Archive for the ‘ Rock ’ Category

Al Fatihah buat Samad Lefthanded

Pulang seorang lagi anak seni kepada pencipta Nya. Al Fatihah.

dunia remaja saya cukup diwarnai keindahan lagu lagu Lefthanded. ketika ini bagi diri saya segala yang dilagukan oleh Lefthanded bukan saja sudah sebati tetapi jiwa saya menerimanya sebagai malar segar.

karyanya yang paling saya hormati adalah instrumental berjudul ‘Joget’ hasil duet gitar antara beliau dan Paul Gilbert (Mr. Big) yang membawa kepada penganugerahan Album Rock Terbaik dalam AIM 95.

sumber gambar

sebagai peminat tegar Lefthanded, ah berita ini amat menyedihkan. rasa belum cukup puas mendengar hasil karyanya. tapi masa nya sudah tiba. relakan sahaja.

maka dengan itu, Allahyarham Samad Mian akan kekal dalam ingatan.

petikan lirik ‘Tiada Lagi Kidungmu’

damai lah kau di sana, di sisi Tuhan yang Esa

 

 

 

 

 

 

 

sumber gambar

Politik Malaysia Dalam Lagu Rock

Saja tukar angin. Dalam bulan puasa ini janggal juga rasanya saya nak menulis tentang lagu rock. Asal saja tidak menghala kepada keburukan. Tapi rock kali ini istimewa sikit kut .. kerana rock yang bertemakan politik. Apa pun, blog ini bukanlah blog politik. Saja tukar angin.

Orang yang tak minat rock selalu kata rock ni tak elok. Ganas. Bingit. Keras. Dadah. Maksiat. Yang tak eloknya rockers, bukan rock itu. Itupun, tak semua rockers tak elok perangai. Papa rock Ramli Sarip ok apa. Tengoklah Amy Search sekarang ni, siapa menyangka, kan?

Jadi samalah juga misalnya dengan ada polis yang rasuah. Ada doktor jual dadah. Ada hakim berat sebelah. Ada ahli politik tak patriotik. Yang tak elok pengamalnya, bukan kerjaya itu. Lainlah kerja mencuri atau merompak kan, sah-sah memang tak betul.

Hakikatnya rock yang bertapak di Malaysia sejak hujung tahun 1970-an dulu telah diadaptasi dan diasimilasi dengan pengisian yang berjiwa matang. Rock sememangnya genre muzik yang selari dengan luahan rasa tidak puas hati dan di sini, rock menjadi aspirasi dalam meluahkan pandangan terhadap isu-isu yang lebih berat seperti ketidakadilan, kemanusiaan, perjuangan, kemusnahan.

Malah rock di sini juga disesuaikan dengan luahan rasa tentang ketuhanan dan kerohanian. Kalau tidak masakan kumpulan nasyid memilih Mentari Merah Di Ufuk Timur (Search) dan Dari Tuhan (Wings) untuk diolah semula.

Lalu, sedar atau tidak.. lagu-lagu rock telah lama ‘membahaskan’ tentang soal politik, negara dan bangsa. Satu masa dulu, dalam satu majalah Amy Search pernah cakap ‘politik kitorang ni taklah teruk sangat’.

Inilah nostalgia yang ingin saya kembalikan.

Saya mengambil beberapa lagu Search dan Wings untuk dijadikan modal. Sekali sekala mendengar lagu yang keras seperti ini, cuba selami maksud yang tersirat di sebalik lirik. Konteks politik negara yang agak kucar kacir pada masa jelas terpapar dalam lirik-lirik itu.

