Archive for the ‘ Patriotis ’ Category

rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan

Ramadhan semakin hampir pergi. Semoga batas umur masih mencukupi untuk sampai ke tahun hadapan.

hari ini hanya ingin menulis sesuatu yang direnung-renungkan semasa mendengar IKIM FM dalam cabaran kesesakan trafik dari KL ke Putrajaya di penghujung saat berbuka puasa, di salah satu petang Ramadhan baru-baru ini.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Ali r.a, beliau dikritik seseorang. kata si pengkritik itu Ali hanya hebat pada namanya sedangkan tidaklah sehebat mana. masalah rakyat di sana sini. jauh beza dibandingkannya dengan Khalifah Umar r.a.  Di zaman Umar, masalah rakyat seakan langsung tiada. Rakyat di zaman Umar hebat-hebat belaka.

Lalu Khalifah Ali setelah mendengar kritikan itu dengan memberi reaksi, ” Umar dapat menjadi hebat di zamannya kerana rakyatnya hebat. Bagaimana aku dapat menjadi sehebat Umar sedangkan rakyat di zaman aku tidak sehebat rakyat di zaman Umar”

lama saya termenung. saya rakyat. saya juga pemimpin. saya juga penjawat awam.

apa moral nya kepada anda ?

Menonton Filem Bukit Kepong di Ambang Kemerdekaan : Kami Orang Orang Polis Takkan Serah Diri !!

untuk mengimbas ambang kemerdekaan @ entri kemerdekaan tahun ini, saya ingin menulis tentang filem Bukit Kepong (1981) arahan Tan Sri Jins Shamsuddin. Filem ini banyak memberi kesan kepada diri saya khasnya emosi di kala ambang kemerdekaan.  

sudah berapa puluh kali saya menonton filem ini semenjak kali pertama ditayangkan. plot cerita dan baris dialog pun banyak yang sudah sebati. namun baris dialog yang paling menusuk kalbu pastinya ialah ‘kami orang orang polis takkan serah diri ! biar kami mati di sini, Bukit Kepong menjadi tanah kubur kami’

berdasarkan pengajian saya di universiti dulu, sebenarnya bukan Bukit Kepong saja yang mencatatkan insiden serang hendap pengganas komunis terhadap balai polis dan orang awam. ada juga kejadian yang berlaku di Gua Musang dan Simpang Pulai. namun Bukit Kepong adalah yang paling tragis kerana ia melibatkan pertempuran selama 4 jam dan bersama mereka adalah ahli keluarga tercinta.

sejujurnya saya amat kagum terhadap Tan Sri Jins Shamsuddin yang begitu bersungguh-sungguh menerbitkan naskhah Bukit Kepong. filem ini sesungguhnya sudah pun menjadi sesuatu yang evergreen buat pencinta sejarah.

katalah apa saja, filem ini propaganda atau bermotifkan politik namun bagi saya hanya orang yang mencintai sejarah dan mencintai negara sahaja yang tahu menilainya. golongan selain pecinta sejarah @ pecinta negara pastinya mempunyai sudut pandangan berbeza dan ia tentu sekali bersandarkan kepentingan masing-masing.

Malah, selain filem Bukit Kepong (dan Leftenan Adnan) berapa banyak filem sejarah lagi yang kita boleh banggakan ? Bukankah genre filem kita lebih banyak dari kisah cinta dan seram ? 

Lihat Amerika Syarikat. dari filem perang hinggalah ke dongeng adiwira seperti Batman dan Spiderman. kalau tidak ada bendera AS berkibar tak sah. jadi tidak hairan pun kalau anak kecil mereka sampailah ke orang tua (rakyat mereka) percaya bahawa AS itu adalah satu-satunya kuasa yang paling adil di dunia. propaganda mereka berhasil.

bagaimana dengan kita ?

patut sangatlah ramai orang Malaysia suka berdemonstrasi merosakkan negara sendiri kerana mereka belajar sejarah dari buku teks yang membosankan, bukan sepertimana orang Amerika. Buruk macamana pun Amerika tetap di hati.

