola! ” Hah. Main bola ? Serta merta saya rasa teruja bila diajak main bola dan terus sahaja meloncat-loncat keluar dari rumah. Main bola sepuas-puasnya hinggalah balik ke rumah di ambang maghrib.

Sampainya saya di rumah, abah dan mak dah lama balik dari kedai. Abah menunggu saya masuk lalu bertanya “kamu sembahyang asar ke tadi?”. Saya pucat tak semena-mena. Masa tu lah baru saya teringat akan janji menunaikan solat asar sebelum abah keluar tadi. Walaupun saya terlupa sama sekali dan bukan sengaja nak tinggalkan solat asar namun saya tahu segalanya telah terlambat. Antara yakin dengan tidak saya pun menjawab, “err .. dah sembahyang dah abah”.

” Cakap betul-betul !!”
” Iya abah, betul … ”
” Tu ! Sejadah tu sama ja lipatnya. Selipar bilik air tu ! Sama ja letaknya. Tak berusik sikit pun, sama macam sebelum abah keluar tadi ! ”

Ahh. Rupa-rupanya begitu terperinci cara abah menilai perbuatan saya. Saya tak berani nak cakap apa-apa lagi dan hanya diam membatu.

” Sekarang cakap betul-betul !! Kamu sembahyang ke idak ?!!! ” sergah abah.

Saya hanya menggelengkan kepala. Abah pun terus menanggalkan tali pinggangnya dan … zaaasssss, saya menerima dua libasan di belakang badan. Pertama, kerana tak sembahyang. Kedua, kerana berbohong. Hampir seminggu barulah biratnya hilang. Saya rasa amat sedih dan sakit.

Tapi abah hanya menunaikan tanggungjawabnya terhadap agama iaitu mengajar saya solat mulai umur 7 tahun dan memukul saya pada umur 10 tahun kerana saya meninggalkan solat asar itu. Kini semuanya adalah nostalgia. Di usia begini, kenangan itulah lekat di ingatan dan masih menjadi peringatan bila datang kelalaian menduga diri.

Buat abah, terima kasih atas pengajaran ini. Saya amat menghargainya, percayalah.

Nostalgia Belajar Membaca Sifir

Salam sejahtera.

Dah agak lama catatan nostalgia tak dihasilkan dalam blog ni, hanya catatan tentang cerita-cerita harian yang banyak ditulis ; mungkin hanya kisah biasa buat masa ini tapi mana tahu jadi nostalgia satu masa kelak. Apa pun untuk entri ini saya berbalik kepada penulisan nostalgia. dan entri ini adalah diinspirasikan dari perbualan bersama kawan-kawan saya, Shamsul dan Shihabudin beberapa hari lalu …

Bagi generasi 70-an dan 80-an, saya kira kebanyakan dari mereka melalui pengalaman ini, mungkin tak sama sepenuhnya tapi pasti ada sedikit persamaan di sana sini. ini adalah nostalgia mereka yang merasai pendidikan awal semasa kecil dahulu.

Kejayaan kita sekarang mungkin berbeza tahap dan ceritanya. Namun dalam mencapai hasil dan kejayaan yang kita miliki hari ini, tentunya banyak kenangan terpahat laluan pendidikan awal semasa kecil dahulu. Selain dari dihantar ke tadika, bagi yang kurang berkemampuan mungkin mengikuti pendidikan awal di rumah.

Pada tahun2 70-an dan 80-an itu, kebanyakan dari kalangan mak-mak kita adalah suri rumah sepenuh masa. Dulu, tak ramai kaum ibu yang berkerjaya. Abah pergi bekerja dari pagi dan balik di sebelah petang. Maka ibulah yang mendisiplinkan kita di rumah pada kebanyakan masanya.

Bagi kebanyakan dari kalangan kita, dengan adanya mak di rumah adalah sesuatu yang sungguh istimewa. Pergi sekolah, mak sediakan sarapan. Menu kuih cokodok pisang, cucur tepung, nasi goreng belacan adalah antara sarapan yang cukup menyelerakan. Kadang-kadang disiapkan pula bekal. Balik sekolah pula, mak ada kat rumah dan sajian untuk makan tengahari telah tersedia. Seronok sungguh ..

