Archive for the ‘ Masa Remaja ’ Category

Belajar Guna Perigi

Apabila masuk ke asrama sekolah, cabaran hidup di atas kaki sendiri pastinya akan dilalui oleh setiap mereka yang merasainya. Basuh baju sendiri, kemas katil sendiri, menentukan masa sendiri adalah antara perkara yang biasa.Namun semasa masuk ke Teknik Melaka tidak terlintas langsung bahawa saya akan memperolehi satu pengalaman berharga yang memang tak akan dirasai andainya masih berada di KL. Pengalaman yang saya maksudkan itu ialah belajar menggunakan perigi.

Pada tahun 1990 seluruh negeri Melaka mengalami krisis air yang menyebabkan bekalan air awam ke seluruh negeri terjejas teruk. Bukan sahaja asrama sekolah malah kawasan kampung dan perumahan juga menerima kesannya.

Ketika itu, sangat sukar untuk mendapatkan bekalan air. Bangun pagi sahaja terus menuju ke bilik mandi dan apabila paip dibuka setitik air pun tidak menitis. Kering bagaikan kemarau. Itupun mujurlah pihak sekolah memastikan takungan air kolah mandi sentiasa mencukupi untuk digunakan sama rata sesama pelajar melalui bekalan air yang dihantar ke sekolah oleh lori JBA.

Bagi mengatasi kesulitan ini, pihak sekolah telah mendapat kerjasama orang kampung di sekeliling sekolah untuk membenarkan pelajar asrama mengambil air dari perigi mereka. Pada tahun itu saya berada di Tingkatan 5 dan telah pun masuk ke asrama dalam kawasan sekolah.

Bayangkan pelajar asrama yang berjumlah ratusan orang itu, pastinya jumlah sukatan air yang diambil oleh mereka banyak sekali. Namun orang-orang kampung sekitar Bukit Piatu sentiasa bermurah hati dan tidak menyekat kami dari turun mengambil air.

Di waktu petang, pelajar-pelajar berduyun-duyun keluar dari pagar asrama membawa baldi masing-masing (namun waktu keluar digilirkan antara lelaki dan perempuan) adalah satu pemandangan yang biasa.

Memang orang-orang kampung Bukit Piatu sangat baik hati. Salam yang diberikan kepada makcik dan pakcik tuan punya perigi sentiasa berjawab dengan penuh kemesraan daripada mereka. Di kalangan pelajar lelaki pula biasanya akan menuju ke rumah pakcik atau makcik yang salamnya pernah dijawab oleh anak dara mereka. Namun tidaklah pula mereka menunjukkan perlakuan yang tidak disenangi penduduk kampung, sekadar saja-saja maklum sahajalah budak-budak remaja.

Pertama kali merasai pengalaman menurunkan timba yang diikat dengan tali ke dalam perigi dan mengaut air untuk dibawa naik ke atas adalah sesuatu yang tak boleh dilupakan. Tak kira budak KL atau negeri lain, sama sahaja rupanya. Ramai juga yang ‘keras tangan’. Cara balingan timba pun tak betul. Itu pun ada juga yang cuba menjadi pakar di kalangan sesama sendiri ..

“Apa benda la kau ni, baling baldi macam tangan kayu. Bak sini biar aku tunjuk! ”

Gelak ketawa dan saling memperli sentiasa menjadi penyeri dalam suasana itu. Mula kutuk orang lepas itu orang lain pula beramai-ramai mengutuk diri kita sendiri dan begitulah seterusnya.

Kadang-kadang oleh kerana ramai yang menunggu giliran maka ada yang mengikat sendiri baldi mereka pada tali supaya beberapa orang boleh menimba air pada satu satu masa. Namun ada yang tak bernasib baik kerana tak pandai mengikat dan baldinya terjatuh ke dalam perigi.

Krisis air Melaka mengambil masa yang agak lama juga untuk dipulihkan malah khabarnya sehingga generasi Akirasuri memasuki sekolah itu 10 tahun selepas batch saya pun, bekalan air masih menghadapi gangguan. Apapun krisis air pada zaman saya telah memberikan tempoh secukupnya kepada semua pelajar membiasakan diri dengan perigi. Bukan sahaja belajar dalam aliran teknik tetapi juga mahir dalam teknik menimba air dari perigi.