Sijil Halal vs Sijil Haram JAKIM

astaghfirullah.

Dalam siaran Buletin Utama TV3 melaporkan liputan operasi sijil halal JAKIM di sebuah hotel. staf hotel berkenaan (tak pasti chef atau manager, wajahnya dikaburkan dan berbaju melayu teluk belanga) semasa disoal wartawan “tidakkah rasa bersalah, walau pun awak tahu ada campur arak dalam sajian tapi biarkan saja?” menjawab “rasa (bersalah) jugak tapi dah berniaga nak buat macamana”

antara dia dengan Allah, biarlah dia jawab sendiri.

antara kita dengan masyarakat, mungkin JAKIM perlu perkenalkan Sijil Haram

sijil Haram ini boleh dianugerahkan kepada hotel / premis yang gagal memperolehi kelulusan sijil halal. Sijil HARAM itu dilekat kat premis dan tak boleh diturunkan melainkan telah berjaya membuktikan halal.

macam mana ?

Cis ! Kamu Indonesia

ini bulan Ramadhan. apa ertinya caci maki tahi dan segala bagai kalau dibawa masuk ke bulan Ramadhan ?

di sekeliling kehidupan saya orang-orang Indonesia bukanlah orang asing. saya ada kenalan seorang ‘wak’ yang membetulkan atap bocor di rumah. juga ‘neng’ bertugas sebagai cleaner di kantor. dan ‘neng’ yang kerja di kedai dobi. juga neng yang sudah pandai masak tomyam di kedai masakan panas.

saya tak fikir mereka semua ini merasakan hidup di Malaysia ibarat neraka jahannam..

jadi untuk apa kalian di seberang marah marah sampai sanggup bermain tahi sendiri untuk dilempar ke kantor kedutaaan kami. apa kalian enggak geli pada najis ?

** maaf kalau bahasa ku terkandung bunyi kemarahan. kerana iya, aku memangnya marah. tapi berkat Ramadhan aku harap kita sama-sama dapat bersabar…

1 RAMD Cemerlang di London

(Khas sempena Hari Kebangsaan)

Tulisan di bawah adalah petikan berita dari Utusan Malaysia. Manakala pengalaman saya menyaksikannya sendiri pula ada di sini ceritanya dan videonya.

Bravo Askar Melayu !!

__________________________________________________________________________________________


POLIS & TENTERA

ARKIB : 27/08/2008
1 RAMD cemerlang di London

Oleh PW2 BADRI MUSTAPA
BANGGA… beberapa anggota dan pegawai 1 RAMD diberi penghormatan bertemu dengan Ratu Elizabeth II selepas acara 1st. Windsor Castle Royal Tatoo pada 10 Mei lalu.

Pelbagai persepsi diterima daripada masyarakat tentang penglibatan anggota tentera kita yang dihantar bertugas mengawal beberapa kediaman permaisuri Britain, Ratu Elizabeth II di London, baru-baru ini.

Walau apa pendapat yang diterima, hakikatnya penglibatan Kompeni Istiadat Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dianggap berjaya memartabatkan nama negara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat dan RAMD di peringkat antarabangsa.

Tugasan kawalan istiadat ataupun lebih sinonim dengan London District Public Duties itu antaranya dilaksanakan di Istana Buckingham, Istana St. James’s, Menara London dan Istana Windsor.

Istiadat Pertukaran Pengawal ataupun lebih dikenali Changing of The Guards merupakan istiadat yang sentiasa menjadi tontonan kepada ribuan pelancong yang berada di kota London setiap hari.

Istiadat berkenaan merupakan prosedur yang melibatkan pertukaran syif anggota pengawal lama yang menamatkan tugas digantikan pengawal baru.