Namun dalam seronok-seronok di waktu tengahari tu, mak tentunya takkan ‘melepaskan’ kita begitu sahaja. Maka adalah ada sesuatu yang berat sikit buat kita iaitu apabila mak menyuruh buat kerja sekolah. Bagi mereka yang mak nya garang tegas, buku-buku sekolah habis kena periksa semuanya dan akan menjawablah apa-apa yang patut tentang tanda pangkah (x) warna merah yang dihadiahkan oleh cikgu atas jawapan-jawapan yang salah.

Satu lagi .. lepas buku sekolah kena periksa di tengahari tu, kalau pun tak ada kerja sekolah tak bermakna jugak boleh buat benda lain. Mak akan suruh baca buku atau hafal sifir. Sambil mak membuat kerja-kerja rumah kita akan dipastikan tak buat benda lain dengan cara disuruh ‘baca kuat kuat’. Mak akan suruh kita baca dengan suara yang lantang dan kuat supaya dapat didengarinya walaupun semasa berada di dapur.

sifir

Bila membaca kuat-kuat ni, sesiapa yang pernah melaluinya akan tersenyum sendiri. Kalau baca sifir, irama bacaan sifir tu ada lagu yang tersendiri. Irama itu bukan untuk kita seorang sahaja tetapi sebahagian besar budak-budak masa itu menghafal sifir dengan irama yang sama. Kekadang berlawan irama tu dengan kawan sebelah rumah yang juga disuruh membaca sifir kuat-kuat oleh mak dia.

Kekadang, masa membaca kuat-kuat tu,otak kita terleka sekejap dan mula la senyap sekejap bila menungkan tentang benda lain. Tiba-tiba suara mak menerjah dari dapur ‘oooii tu apa ke hal dah senyap je hahh ??’ … dan kelam kabut bacan sifir disambung semula.

Dah puas hati mak mendengar bacaan sifir tu, disuruhnya pula tutup buku … dan diulang baca balik. Mak nak uji kalau kita dah hafal sifir tadi. Wahhh kalau tadi bukan main laju je membaca sambil tengok buku, bila kena tutup ni mula la tersangkut-sangkut …

Itulah antara aktiviti harian belajar di rumah masa mula-mula masuk sekolah. Bila dah besar sikit, sebelah petang tu dah kena pegi sekolah agama pula. Jadi, buat kerja sekolah dan baca sifir berubah waktu ke sebelah malam.

Hari ini kita telah mengecapi hasil dari apa yang diusahakan semenjak kecil, termasuk melalui apa yang mak telah turunkan pada kita. Dan melihat anak kecil kita hari ini, nostalgia itu kembali .. kalau dulu mak yang mengajar kita kini anak kita dihantar ke taska atau dijaga oleh ‘bibik’ di rumah, kerana isteri kita turut bekerja.

Apa sekalipun, berikanlah yang terbaik untuk mereka sebagaimana kita menerima yang terbaik pada masa dulu.

Buat emak, semoga Allah mengurniakan kesihatan kepada diri emak dan pahala yang tidak terhingga atas didikan yang emak berikan kepada saya selama ini.

Nostalgia Balik Mengaji Berlari

Filem-filem seram yang muncul di pawagam akhir-akhir ini memang ‘memeriahkan’. Saya lantas teringat pengalaman pertama menonton filem horror di pawagam. Filem itu sebuah filem Inggeris mengenai zombi. Di tahun 1980 rasanya. Tajuknya saya tak ingat. Saya dibawa menonton filem itu oleh arwah Pak Anjang,  pakcik saya.

Tahu-tahu ajalah kalau filem seram / horror Inggeris pada zaman itu. Memang meninggalkan kesan sangat. Diceritakan bahawa zombi hanya boleh mati kalau terbakar. Cubaan menghalang zombi dengan tembakan senjata api tidak akan berkesan kerana mayat hidup takkan mati untuk kali kedua. Pada akhir filem, beberapa watak utama (manusia biasa) turut bertukar menjadi zombi kerana luka dan dijangkiti kuman dari zombi.

Itu adalah apa yang saya ingat. Akhirnya dalam cubaan menjejak semula tentang filem ini, saya temui di wikipedia. Filem Zombi 2 rupanya. Baca plotnya di sini.