Bagaimanapun setakat yang saya tahu di kalangan generasi pelajar di zaman saya di sana tidaklah pula ada yang berjaya menambat hati mana-mana pakcik makcik orang kampung untuk mengambil mereka menjadi menantu walaupun telah pandai menimba air perigi.

Kalaulah ada agaknya, maka benar sungguhlah pepatah yang mengatakan ‘takkan perigi mencari timba’ . Eheh.

Kini Melaka khabarnya sudah jauh berubah. Bakal menjadi negeri WiFi. Juga sungainya telah diperindahkan. Bertuah kiranya bumi Melaka ini …

Main Hujan

Di musim-musim hujan ini, kekadang menggamit kembali nostalgia tentang-tentang kisah-kisah di waktu hujan semasa tinggal di asrama dulu. Begitu bertuahnya zaman budak sekolah, kalau berhujan bukanlah sesuatu yang pelik. Tapi kalau di usia sebegini, barangkali mungkin akan dianggap bertebiat. Kisah kali ini adalah mengenai akibat dari bermain bola dalam hujan.

Sudah semestinya, kalau duduk di asrama pasti tidak lengkap hidup saya jika tidak bermain bola. Bukanlah handal bermain pun tetapi itulah aktiviti yang paling saya minati berbanding sukan lain. Sepertimana biasa di setiap petang, kaki-kaki bola turun memeriahkan padang Teknik Melaka yang luas itu. Sedang seronok bermain bola, hujan pula turun dengan lebatnya. Makin seronoklah jadinya.

Dalam keseronokan itu, warden yang bertugas pada hari berkenaan iaitu Cikgu Omar mengarahkan kami berhenti bermain bola kerana tidak mahu pelajar-pelajar demam agaknya. Cikgu Omar adalah guru Kimia dan guru penasihat Kadet yang tidaklah garang tetapi sangat disegani kerana ketegasan dan wajah seriusnya. Mahu tak mahu terpaksalah diikutkan juga arahan beliau. Oleh kerana waktu petang masih panjang sebelum tibanya ‘roll call’ jam 6.30 petang untuk makan malam dan solat maghrib, kami tidaklah berebut-rebut ke bilik mandi.

Melihatkan agak ramai budak di bilik mandi maka saya dan beberapa orang lagi mengambil keputusan menunggu sehingga lengang sedikit. Dalam menunggu itu kami berehat di satu kawasan di sebelah asrama (kini blok asrama baru) di antara beberapa pohon pokok kelapa sawit hiasan di situ. Hujan ketika itu telah reda namun masih renyai-renyai.

Sambil duduk-duduk berbual di situ, kami curi-curi bermain sepakan penalti. Dua pohon kelapa sawit menjadi tiang gol. Siapa yang menjaringkan gol akan berpeluang menjadi ‘goal keeper’. Yang menarik menjadi ‘goal keeper’ bukan apa, saja seronok-seronok untuk merebahkan diri di kawasan berair. Main hujanlah katakan, bila dengar bunyi ‘splasshhh’ itulah yang seronok.

Seronok benar bermain sepakan penalti kami tidak perasan pun rupanya Cikgu Omar berada di balik bangunan kelas memerhatikan kami, entah berapa lama agaknya beliau berada di situ. Apabila menyedari kehadiran beliau, kami berpura-pura tidak mengetahui kehadirannya dan perlahan-lahan cuba beredar dari situ.

Malangnya kedengaran suara beliau memanggil kami. “Ooi .. ooi.. mari sini!”. Nak mengelak ke mana lagi, sudah terkena. Beliau menyoal kami, apakah kami tidak faham arahannya supaya berhenti main hujan. Kami cuba berhelah mengatakan bahawa kami hanya bermain sementara sahaja sambil menunggu bilik mandi lengang. Akan tetapi sesuai dengan ketegasan beliau itu, terus sahaja kami didenda. “Suka sangat main hujan kan, ha pergi tidur kat bawah pokok tu”. Terpaku sekejap kami mendengar denda yang diberikan. Biar betul tidur kat situ ?

Lalu berbaringlah kami di bawah pokok kelapa sawit beralaskan lopak air hujan yang agak tinggi juga sehingga hampir masuk ke telinga.