Upacara istiadat ini biasanya berlaku setiap hari pada musim bunga dan musim panas (jam 11.30 pagi di Forecourt Buckingham manakala jam 11.00 pagi di Windsor Castle), sementara pada musim gugur dan musim sejuk pula tertakluk kepada hari-hari tertentu.

Sebenarnya, melaksanakan tugasan istiadat di United Kingdom (UK) itu telah menyebabkan kerajaan British memandang tinggi dan menaruh kepercayaan penuh terhadap ketumbukan tentera kita yang sememangnya profesional ketika menjalankan tugas.

Ini diakui sendiri oleh ketua jurulatih tentera British yang ditugaskan untuk melatih tentera kita, WO II Dorian Thomas daripada pasukan 1st Batallion Welsh Guards.

Beliau berkata, untuk melatih tentera dari negara luar memang sukar terutama dari segi budaya dan bahasa, tetapi tidak bagi tentera Malaysia kerana walaupun dalam tempoh yang singkat iaitu tiga minggu, mereka semua telah dapat menyesuaikan diri dan menerima prosedur yang diajar dengan baik.

“Saya telah banyak melatih pasukan istiadat dari dalam dan luar negara yang datang ke sini untuk melaksanakan tugasan sama tetapi tahap disiplin dan kawad yang telah ditunjukkan oleh 1 RAMD amat memuaskan,” katanya.

Malaysia merupakan negara keempat di dalam Pertubuhan Negara Komanwel yang dijemput oleh Kerajaan British selepas Kanada, Australia dan Jamaica. Di samping melaksanakan tugasan istiadat, kehadiran kompeni ini di UK bertujuan menguatkan tali perhubungan di antara Malaysia dan negara itu.

Seorang lagi jurulatih, WOI Mott Obe yang berpejabat di London berkata, kehadiran RAMD melaksanakan kawalan istiadat di sini adalah memuaskan kerana ketumbukan itu sangat profesional serta mempunyai sikap yang positif terhadap apa jua perkembangan.

Manakala Leftenan Colonel Jeremy Bagshaw menyatakan bahawa tentera British sangat berbesar hati menerima RAMD untuk mengambil bahagian dalam tugasan istiadat di sana.

“Kami amat tertarik dengan kesempurnaan dari segi berkawad dan persembahan muzik mereka,” jelasnya.

Idea penghantaran 1 RAMD untuk melaksanakan Public Duties bermula ketika lawatan Rasmi Chief of General Staff United Kingdom, Gen. Sir Richard Dannat ke Malaysia pada 28 Februari 2007 di mana pada lawatan itu, beliau telah menerima Tabik Hormat dari Kawalan Kehormatan Utama (KKU) 1 RAMD) di Dataran Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur.

Ketika melakukan pemeriksaan perbarisan beliau terpegun dengan keterampilan, kesegakan serta mutu kawad yang telah dipamerkan oleh sekumpulan anggota KKU. Justeru itu, pada sesi kunjungan hormat beliau ke atas Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin, beliau terus menawarkan tugasan tersebut.

Kompeni Istiadat

Lanjutan daripada tawaran itu, PTD memanjangkan tawaran daripada pihak tentera British berkenaan kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pertahanan telah bersetuju untuk menghantar Kompeni Istiadat ke London sebagai menerima penghormatan dan jemputan daripada Kerajaan British. Selain itu, tawaran tentera British berkenaan juga dibuat bersempena dengan ulang tahun penubuhan Tentera Darat ke-75.

Sementara itu, ketua delegasi, Mejar Mohd. Fuad Md. Ghazali ketika ditemui berkata, jemputan untuk melaksanakan tugasan istiadat ini merupakan penghormatan terbesar bagi kami untuk melakukan kawalan ke atas Tuanku Permaisuri yang mana beliau adalah pemimpin kepada negara Komanwel.

“Ini adalah detik yang bersejarah pada kami yang melakukan tugasan ini dan kami sedia memberikan persembahan yang terbaik.