Dan memanglah sangat berbeza jika dibandingkan antara Zombi 2 dengan Zombi Kampung Pisang. Baca tulisan Nieys di sini

Sebenarnya, apa yang saya nak sampaikan di sini ialah tentang kesannya terhadap diri saya yang masih budak ketika itu apabila ‘diperkenalkan’ dengan makhluk bernama zombi ini. Apa yang terjadi kepada saya adalah … selama kira-kira sebulan lamanya, semasa selesai mengaji kira-kira jam 9 malam, saya tinggalkan rumah Pak Imam dengan larian kencang kerana takut dikejar zombi. Tapi, sekarang ia menjadi satu nostalgia yang boleh membuatkan saya gelak sorang.

Siri Televisyen 1970 & 80an

Beberapa bulan kebelakangan, jarang sekali saya berkesempatan mengarang kisah-kisah nostalgia kerana sibuk dengan tugasan. Beberapa entri sebelum ini lebih berkisar tentang kenangan manis bersama keluarga semasa bercuti tidak lama dulu.

Untuk kali ini saya terasa ingin menulis tentang nostalgia siri-siri TV lewat 1970-an dan awal 1980-an. Boleh dikatakan budak-budak zaman dulu amat seronok menonton siri-siri TV dari Barat bertemakan zaman koboi, kepolisan dan tentera. Keseronokan itu diterjemahkan pula dalam bentuk aktiviti waktu petang seperti main perang-perang atau polis tangkap pencuri. Dari situ jugalah tumbuhnya cita-cita yang segar, dan bila ditanya ‘kamu nak jadi apa besar nanti?’ mereka tak ragu-ragu menjawab ‘nak jadi polis’ atau ‘nak jadi askar’.

Kanak-kanak sekarang pula ingin menjadi penyanyi kerana terpengaruh dengan program-program realiti hiburan yang tidak cukup-cukup muncul satu demi satu.

vic-morrow-02.jpg vic-morrow.jpg
home.neo.rr.com/vicmorrow, http://www.karlwells.com/aug2003.htm

Salah satu siri TV terawal yang saya minati ialah ‘COMBAT’ yang berlatarkan pertembungan Amerika dengan Jerman dalam Perang Dunia Kedua. Boleh dikatakan tiada kanak-kanak sezaman saya yang tidak tahu siri ini serta pelakon utamanya, Vic Morrow sebagai seorang Sarjan. Kalau tak silap, beliau telah meninggal dunia pada tahun 1982.

Kalau siri koboi pula, sudah tentulah ‘HIGH CHAPPARAL’ yang mengisahkan kehidupan sebuah keluarga penggembala lembu dengan watak-watak utama seperti Monalito dan Blue Boy. Tapi bila tiba waktu bermain bersama kawan-kawan, ramai yang lebih berminat jadi puak Red Indian Apache dengan salah seorang menjadi ketua yang dipanggil Chief sepertimana dalam siri itu.

high-chapparal.jpg chips02.jpg chips01.jpg
http://www.asjcollection.com/current/culttv.html, http://img35.exs.cx/img35/6579/chips4xz.jpg,

Minat terhadap polis trafik di kalangan budak-budak pastinya didorong oleh siri ‘CHiPs’ iaitu kisah dua orang polis peronda (California Highway Patrol) berseragam coklat muda dan bermotosikal besar. Pelakon utamanya ? Erik Estrada yang kononnya sangat digilai heroin-heroin dalam setiap episod.

swat.jpg starsky-hutch.jpg starsky-hutch-torino.jpg hawaii-five-o.jpg

http://www.dvdtvshows.com, http://www.tvacres.com/autos_ford_starsky.htm,
sites.inka.de/edruta/tvzone.htm

Selain itu siri-siri polis lain turut mewarnai hidup kanak-kanak di zaman itu. Siri SWAT (Special Weapon And Tactics) adalah tentang unit elit LAPD yang berpakaian komando, menuruni bangunan dengan tali, memanjat trak yang sedang bergerak laju dan berhadapan dengan penjenayah yang lebih ganas dari penjenayah biasa. Siri ini telah difilemkan semula beberapa tahun lepas. Begitu juga dengan siri STARSKY & HUTCH, kisah tentang dua orang polis dengan kereta merah jenis Torino. Yang menariknya, berapa kali terbalik dan hancur pun kereta ini pasti akan elok balik dalam siri minggu depannya.HAWAII FIVE O yang menarik dengan lagu tema berlatar gelombang ombak Laut Pasifik di pantai Kepulauan Hawaii cukup thrill apabila berbunyi sahaja radio polis, tentunya adegan kejar mengejar pun bermula.