Jadi, kepada ahli-ahli politik yang tak sudah-sudah dengan agenda yang berkepentingan sendiri (dan merimaskan), janganlah buat-buat tak tahu yang SATU MALAYA DAH TAHU (selok belok hal politik ni)…

Mana-mana yang baik itu, untuk kita fikirkan …

 

___________________________________________________________________________________________________

Wings : Sakit Bantal Empuk (Mencari Asal Usul, 1998)

Caj caj caj caj caj caj .. Suka hati
kau tak berbudi – kau tak mengerti – Kau tak perduli – ku kau anggap kutu kari

Das das das das das das .. Hentam saja
kau tak berjiwa – kau tak merasa – kau tak periksa
Siapa yang mengalas kerusimu di bawah – Di bantal empuk mu kau terlupa – janji mu

Dam dam dam dam dam dam .. Kami jeran
kau tak kasihan – kau tak sayangkan – Kau tak ringankan
kami sekalian yang bergelar sang Marhain
Di rumah tumpangan kau terlupa – diri mu siapa – Kau sedarlah
Kalau bukan kami yang tumpang – yang bersusah payah berkompang hingga menang – hingga dijulang

SEARCH :

PADA SATU KEDUDUKAN (LANGIT DAN BUMI, 1987)

Bukan pertaruhan – Bukan permainan
Tapi kenyataan – Jangan sekali kali kita menafikan

Ada kehancuran – Nanti di hadapan
Kalau tidak diubah – Sikap dan pendirian kita kan kecewa

Di tebing yang curam dan berduri tajam – Itulah kedudukan kita sekarang
Janganlah menolak sesama sendiri – Bersengketa nantikan kecewa

Pandanglah yang sama – Buang mimpi ngeri
Maju ke hadapan – Demi hak warisan dari zaman ke zaman

TUMBUK RUSUK (LANGIT DAN BUMI, 1987)

Kenyitkan matamu – Bila kau setuju
Pejamkan matamu – Jika kau tak mau

Katakan padaku – Jika kau setuju
Bukalah saku mu – Tutup lah mulut mu

Ya kata adat – Tidak kata undang-undang – Oh rasuah

Jangan kau berikan – Aku tak terima
Walau pun seluas – Lautan permata

MENARA KESESATAN (FENOMENA, 1989)

Dari lembah terasing – Kita diperlihatkan
Satu lakonan pentas – Mainan cendiakawan
Inilah sebahagian cara hidup kita
Mempermainkan dipermainkan
Guna dan diguna – Tanpa disedari – dan menyedari

Kita didorong dorong – Dari isu ke isu
Jerumus dan kecewa – Kemudian diselamatkan
Tiada yang pasti dari lembah ini
Haluan menuju keruntuhan
Banyak yang kabur – Tanpa disedari – semua mimpi

Menara kesesatan – Sempit fikiran
Menara kesesatan – Dalam kerugian

PAWANA (FENOMENA, 1989)

Bermula – sebuah cerita – Di zaman dulu kala
Mudahnya – sederhana – kehidupan
Mereka riang sentiasa dan gembira – Tanpa – duka
Waktu berpesta pawana pun melanda

Meresap – fikiran – dan jiwa berubahlah semua
Jadi sombong – serta alpa – Semua – inginkan kuasa
Rebut dengan sengketa
Yang lemah – jadi hamba

Berpecah antara mereka – Musnah dihembus pawana
Begitulah kisah hidup – Dari zaman ke zaman
Pawana menghembus akan hati insan ..

DIARI QABIL & HABIL (ROCK N’ ROLL PIE,1996)

Ku lihat api – di ufuk sana
Ke dengar jeritan – mengundang tangisan
Anak-anak tak berdosa

Ku lihat manusia – bunuh manusia
Kerana perbezaan – bangsa agama
Buta mata – buta hati

Semarakkan nafsu serakah – Masing-masing tak nak mengaku salah
Dan berdoa – bagai Tuhan bukan Esa

Ku dengar manusia – hina manusia
Kerana kelainan – adat dan bahasa
Buta mata – buta hati

Menuruti bisikan syaitan – Masing-masing tak nak mengambil iktibar
atau hikmah – Dari kisah – Qabil Habil

Band Rock ‘Meditasi’ Nak Re-Union?

Wallahu alam saya pun tak tahu jadi ke tidak diorg nak re-union. masa jumpa Burn (Meditasi) di pan pac KLIA bulan mac lepas, katanya sedang masuk studio. tiga empat lagu dah siap. aku suruh dia naik ke pentas nyanyi taknak le pulak. sesapa yg suka kat lagu Demi Rindu atau Biar Pedih Kasih Memanjang mungkin ini berita gembira. semoga berjaya gua ucapkan kepada Meditasi.