“Tugasan yang dilakukan ini juga adalah satu cara untuk membantu mengurangkan perselisihan fahaman agama di antara orang Islam dan bukan Islam.

“Pada hari ini terdapat pelbagai perbalahan di antara agama berlaku dan hari ini kami akan buktikan bahawa negara Islam boleh bekerjasama dengan negara bukan Islam,” katanya dengan penuh harapan.

Sepanjang istiadat berlangsung ianya diiringi oleh Gabungan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (PPRAMD) diketuai Pegawai Waren 1 Muhammad Nor Azizan Yahya dan Brass Band 1 RAMD.

Kumpulan ini terdiri daripada 20 anggota diketuai Drum Major Staf Sjn. Roshdi Mohd Bahari. Pancaragam ini mengiringi sepanjang istiadat dengan memainkan lagu-lagu tentera dan patriotik negara ketika upacara berlangsung.

Sepanjang kompeni berkenaan berada di sana, mereka turut dijemput mengadakan persembahan sempena 1st. Windsor Castle Royal Tattoo 2008, Household Division Beating Retreat 2008, Royal Anglian Regiment Beating Retreat 2008 dan menyaksikan raptai penuh perbarisan hari ulang Tahun Ratu Elizabeth II.

1 RAMD mempunyai hubungan yang rapat dan sering bekerjasama dengan Royal Anglian Regiment. Sepanjang penugasan mereka di United Kingdom kompeni berkenaan berkampung di Transit Royal Air Force yang berpangkalan di Uxbridge kira-kira 40 kilometer dari pusat bandar London.

Tugasan istiadat Kompeni bermula 29 April dan berakhir pada 13 Jun lepas. Sebelum berangkat pulang ke Malaysia pada 15 Jun, Kompeni Istiadat 1 RAMD diketuai Mej. Mohd. Fuad Md Ghazali serta 129 pegawai dan anggota yang lain tiba di Lapangan Terbang Heathrow, London pada 17 April 2008 setelah mengharungi perjalanan selama 12 jam dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) Boeing 747-200.

Kompeni Istiadat 1 RAMD melakar satu sejarah apabila dengan rasminya melaksanakan tugasan kawalan istiadat pertama di Windsor Castle pada 29 April 2008.

Pada upacara itu Kawalan Istiadat 1 RAMD (kawalan baru) terdiri daripada 1 Pegawai dan 21 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Mohamad Qadri Abu Bakar, yang menerima tugasan kawalan pertama daripada pasukan ARRC support Battalion (Pengawal Lama) untuk mengawal di Istana Windsor.

Upacara kira-kira 45 minit itu diiringi band pengiring daripada Gabungan PPRAMD dan Brass Band 1 RAMD dengan memainkan lagu-lagu patriotik Malaysia.

pandangan

Dari sudut pandangan penulis dan disokong beberapa pandangan penonton serta reaksi spontan penonton membuktikan bahawa mutu kawad dan muzik yang dipersembahkan kepada penonton sememangnya berkualiti tinggi dan penonton yang hadir begitu terpegun dan menghayati persembahan kami.

Manakala bagi tugasan pertama sebagai Pengawal Ratu (Istana Buckingham, Istana St James’s dan Menara London iaitu pada 2 Mei 2008, Kompeni Istiadat 1 RAMD diketuai Mohd. Fuad.

Penugasan di situ mencuri tumpuan lebih 5,000 pelancong pada Istiadat Pertukaran Pengawal di Forecourt, Istana Buckingham dan telah menjadi monarki pengawal istiadat British yang pertama beragama Islam.

Pada upacara itu kelihatan jaket merah, bertopi kulit beruang berwarna hitam telah diganti oleh baju putih mutiara, samping berwarna hijau emas, songkok berlilit emas serta lengkap bersenjata M16 Chrome.

Ia merupakan pertukaran pengawal baru dari Kompeni Istiadat 1 RAMD dan 1st. Battalion Welsh Guards.