Dalam pada itu kawan-kawan lelaki di dorm pula berdekah-dekah mentertawakan kami sambil memerhati dari tingkap. Menambah buruk lagi situasi itu, tak lama kemudian pelajar-pelajar perempuan dari Asrama Putri 2 pula melintasi laluan di tepi kami untuk menuju ke dewan makan. Aduhai tebalnya rasa di muka. Kata cikgu Omar ketika itu, “ha tau pun malu .. sapa berani lari, larilah. Aku hambat kamu nanti”. Apa nak buat, jadi tunggul sahajalah di situ sampai selesai semua pelajar perempuan melintasi kami. Sementara itu gelak tawa dari dorm Asrama Putra semakin menjadi-jadi, riuh betul.

Selesai semua itu, cikgu Omar mengarahkan kami bangun “Ha sudah. Pergi mandi. Lepas tu makan. Jangan buat lagi”.

Jawapan kami ? “Baik cikguuu..” . Alahai. Baiknya kami masa itu. Skima betul lepas kena denda.

Esoknya di kelas habis kena sindir dengan kawan-kawan perempuan sekelas. Ceh, malu seminggu. Tapi kini jadi kenangan : P.

Kuih Yang Sedap di Kedai Pak Ajid

Selain dari gerai air tebu abang Nan yang sentiasa menjadi tumpuan budak-budak Teknik Bukit Piatu, satu lagi lokasi yang pasti dikunjungi ialah kedai runcit Pak Ajid. Kedai ini terletak kira-kira satu kilometer dari sekolah dan sangat berdekatan dengan Masjid Kampung Bukit Piatu.

Kedai Pak Ajid biasanya dikunjungi pada hari Jumaat iaitu selepas selesai selesai solat jumaat. Yang dicari bukanlah barang kegunaan harian di hostel sebaliknya kuih muih. Setiap hari Jumaat Pak Ajid akan menjual berbelas-belas jenis kuih muih tempatan seperti kuih serimuka, talam, lapis, koci, lepat, donut, donat inti kacang merah, donat inti sardin dan karipap sahaja misalnya terdiri dari dua tiga jenis ; inti sardin, inti kentang atau inti ayam.

Namun tentang kuih Pak Ajid ini, apa yang menjadi kenangan ialah ‘sistem makan dulu bayar kemudian’ yang diwarisi turun temurun di kalangan pelajar.

Selesai sahaja imam berdoa, budak budak Teknik pastinya berpusu-pusu mencari selipar dan terus menuju ke kedai Pak Ajid. Apabila dikermuni oleh budak-budak Teknik, kuih-kuih Pak Ajid biasanya ‘selesai’ dalam masa yang cukup singkat, betul-betul macam ikan piranha. Dan tidak pula dibungkus, makan terus di situ sahaja.

Selepas makan kuih yang sedap-sedap itu, budak-budak mengucapkan ‘terima kasih Pak Ajid’ dan balik ke asrama. Bayarannya ? Kami menulis ‘hutang’ masing-masing dalam buku catatan dan bila duit belanja dikirim oleh ibu bapa di awal bulan, ramai yang membayar hutang mereka sedikit sedikit.

Kemuncaknya, ialah semasa kembali ke sekolah mengambil keputusan SPM. Biasanya mereka yang selesai menduduki SPM akan bekerja sambilan. Dengan duit gaji yang diterima itu, sebahagiannya disimpan untuk membayar hutang kuih Pak Ajid.

Ia menjadi tradisi di Teknik Melaka (di kalangan pelajar lelaki), selepas keputusan SPM diambil dan sesudah berjumpa kawan-kawan lama, mereka akan menuju ke kedai Pak Ajid. Berjumpa dengan pakcik yang sesungguhnya berhati mulia ini untuk membayar hutang masing-masing, memohon dihalalkan apa yang dimakan dan mengucapkan terima kasih.

Dan tradisi itu diteruskan pula oleh pelajar-pelajar junior, akan mengikuti apa yang dilakukan oleh para senior semasa datang mengambil keputusan peperiksaan SPM di tahun-tahun berikutnya. Namun mengikut Abang Nan (gerai air tebu) sudah agak lama juga Pak Ajid tidak lagi menjual kuih di hari Jumaat kerana kesihatannya tidak mengizinkan.

Sesungguhnya terbit rasa kagum dan terharu terhadap Pak Ajid yang tidak bersungut dengan tabiat kami yang selamba tiap kali selepas solat Jumaat itu. Tidak juga dia menghentikan jualan kuihnya walaupun modalnya mungkin tidak dapat diperolehi kembali dalam masa yang dekat.