Selain cerita-cerita polis, kisah JAWS dengan jerung ganas pula sangat mengecutkan perut dan secara psikologinya kanak-kanak diajar bahawa jerung itu jahat ! Manakala INREDIBLE HULK dan PLANET of THE APES juga telah lama dikenali kanak-kanak sebelum difilemkan semula beberapa tahun dulu.

six-million.jpg b-videos101.com

Akhir sekali, yang tak boleh saya lupakan (save the best for last la ni) ialah SIX MILLION DOLLAR MAN dengan watak utamanya STEVE AUSTIN lakonan Lee Majors, tentang orang yang mempunyai kekuatan luar biasa. Aksi berlari dan berlawan di-slow-motion-kan (dengan bunyi latar macam bunyi besi) dan kononnya masa itu dia sedang berlari sangat laju atau menumbuk lawannya dengan sangat kuat. Susah nak saya jelaskan tapi bagi yang tahu, tentu faham.

Dan kadangkala, dek kerana terlalu asyik menonton siri-siri kegemaran ini maka emak akan mengetapkan bibir sambil berkata “Kamu ni tak sudah-sudahnya tengok TV ! Kerja sekolah kamu dah siap ke belum ??”

Bagi generasi yang tak sempat menonton siri-siri TV itu, mungkin tak heran dengan apa yang saya tulis ini tapi saya percaya siapa yang pernah menonton kesemuanya masih boleh membayangkan keseronokannya. 🙂

Susahnya Bangun Pagi

Pagi tadi semasa dikejutkan dengan deringan jam, entah mengapa saya yang masih mamai ketika itu bagaikan dibawa melayang-layang mengingati saat-saat yang sama ketika bangun pagi 20 tahun dulu .. Ingatan itu datang betul-betul. Macam deja vu. Saya ‘dibawa’ kembali ke saat-saat itu.

Akibatnya saya bagaikan lelap sambil berdiri kira-kira 5 minit lagi di bilik air .. Hanya selepas curahan air yang sejuk dingin ‘mengejutkan’ kepala, barulah otak saya seakan-akan laju berfikir itu dan ini bermacam-macam perkara sehinggalah semuanya kembali normal.  

Jadi, seronoklah jadinya mandi pagi tadi. Saya telah mandi sambil berangan-angan dibuai kenangan dan terus terlintas nak ditulis sebagai entri untuk hari ini.

Antara yang saya imbau pagi tadi, suasana gelap pagi seawal jam 5.40 pagi dan lampu dalam rumah yang samar-samar yang benar-benar menjadikan saya begitu kepayahan meninggalkan katil. Sedangkan emak pula terkejar-kejar di antara menyiapkan urusan di dapur dan memanggil-manggil nama saya yang masih terlunjur di katil. Kalau dah bangun sekalipun .. saya masih duduk berteleku atau tergaru-garu kepala.

Semua ini mengambil masa kira-kira 7-8 minit sebelum saya benar-benar berjaya berdiri dan seterusnya mencapai tuala dan berjalan menuju ke bilik air.

Emak biasanya sabar menegur sapa saya dengan ceria. Kadang-kadang bertanyakan ‘nak minum apa?’ .. kadang-kadang ‘nak bawa bekal tak, emak buat cokodok ni?’ .. Hmm. Sebenarnya pertanyaan emak itu kalau tak dijawab pun, memang telah tersedia pun juadah sarapan pagi yang paling lazat untuk dinikmati pada setiap pagi.

Tapi di bilik air .. lain pula halnya. Saya merenung air dalam besen dengan gayung di tangan dan otak mengelamun .. nak cedok tak nak ? nak ke tak nak ? taknak ke nak .. taknak ke taknak .. oh taknak lah. Saya hanya memerhatikan air yang saya rasa masih sejuk walaupun mak dah campurkan dengan air panas yang dimasak tadi (dah kurang panas sebab saya lambat mandi). Melihat air yang secara psikologi saya rasakan sejuk itu, benar-benar satu cabaran besar setiap pagi kepada saya ..

water01.jpg 

gambar : http://static.flickr.com/21/33376740_16343cc01d.jpg 

Kalau saya tak bernasib baik, saya masih boleh terlelap semula dengan berpaut pada sinki. Tapi ada sesuatu yang akan ‘datang’ mengejutkan saya. Setiap pagi, tepat jam 5.50 pagi akan kedengaran deruman enjin bas sekolah yang pertama (bunyi macam bas mini) melintas tepi rumah. Biasanya, sesudah ‘terkejut’ mendengar bunyi bas itu barulah saya berebut-rebut seorang diri mencedok air dengan gayung dan mandi tergopoh gapah.