Tidak keterlaluan dinyatakan di sini bahawa ternyata tahap profesionalisme anggota Kompeni Istiadat 1 RAMD begitu tinggi ketika menjalankan tugas dan tiada tolok bandingnya dan berikut ini adalah antara pandangan daripada sudut peserta yang terlibat dengan kumpulan London District Public Duties.

Sarjan Mejar Rejimen, Pegawai Waren 1 Hayazi Abd Aziz antara yang paling sibuk untuk membentuk satu kawalan yang benar-benar mantap di samping mengatur kedudukan anggota yang bertugas berdasarkan jadual tugasan yang agak padat.

“Apabila diumumkan 1 RAMD dipilih untuk melaksanakan tugasan ini (London Public Duties) saya merasakan ia adalah satu cabaran dan tanggungjawab yang amat berat untuk diterima. Namun demikian berkat kesabaran, alhamdulillah segala-galanya telah selesai dan memberi kepuasan bagi diri saya.

“Penglibatan ini menambahkan pengetahuan saya di dalam melaksanakan tugas-tugas istiadat sejajar dengan tugas saya di dalam batalion istiadat di samping banyak memberikan kesan yang mendalam kepada diri saya terutama dari segi pentadbiran dan logistik ,” katanya.

Pegawai Waren 1 Muhammad Nor Azizan Yahya merupakan pemimpin kepada kumpulan Gabungan Pancaragam Pusat RAMD berkata, jemputan daripada Kerajaan British tepat pada masanya dan peluang keemasan ini kita telah manfaatkan dari pelbagai sudut.

“Selain menonjolkan keterampilan tentera kita ianya juga dapat mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi pakaian dan lagu yang dimainkan. Kehadirian tentera kita di London sentiasa menjadi perhatian baik di kalangan pelancong atau pun penduduk tempatan,” katanya.

Bagi Kapt. Dr. Mohammad Azim Che Azmi, 27, dari elemen perubatan walaupun penglibatan beliau sekadar di belakang tabir beliau berbangga kerana terpilih kerana beliau sendiri berada dalam kumpulan yang elit ini.

“Kesungguhan dan disiplin anggota-anggota kita membuktikan bahawasanya kita mampu jadi yang terbaik. Melalui apa yang dipersembahkan, saya yakin tentera bekas penjajah ini tidak lagi berani mendabik dada, malah tunduk malu dan hormat kepada kepada tentera kita.

“Nama RAMD akan terus meniti di bibir mereka, semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan pada siri akan datang yang mungkin akan berlaku 40-50 tahun lagi,” jelasnya.

Pegawai Waren 1 Mohd. Nizam Omar, selaku ketua elemen Sajian berpendapat pembabitan elemen sajian dalam tim berkenaan memang wajar dan sedikit sebanyak turut menyumbang kepada kejayaan kumpulan ini.

Menurutnya, beliau yang dibantu empat anggota yang lain berpeluang menyediakan sajian di setiap lokasi pengawal seperti di Buckingham Palace, St. James’s Palace, Tower of London dan Windsor Castle.

“Saya bertanggungjawab menyediakan menu masakan dan memastikan anggota dapat menikmati makanan menu Malaysia walaupun dengan bahan masakan yang serba berlainan,”‘ katanya.

“Sepanjang penugasan selama dua bulan di London berbagai-bagai pengalaman yang amat berharga dilalui selain dari bertugas bersama anggota chef Tentera British, berkongsi pengalaman dan dapat juga bertugas di tempat-tempat yang menjadi tempat rasmi Keluarga Diraja British,” katanya dengan penuh bangga.

Secara peribadi, penglibatan saya di London ini merupakan satu bonus sebelum bersara daripada perkhidmatan dan ia menambah koleksi pengalaman bagi diri saya dan sukar untuk dilupakan.