Sehingga hari ini, kenangan itu masih segar. Ia membuatkan saya terbayangkan kuih-kuih Pak Ajid dan buatkan saya tersenyum bila mengingatinya. Itulah satu lagi keistimewaan Teknik Melaka.

Semoga segala amal ikhlas Pak Ajid dibalas ganjara pahala oleh Allah SWT.

Gerai Air Tebu ‘Abang Nan’

(bersambung dari Surau di TBBU)

Rasanya, mana-mana bekas pelajar Teknik Melaka dari mana-mana generasi sekali pun, amat tahu kenal dengan seorang lelaki yang dipanggil Abang Nan yang membuka gerai air tebu betul-betul bersebelahan dengan pintu masuk sekolah ..

Semasa saya memasuki Teknik Melaka pada tahun 1989 itu, ‘gerai tolak’ milik Abang Nan itu sudah sedia ada di sana. Saya kurang pasti selama manakah beliau telah mula berniaga di situ, namun jangkaan saya memang telah lama berdasarkan gaya perbualannya dengan orang-orang kampung.

Gerai Abang Nan sentiasa menjadi destinasi pilihan pelajar-pelajar untuk membeli air tebu yang lemak manis dan sungguh menyegarkan. Sama ada; selepas sesi sukan wajib di sebelah petang, selepas kegiatan ko kurikulum, selepas kerja elektif di bengkel kejuruteraan atau ladang pertanian, gerai abang Nan pasti dikunjungi ramai.

Begitu juga di hujung minggu hari Sabtu, selepas selesai kerja-kerja gotong royong atau di hari Ahad selepas bermain bola seawal jam 8 pagi. Pastinya juga dalam bulan Ramadhan, seawal 6 petang lagi air tebu Abang Nan sudah mula dicari.

Ya, siapa yang dapat melupakan air tebu Abang Nan itu …

Kerana nostalgia itu, ketika berada di Melaka menjalankan tugas selama 2 minggu pada bulan puasa lalu (2007), walau sesibuk mana pun saya berazam ingin berkunjung semula ke gerai Abang Nan.

Semasa memandu kereta menyusuri jalanraya menuju ke sekolah lama itu, rentetan nostalgia tidak henti-henti berputar di ingatan. Saya juga berasa sedikit gusar, kalau-kalau Abang Nan tidak lagi berniaga di situ. Namun setibanya saya di hadapan sekolah, alangkah teruja rasa hati melihat gerai Abang Nan masih ada di situ.

Maka bertemulah saya dengan Abang Nan di petang bulan puasa itu, mengulangi tradisi bulan puasa semasa bersekolah dulu; membeli air untuk dibuat berbuka puasa. Namun pada petang itu hanya air soya dan air kelapa sahaja yang saya beli. Abang Nan tidak lagi menjual air tebu kegemaran pelajar Teknik Melaka dulu. Dah letih memesin tebu katanya.

Lebih menggembirakan apabila Abang Nan masih mengecam saya walapun sudah 17 tahun tidak berjumpa. Sambil berbual-bual ceria tentang kisah lama dan bertukar-tukar khabar baru, Abang Nan memperkenalkan saya dengan seorang pelanggan tetapnya yang merupakan guru di sekolah lain berdekatan, yang juga ‘super senior’ ; mula menjadi pelajar Teknik Melaka kira-kira 10 tahun lebih awal dari saya. Nampaknya bukan saya sahaja bekas pelajar yang mengunjungi gerai beliau.

Rupa-rupanya kuat benar daya ingatan Abang Nan terhadap bekas pelajar-pelajar Teknik Melaka. Katanya, ‘saya ni dah macam cikgu kamu juga, budak datang dan pergi .. saya tak ke mana juga masih di sini’.

Dalam kegembiraan mengulangi pertemuan itu, ralat juga rasanya kerana saya tidak mengambil apa-apa gambar. Kealpaan itu hanya saya sedari selepas beredar meninggalkan gerai beliau. Tambahan pula sejak dari awal memasang niat ingin berkunjung ke gerai beliau itu pun, tidak pula saya terfikir untuk menjadikan kisah itu sebagai bahan tulisan.

Kalaulah orang bertanyakan “apa yang istimewa di Teknik Melaka?” Saya pasti tidak tersilap kalau mengatakan salah satu keistimewaannya ialah gerai air tebu Abang Nan.