Selepas mandi tak da masalah lagi. Biasanya otak dah mula berfikir dengan lancar. Siap berpakaian sekolah terus pula menuju ke meja bersarapan. Sementara itu saya terdengar juga abah di biliknya sedang bersolat subuh. Saya terpaksa bersiap lebih awal kerana menunggu bas. Sarapan pagi yang emak dah siapkan dinikmati dalam suasana sepi pagi, cawan berlaga piring pun kuat bunyinya ..

Keluar dari rumah, pakai kasut dan lepas tu .. tak sampai 5 minit bas pun datang. Hari masih gelap. Sebaik menaiki bas biasanya dah tersedia tempat duduk yang tak diusik oleh budak lain kerana masing-masing dah ada kerusi yang ‘dipunyai’ secara tak rasmi. Dan di atas bas saya menyambung balik tido yang terganggu tadi hinggalah bas sampai ke sekolah ..

Ya semua itu hanya nostalgia. Ingatan yang betul-betul saya ‘layan’ dan nikmati semasa sedang mandi pagi tadi. Sekarang ni tiada lagi peluang itu. Saya tidak akan menyambung tido bila sampai ke ofis .. ahaha

Nostalgia Klinik Gigi & Van Milo

Saya ingin kembali seketika ke nostalgia sekolah rendah yang tertinggal untuk ditulis.

Sebenarnya saya membaca kisah masa sekolah rendah oleh Iwan . Ntah mengapa sebelum ini tak teringat langsung saya nak tulis cerita tentang pengalaman itu, yang pernah dilalui semua orang rasanya..

Macam Iwan tulis tu, semua orang pernah belajar gosok gigi kat sekolah. Dapat berus gigi dan ubat gigi free.  Cuma yang tak bestnya tidak beberapa lama lepas tu biasanya datanglah sebuah van berwarna kuning cair dan tertulis Kementerian Kesihatan Malaysia. Ahh .. nampak van je cukup takkuuut sampai rasa nak ke tandas. Ya, apa lagi kalau bukan pemeriksaan gigi oleh doktor yang datang di sekolah. Selepas diperiksa, sapa-sapa yang giginya bermasalah akan dicabut atau ditampal. Masa tu gerenti akan ada yang melakukan salah satu perkara-perkara berikut iaitu ; terpekik ; terlolong ; menjerit ; meronta-ronta ; menangis sambil kekejangan kaki menahan gigi digerudi atau semua perbuatan di atas.

Cerita Iwan itu juga membawa kenangan saya kepada satu perkara lain berkaitan jururawat juga iaitu suntikan BCG. Wahhh, ini satu lagi kes ‘saya takut jarum’ . Tapi yang istimewanya, ia hanya untuk budak Darjah 5 dan 6. Jadi terpaksalah kontrol macho masa ‘kena cucuk’ padahal dalam hati punyalah berdoa mintak-mintak janganlah mati ..

Ok.. skrang nostalgia tentang minuman pulak ..

Bercakap mengenai van yang datang ke sekolah, ada satu lagi jenis van dan yang ini disambut dengan penuh sukaria oleh semua budak2. Tidak lain itulah dia van Milo. Semua budak berdisiplin berbaris untuk mendapatkan Milo dalam cawan kertas. Tapi bagi yang muka seposen tu terus berbaris semula (kali kdeua) di belakang budak yang last sekali beratur. Selepas abis minum tu kalau ada peluang lagi diulangi kali ketiga .. kelima .. kelapan dan seterusnya.

Selain Milo, masa tu jugak ada Program Susu Sekolah yang memperkenalkan susu coklat UHT yang dijual semurah 30 sen sekotak (kalau tak silap). Kalau ada lebihan duit belanja bolehlah beli ..

Nostalgia tentang makanan pula. Masa sekolah rendah dulu juga ada makan free di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Sekolah bandar pun dapat juga sebab tak semua ibu bapa berkemampuan. Pada waktu rehat budak-budak terpilih akan diberi makanan sama ada nasi goreng, mee goreng, mihun goreng dan segelas minuman. Kadang-kadang budak yang layak RMT tu tak hadir, maka dapatlah peluang untuk ganti sapa yang tak datang tu. …

Hmmh begitulah halnya 😀