Bagi Koperal Ahmad Fitri Mohd Osman selaku Penolong Ketua Pengawal di sini, tugasan yang dilaksanakan begitu mencabar dari segi perbezaan cuaca yang sejuk. Pada mulanya terasa agak kekok untuk melakukan prosedur berkenaan, lama kelamaan tiada masalah dan terasa seronok pula.

“Tugasan saya di sini menentukan penyerahan peluru, komputer, faks, tempat penginapan serta segala peralatan yang ada di balai pengawal,”‘ ujarnya.

Pbt. Suhaimi Yahya, merupakan antara anggota yang pertama sekali bertugas di pos kawalan Windsor Castle. Beliau nyata berbangga menyertai misi ini kerana ia bukan sahaja membawa dan menjaga nama TD malahan membawa bendera negara.

Dalam kesibukan Kumpulan Public Duties 1 RAMD melaksanakan tugasan, kumpulan kami juga turut menerima kunjungan daripada Sultan Kedah yang juga Kolonel Yang Di-Pertua Kor Rejimen Askar Melayu Diraja; Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin.

Tak Melayu Hilang Di Dunia

[ entri ini mengenai Laksamana Hang Tuah dan rakan karibnya Hang Jebat, adalah dedikasi khas sempena Hari Pahlawan, 31 Julai 2008 ]

siapa tidak kenal dengan ungkapan keramat yang dilafazkan oleh Laksamana melayu terbilang itu. saya ‘diperkenalkan’ dengan beliau pertama kali oleh ibu dan bapa saya semasa saya berusia 6 tahun (1979) iaitu ketika pertama kali di bawa melawat ke negeri Melaka. ketika itu kami tinggal seminggu di rumah nenda saudara saya yang merupakan Pengetua di Sekolah Henry Gurney pada masa itu.

ketika dibawa melawat makam Laksamana dan periginya, saya telah bertanya itu dan ini kepada kedua-dua orang tua saya. saya mula diperdengarkan dengan kisah kepahlawanannya serta tidak ketinggalan tragedi yang membuatkan beliau terpaksa membunuh sahabatnya sendiri. saya mula berfikir tentang siapa gerangannya Laksamana ini. mengapa sedemikian tindak tanduknya.

kembali dari negeri Melaka, saya juga berkesempatan dibawa oleh abah saya melawat Muzium Negara. ketika itu ada satu ruang yang mempamerkan tentang beliau. barang pameran itu adalah berupa ukiran logam yang mengisahkan perjalanan hidupnya. tapi kini rasanya, tidak dipamerkan lagi di muzium.

( lagi info mengenai beliau? )

kesan yang ditinggalkan dek kisah kepahlawanan Laksamana melayu ini, nyata telah menanam pengaruh yang amat besar dalam diri saya. dari sejak itu, saya bercita-cita ingin membaca Hikayat Hang Tuah (HHT). impian itu menjadi kenyataan apabila saya memasuki Tkt 6, walaupun saya agak kaget melihatkan ketebalannya. Namun pada masa yang sama saya juga membaca teks Sejarah Melayu (SM) dan ada kekeliruan kerana dalam HHT Jebat disebut sebagai penderhaka tetapi dalam SM pula Kasturi disebut sebagai penderhaka. Apa sekali pun, saya tak kan lupa yang saya pernah mengalirkan air mata sebak semasa membaca HHT dalam bab di mana Jebat menghembuskan nafar terakhir di pangkuan saudara tuanya itu lalu kemudian mayat diaibkan oleh pihak istana.

selain itu kesan pengaruh kepahlawanan Laksamana itu juga membuatkan saya berazam ingin menjadi seorang pahlawan, dalam erti kata lain ingin menyarung seragam tentera. namun impian itu hanya dapat saya lalui separuh jalan.

kerana pengaruh itu juga, saya menjadi seorang pencinta sejarah. subjek sejarah tidak pernah menjadikan saya bosan sejak mempelajarinya dari darjah 4 hinggalah ke Tikt 6 dan akhirnya mejadi major dalam pengajian saya di universiti dulu.