Memang dia bukan guru yang mengajar pelajar Teknik Melaka, namun sumbangan ‘kecil’ abang Nan itu adalah antara penyeri hidup pelajar Teknik Melaka generasi demi generasi.

Terima kasih abang Nan.

air-tebu-foto-from-flickr-by-azka98.jpg.

sekadar meminjam gambar untuk nostalgia ini ..

– akan disambung dengan kisah Kuih Pak Ajit, Insya Allah –

Surau di Taman Bukit Beruang Utama

(bersambung dari Pakai Seragam Tentera)

Semasa asrama luar di peringkat awal pembukaan pada tahun 1989, Taman Bukit Beruang Utama (TBBU) adalah sebuah kawasan yang masih di kelilingi kebun getah.

Terdapat juga jirat orang-orang Cina di beberapa kawasan berdekatan dan kemudiannya menjadi pelbagai cerita misteri dari mulut ke mulut. Namun bukan itu yang ingin saya ceritakan.

Sebenarnya terselit pula kisah tentang ‘kubur’ tadi kerana mengingatkan pengalaman semasa balik dari solat maghrib di masjid di Institut Telekom berhampiran TBBU (kini Universiti Multimedia). Disebabkan ingin bersolat maghrib secara berjemaah, maka saya dan dua rakan lagi iaitu Ateng dan Zul Alien dari TBBU ke masjid tersebut yang terletak sejauh kira-kira sejauh 3 kilometer. Kalau diketahui warden masa tu mungkin kena juga sebab tidak memohon kebenaran pun untuk keluar dari kawasan TBBU (yang dianggap sempadan bagi kawasan asrama luar).

Sewaktu balik dari masjid, malam hari sudah benar-benar gelap. Seperti yang saya katakan pada masa itu TBBU di kelilingi kebun getah. Semasa berjalan di tepi jalan raya, jarak antara setiap satu lampu jalan agak jauh juga. Kereta juga sangat-sangat jarang melintasi kawasan itu.

Tiba-tiba lalulah sebuah kereta dari arah belakang kami dengan tidak berapa laju. Suluhan lampu kereta itu membolehkan penglihatan agak terang seketika di kawasan kami berjalan dan kami terlihat sebuah jirat Cina betul-betul di tepi jalan. Mulanya kami bertiga diam sahaja dan terus berjalan.Tapi entah macam mana, salah seorang kami berkata ” ish .. aku rasa aku nak lari lah”.  Apa lagi, tak pasal-pasal ketiga-tiga kami membuka langkah seribu.

Semenjak itu kami tidak lagi pergi bersolat di masjid tersebut. Lucu rasanya mengingatkan perisitiwa itu, dan terasa ‘bodoh’ pun ada juga.

Tak lama selepas itu, pihak sekolah mengumumkan cadangan membina sebuah surau di TBBU untuk memudahkan aktiviti keagamaan di kalangan pelajar asrama luar. Ramai pelajar yang turut menghulurkan derma. Begitu juga dengan sumbangan dari masjid-masjid berhampiran khasnya Masjid Kampung Bukit Piatu sendiri.

Tiba harinya, pelajar-pelajar batch pertama asrama luar berserta penduduk asal TBBU bekerjasama memulakan kerja-kerja mendirikan surau. Surau itu siap dibina sepenuhnya dalam masa satu minggu. Strukturnya ringkas sahaja dan berbentuk empat segi. Kemuncaknya diadakan majlis doa selamat di taman perumahan tersebut, bagaikan kenduri sahaja maklumlah budak-budak asrama sahaja sudah hampir 100 orang.

Pada bulan puasa tahun 2007 baru-baru ini semasa bertugas di luar, saya berkesempatan mengunjungi semula TBBU, Melaka. Kesempatan itu saya ambil untuk melihat semula TBBU setelah hampir 18 tahun ditinggalkan. Surau yang kami bina itu kini sudah berwajah baru. Pasti banyak perubahan dan pengubahsuaian yang berlaku dalam masa 18 tahun. Bangunannya bukan lagi empat segi seperti mula-mula dibina dulu. Syukur saya rasakan tambah-tambah mengenangkan kerja keras budak-budak Teknik asrama luar ada sama dalam membangunkan surau tersebut.

Sesiapa yang berkesempatan ke TBBU, Melaka dan jika anda melihat adanya sebuah surau berwarna biru di kawasan tersebut, itulah surau yang saya ceritakan di sini. Semoga tulisan yang tidak seberapa ini dapat dijadikan sumber primer sejarah surau tersebut.

– bersambung, Insya Allah –

Pasukan Kadet Bersatu Malaysia : Pakai Seragam Tentera

(bersambung dari Tradisi Senior-Junior)

Dulu-dulu tak ada PLKN. Kalau nak merasa gaya hidup tentera semasa masih di sekolah, satu sahaja caranya. Sertai PKBM. Atau Pasukan Kadet Bersatu Malaysia. Inilah kisahnya ..

Setelah beberapa minggu menjadi pelajar Sekolah Teknik, kehidupan di asrama yang saya lalui tidaklah teruk sangat. Ya, itu mungkin kerana saya tinggal di asrama luar yang persekitarannya tidak sama dengan asrama sekolah. Rutin juga semakin pelbagai, aktiviti sukan dan ko-kurikulum juga semakin rancak pada minggu-minggu berikutnya, khasnya selepas tamat minggu orientasi. Inilah yang ingin saya tuliskan. Tentang satu aktiviti ko-kurikulum yang menjadi kenangan sepanjang hidup saya.

Sebelum ini pernah saya tuliskan tentang cubaan memohon ke Maktab Tentera Diraja (dan tidak berjaya kemudiannya), juga tentang rasa kurang seronok semasa memasuki Sekolah Menengah Jalan Cochrane, tahun 1986 kerana belum terdapatnya kadet tentera di sana.

Di sini, tidak disangka-sangka saya ditemukan dengan sesuatu yang telah lama saya tunggu-tunggu. Gembira benar hati saya mengetahui bahawa salah satu pilihan aktiviti beruniform di Teknik Melaka ialah Pasukan Kadet Bersatu Malaysia.

lambang Pasukan Kadet Bersatu Malaysia

Dalam perhimpunan pagi di satu hari, seorang pengawas telah mengumumkan tentang pengambilan anggota baru kadet yang akan diadakan pada waktu rehat. Sebaik loceng rehat dibunyikan, kira-kira 50 orang pelajar junior termasuk saya bergegas ke tempat yang ditetapkan iaitu berhampiran bengkel kejuruteraan.

Kami diberi ujian asas kawad oleh beberapa kadet senior. Hampir kesemuanya berjaya  kecuali mereka yang ‘kawad robot’ iaitu berjalan dengan kaki kiri sambil menghayun tangan kiri. Lucu juga melihatkan situasi itu.

Secara amnya, risiko menganggotai pasukan kadet sebenarnya adalah sama sahaja seperti menjadi ‘anggota tentera’ sebenar. Ini kerana setiap pelajar yang ingin memasuki pasukan kadet perlu menurunkan akuan diberikan sehelai borang Angkatan Tentera bahawa sanggup menjalani apa-apa latihan dan tidak akan menyalahkan kerajaan sekiranya berlaku kehilangan nyawa. Borang itu juga dikenali dengan nama ‘borang mati’. Menggigil juga masa nak sign borang itu.

Selepas menandatangani borang itu, kadet-kadet baru dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan dan kecergasan fizikal di Kem Terendak. Pada masa itu kadet Teknik Melaka di bawah pentadbiran Rejimen Askar Melayu yang berpangkalan di sana. Saya tidak ingat pula RAMD Batalion ke berapa yang bertugas di Kem Terendak pada masa itu.

Yang seronoknya ialah bila kadet-kadet baru diberikan pelepasan dari waktu sekolah untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan kecergasan fizikal di kem. Kami dibawa menaiki trak dari sekolah. Daoat naik trak dan tak masuk kelas, itulah yang seronoknya.

Dalam pemeriksaan kesihatan itu, beberapa orang lagi kawan-kawan terpaksa ditolak penyertaan mereka kerana tidak melepasi beberapa ujian terutamanya yang ‘colour blind’. Selepas pulang dari pemeriksaan tersebut, kumpulan yang berjaya itu dengan diberikan nombor tentera dan dengan itu rasmilah kami menjadi ‘anggota tentera di bawah umur’.

colt~M16

Selepas itu, mulalah kami menjalani latihan ketenteraan seperti kawad kaki, kawad senjata, membuka/memasang senjata dan latihan menembak mengikut jadual yang ditetapkan. Latihan dijalankan dua kali seminggu iaitu hari Selasa dan Khamis bermula selepas makan tengahari hinggalah petang. Lokasi padang kawad pada ketika itu ialah bangunan kantin sekolah yang terdapat pada hari ini.