namun, yang saya mengerti ialah kisah kepahlawanan beliau antara sebab yang menjadikan saya mempunyai naluri tegas dan perasaan berteras patriotik, selain mewarisi sifat itu dari arwah nenda sebelah ibu yang pernah berjuang menuntut kemerdekaan.

dan untuk tulisan ini, saya ingin pautkan ke blog Jebat Must Die (JMD) yang gemar saya kunjungi bila berkesempatan. kisah-kisahnya neutral, sama bentuk pendirian dengan saya. cuma saya belum mahu menulis sesuatu yang berkaitan dengan senario tanah air kerana saya terlalu rasa berdukacita dengan semua yang sedang berlaku sekarang ini. dan agak saya penulis blog ini seseorang yang amat matang dalam analisis wacana politik.

saya ingin pautkan ke satu penulisan dalam blog beliau yang sangat menjadikan hati saya sebak dan tersentuh. bahasa dalam tulisan itu mudah dan jelas. jika anda mampu berimaginasi dengan baik saya yakin anda akan dapat ‘melihat’ Melaka dalam satu zaman yang tidak berbeza dengan rutin kita hari ini. bukan zaman klasik spt dalam bahasa melayu lama. anda akan dapat melihat sesuatu yang lebih realistik dan neutral dalam situasi-situasi yang dipaparkan. Perwatakan watak-wataknya sebagai manusia biasa dan bukan dari sudut fantasi.

Jika anda belum pernah membaca HHT, atau memang tidak pernah berminat ingin membacanya, memadailah dengan teks ini. Khas dari blog Jebat Must Die untuk anda, inilah secebis dari tulisannya:

At that juncture, Jebat grabbed Taming Sari and killed the Sultan’s youngest son, Raden Kelang (son of Raden Galuh) in one swift motion. His voiced had turned cold when he whispered menacingly to the Sultan;

“Engkau yang dilaknati, minta ampun pada Tuhan!” (You who are damned by God, ask for His forgiveness!) …. ikuti bacaan selanjutnya

lebih dari itu, saya berdoa semoga roh mereka semua dirahmati Allah. dan untuk kita berfikir, di mana haluan kita sekarang ini. Politik negara kita ini.. orang-orang yang sedang menjadi pemimpin .. orang-orang ingin dan sedang berebut menjadi pemimpin .. di pihak siapakah kita .. Jebat atau Tuah ?

Catatan Perjalanan Europe (11) : Rejimen Askar Melayu DiRaja Mengawal Istana Buckingham

( Nota : link ke video perbarisan RAMD )

Sebelum saya meneruskan catatan perjalanan ini dengan aktiviti-aktiviti yang diuruskan di UK, saya ingin berkongsi dulu tentang beberapa pengalaman menarik yang sempat dirasai sekitar waktu lapang yang dicuri-curi dari kesempatan yang ada.

Semasa saya tiba di London, Hairol memberitahu saya bahawa Askar Melayu sedang berada di London. Katanya, mereka diberi penghormatan dijemput oleh Queen untuk bertugas dalam kawalan keselamatan di Istana Buckingham. Pada awalnya memanglah bunyinya agak pelik kerana saya merasakan mengapa pula perlu askar Malaysia mengawal istana Britain? Namun selepas mendengar penjelasan panjang lebar saya memahami bahawa konsepnya adalah sama sepertimana tentera kita diberi kepercayaan dan penghormatan dalam menjalankan tugasan antarabangsa sebelum ini.