Dalam menjalani latihan kadet ini, banyak juga kenangan yang mencuit hati. Berbagai-bagai ragam berlaku khasnya kesilapan semasa dalam berbaris dan berkawad. Dimarah oleh jurulatih dengan perkataan seperti ‘bodoh, lembu, sakai, mangkuk, jin, setan, kayu, badol’ adalah sesuatu yang biasa diterima.

Semasa berkawad antara yang tak boleh dilupakan jika diperintah membuat ‘hentak kaki’ atau ‘short and sharp’ di tengah-tengah panas serta dalam masa yang panjang. ‘Short and sharp’ dalam Bahasa Melayu bermaksud kawad langkah pendek dan tajam.

Biasanya semasa latihan kawad, jurulatih memang gemar ‘mendera’ budak-budak kadet dengan ‘hentak kaki’ atau ‘langkah pendek dan tajam’ atau ‘short and sharp’. Bila diberi perintah tersebut, biasanya mahu juga hampir satu jam. Mungkin ‘dugaan’ itu tidaklah seberat mana kalau dibandingkan dengan seorang anggota tentera sebenar. Tapi kalau diingat-ingatkan semula, bila berkawad langkah pendek dan tajam sahaja ramailah yang mengeluh dan berdoa agar tidak muntah. Hinggakan langit biru yang sangat cerah pun dirasakan seperti gelap tidak bermatahari. Memang tersenyum sendirian bila diingat semula.

jungle-boot.jpgSetiap kali sebelum latihan kadet diadakan, pada malam sebelumnya kami berkumpul beramai-ramai untuk mengilatkan kasut. Biasanya selepas prep malam tamat. Suasana dirasakan ceria bagaikan di berek tentera sahaja gayanya. Walaupun latihan yang dijalani pasti akan sentiasa meletihkan serta mencabar mental dan fizikal, namun hari Selasa dan Khamis sentiasa dinantikan oleh semua anggota kadet.

Pasukan kadet Teknik Melaka diberi penghormatan setiap tahun untuk menyertai perbarisan Hari Kebangsaan bersama-sama kadet dari sekolah lain. Saya sempat menyertai perbarisan yang diadakan pada tahun 1990. Sehingga tahun itu, keanggotaan kadet di Teknik Melaka berkekuatan dua platun (satu platun 30-40 orang) iaitu masing-masing satu platun senior dan junior.

Aktiviti ketenteraan yang kami jalani telah menanamkan semangat patriotik yang sangat subur dalam jiwa kami. Sehinggakan ada di antara kami yang mula melupakan cita-cita sebelum masuk sekolah teknik seperti arkitek, jurutera atau doktor dan mula memasang keinginan untuk menyertai tentera. Ramai juga lepasan Teknik Melaka yang telah berjaya menyertai Angkatan Tentera Malaysia baik dalam cabang darat, laut dan udara. Malah, telah ada juga yang terkorban dalam menjalankan tugas.

– bersambung, Insya Allah –

Tradisi Antara Senior dan Junior

(bersambung dari Jatuh Cinta Pada Melaka)

Bagaimana ingin saya gambarkan tentang Minggu Orientasi ya ? Mungkin sesuai juga kalau saya menyifatkan ia sebagai ‘agak mencemaskan jugalah’. Saya telah kena rag di hari kedua lagi gara-gara kesilapan pada hari pertama ; melanggar ‘tradisi senior-junior’ di sekolah.

Sebenarnya agak seronok juga bila mengingati kembali apa yang berlaku tentang tradisi senior-junior ni. Peraturan-peraturan yang dikenakan oleh senior-senior itu bukanlah berat dan susah pun, namun kadangkala ada peraturan yang tidak logik. Dan tentulah peraturan itu sengaja diadakan untuk membezakan taraf junior dan senior, dalam ertikata sebenarnya untuk junior menghormati senior mereka.

Antaranya, bila junior berselisih dengan senior wajib mengucapkan salam. Junior juga tidak dibenarkan berbahasa menggunakan ganti diri pertama iaitu ‘Aku’. Solat 5 waktu mesti ditunaikan di surau dan tidak dibenarkan di dorm.

Selain itu, junior mesti sentiasa kemas berbaju ‘masuk ke dalam’ (top-in) semasa menghadiri prep. Malah dalam masa aktiviti bebas pun, jarang-jarang ditemui junior yang tidak berbaju kemas dengan cara itu.

Seperkara lagi, antara blok Asrama Putera (Aspura) dan blok kelas, terdapat sebuah dataran simen (tebal sekaki rasanya) dengan keluasan dua gelanggang bolatampar dan dua gelanggang takraw. Dataran ini dipanggil ‘The Court’. Di tempat ini, pelajar-pelajar melakukan aktiviti riadah atau sukan di sebelah petang. Pada waktu persekolahan pula, ‘court’ tersebut adalah tempat perhimpunan pagi (kecuali hari Isnin perhimpunan di padang kawad) menyanyikan lagu Negaraku dan mendengar pengumunan oleh pengawas serta wakil-wakil Kelab dan Persatuan mengenai aktiviti pada hari tersebut.

Apa yang menarik tentang court ini? Untuk menuju ke kelas dari blok Aspura, dengan berjalan melintasi ‘court’ akan menjimatkan masa jika berjalan di laluan kaki lima (koridor), pelajar terpaksa melalui satu pusingan hampir 270 darjah. Bagaimanapun keistimewaan untuk menggunakan court sebagai laluan pintas hanya dinikmati oleh senior. Kalau didapati ada junior yang melanggar peraturan ini, mana-mana senior yang nampak boleh saja terus memberikan hukuman serta merta.

Biasanya junior juga tidak terlepas semasa waktu makan. Senior boleh sahaja memanggil mana-mana junior untuk mengangkat tray selepas makan. Junior juga wajib mengetahui nama semua senior. Wajib menghafal Asma-ul-Husna. Masuk dorm kena bagi salam kuat-kuat.

Mengenai saya kena rag di hari kedua itu, kesalahan saya ialah kerana berbahasa ‘kau-aku’ dengan seorang senior. Perbualan seperti itu sebenarnya biasa di sekolah harian (kalau di Cochrane dulu, siap ‘lu-gua’ lagi). Maklumlah, lagipun perbezaan usia hanya setahun dengan senior membuatkan saya terlupa. Kesalahan itu dianggap biadap atau kurang ajar terhadap senior.

Nasib baik hukuman yang diberikan tidaklah berat. Saya cuma diberikan amaran dengan suara yang sangat tinggi lagi keras oleh dua-tiga orang senior dan dituntut ‘mintak ampun’ atas kesilapan saya. Lega juga rasanya. Insiden itu mengajar saya menjadi berhati-hati bila bertemu dengan senior. Walaupun mereka tidak menginap di asrama luar, namun masa yang panjang di sekolah (sehingga jam 5.00 ptg utk prep petang dan ko-kurikulum) sentiasa membuka ruang antara kami yang junior dengan mereka.

Kalau saya tak bernasib baik pada masa itu mungkin saya mencatat sejarah menjadi antara junior terawal merasai ‘star-light’ di hari kedua lagi. Hukuman utama atas apa-apa keingkaran ialah ‘star-light’. Saya tak bercadang menceritakan tentang itu di sini cuma cukup sekadar gambaran yang ‘star-light’ itu adalah denda bersifat fizikal.

Selain dari ‘star-light’, hukuman-hukuman seperti basuh kasut, basuh baju dan sebagainya itu adalah biasa di mana-mana asrama. Denda yang bersifat ‘torture’ pula seperti pusing helikopter, tiup lampu, duduk dalam locker, tabik spring (untuk budak-budak kadet) dan sebagainya yang mana pada akhirnya tidak lebih hanyalah sebagai gurauan.

Maka seminggu di sepanjang orientasi itu kiranya saya bolehlah menyesuaikan diri dengan ‘tradisi senior-junior’. Kiranya walaupun saya tinggal di asrama luar, tradisi senior-junior ini tetap dirasai bahangnya selagi berada dalam kawasan sekolah antara 6.30 pagi hingga 5.00petang. Hanya di sebelah malam, kami yang tinggal di asrama luar lebih terselamat berbanding kawan-kawan yang tinggal di asrama sekolah. Pada masa itu semuanya adalah sesuatu yang menjengkelkan namun kini siapa pun pasti akan tersenyum mengingatkannya.

– bersambung, Insya Allah –