Batalion Pertama (batalion istiadat) Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) yang berpangakalan di Sungai Besi adalah unit yang bertanggungjawab dalam hal-hal istiadat. Di Istana Negara, Jalan Mahameru, merekalah juga yang bertanggungjawab mengawal pintu istana. Jika anda biasa melihat pengawal berseragam merah dan berkuda terpaku segak berkawal di situ, itulah mereka. Mereka juga bertanggungjawab dalam perbarisan semasa hari kemerdekaan serta semasa menerima tabik hormat dan pemeriksaan jika ada lawatan ketua negara dari luar. kini mereka dijemput pula untuk satu acara yang menaikkan nama Malaysia di mata orang-orang London.

Khabar oleh Hairol, askar kita akan berkawal bergilir-gilir mengikut hari dengan tentera British. Dan apabila tiba hari-hari upacara pertukaran pengawal atau Change of Guards, kota London khasnya berhadapan Istana Buckingham pasti akan sesak dan beberapa jalan akan ditutup kerana dipenuhi orang ramai yang melihat perarakan. Mendengarnya kisah-kisah Hairol, berdebar-debar rasa di hati saya kerana ingin sangat memastikan peluang seperti ini tidak terlepas. Ya, mungkin London boleh dikunjungi semula di lain kali namun upacara bersejarah seperti ini mungkin tidak akan berulang!

Akhirnya kesempatan itu tiba pada 10 Mei apabila Hairol memberitahu bahawa pada hari tersebut upacara Change of Guard akan dijalankan. Maka saya dan beberapa ahli delegasi segera menyusun perancangan untuk berkunjung ke Istana Buckingham. Cubaan kami untuk sampai seawal 9 pagi gagal kerana rupa-rupanya orang London terlebih dahulu telah memenuhi kawasan2 sekitar istana sejak jam 7.30 pagi ! Begitu sekali sambutan yang saya sendiri tidak menduganya.

Sukar sekali mencari ruang untuk berjalan. Dalam gambar di atas, nampak sahaja macam kosong kerana orang ramai berkerumun dekat dengan pintu istana. Kawasan lapang itu dihalang untuk laluan kerana ia sebahagian dari laluan perarakan.

Upacara bermula dengan perarakan berkuda oleh tentera Britain memasuki perkarangan istana dan diikuti dengan persembahan pancaragam oleh kedua-dua negara secara bergilir-gilir. Kemudiannya barulah dilakukan upacara kawad pertukaran pengawal.

Mendengarkan persembahan oleh RAMD dengan lagu-lagu seperti Getaran Jiwa .. timbul rasa terpegun dan bangga di dada. Tambahan pula tiap kali mereka mengakhiri lagu yang dipersembahkan tepukan dan sorak dari orang-orang London begitu gemuruh sekali. Saya sempat bertemu beberapa orang anggota RAMD yang tidak terlibat dalam perbarisan. Mereka berada selama dua bulan di London melaksanakan tugasan ini. Semasa saya bertemu mereka itu, ada tempoh selama sebulan setengah lagi sebelum mereka pulang ke tanahair.

Mereka yang tidak berbaris pun agak sibuk juga kerana sentiasa menjadi sasaran orang-orang London yang ingin mendampingi dan bergambar bersama. Sebenarnya selain kami, pada masa itu juga ada krew TV3 yang saya lihat menemuramah beberapa orang London serta seorang dua ahli delegasi kami. Khabarnya untuk Majalah Tiga tapi tak tahulah bila akan disiarkan.

Buat anak-anak Malaysia sekalian, sama ada anda turut berasa bangga atau tidak .. mungkin itu kurang penting buat saya. Namun di kala negara kita sekarang ini diwarnai dengan contengan-contengan senario politik yang tidak patriotik (bagi saya) lagi merimaskan .. apa lagi akhlak ahli parlimen yang jelas tidak bertamadun (tidak kira di pihak manapun) .. berdoalah kita agar Malaysia akan terus terpelihara walaupun nyawa kita jadi taruhan. Amin.

( Nota : link ke video perbarisan RAMD )

________________________________________________________________

Tambahan pada 2 Sep 08 : Laporan penuh oleh Utusan Malaysia mengenai tugasan 1 RAMD di London