Budak Sekolah Rockers (2)

Sememangnya banyak cerita tentang kenangan zaman rock tahun-tahun 80an dulu. Cerita tentang pakaian, bahasa (gua-lu), lagu-lagu, band-band yang berkarisma dan tak kurang juga tentang impian remaja untuk mempunyai band sendiri. Mungkin tak banyak beza dengan generasi kini yang ingin menjadi penyanyi melalui program-program realiti. Tapi bagi saya, laluan untuk bergelar rockers dulu lebih ‘jujur’.

Kebanyakan mereka yang berjaya muncul sebagai band rock biasanya telah melalui ‘saringan’ getir. Pada masa sama bekerja di warung nasi lemak atau burger, atau sebagai buruh binaan, mereka berlatih sendiri di jamming studio. Sambil bekerja dan berlatih di studio, mereka berusaha sendiri mencari peluang membuat persembahan di majlis kenduri kahwin dan seterusnya ‘fun fair’ lalu menyertai pertandingan pentas.  Sekiranya ada nasib barulah berpeluang pula untuk muncul sebagai band yang bermain di kelab-kelab. Selepas itu barulah difikirkan tentang peluang untuk merakamkan album. Itulah perbezaan tentang ranjau perjalanan untuk bergelar band rock. Itulah juga apa yang dilalui oleh Search, Lefthanded dan May, misalnya.

Lalu atas keadaan itu, tidak semua budak-budak peminat aliran rock menyimpan cita-cita besar untuk muncul sebagai band rock kerana sedar akan kesukarannya. Maka tidak hairanlah pada masa itu kalau ramai budak-budak sekolah yang sangat gilakan muzik rock tapi tiba-tiba mengejutkan guru-guru mereka apabila mendapat keputusan SPM yang cemerlang atau baik. Antara mereka ada yang berangkat ke universiti luar negara, ada juga yang mendaki menara gading tempatan, ada yang masuk kolej-kolej kemahiran dan muncul sebagai usahawan berjaya. Semua ini kerana, dalam mereka menyanjungi muzik rock mereka tetap tidak mengenepikan pelajaran. Misalnya, Belantara dan Cromok adalah antara band rock yang muncul dengan album semasa melanjutkan pengajian di luar negara.

Moral : Kepada generasi muda dan ibubapa mereka hari ini, janganlah dibuai sangat dengan tangis hiba program realiti dan lebih dari itu janganlah meletakkan anggapan bahawa ‘adalah ok untuk berjaya dalam program realiti walaupun tak menjadi dalam pelajaran’.

1988

.. orait brader, berbalik tentang nostalgia budak sekolah rockers. Mengenai perkembangan muzik rock sebagai aliran mainstream masa itu, seperti yang dikatakan tak hairan kalau rata-rata budak-budak sekolah menyimpan hasrat untuk mempunyai band sendiri.  Ada yang suka suka. Ada yang benar-benar serius. Di kawasan bandar, di sekolah-sekolah yang agak liberal (tak semua sekolah bandar liberal) agak biasa juga kalau dianjurkan pertandingan-pertandingan nyanyian.

Di Cochrane, kami agak bertuah kerana ada persatuan yang menganjurkan pertandingan dari masa ke masa. Agak ramai juga pelajar Cochrane yang menubuhkan band sendiri dan menyertai pertandingan yang dianjurkan. Saya masih ingat pada tahun 1988 itu, selepas peperiksaan SRP selesai dijalankan pelajar-pelajar Tkt.3 masih diwajibkan untuk hadir ke sekolah bagi baki beberapa minggu sebelum cuti akhir tahun walaupun tidak ada apa-apa lagi yang nak dipelajari dalam kelas. Untuk elakkan pelajar memonteng, aktiviti-aktiviti luar kelas dianjurkan oleh sekolah termasuklah satu pertandingan muzik antara kelas-kelas Tkt 3.

Dan inilah part yang saya paling malu nak tulis sebenarnya. Ya, saya dan beberapa orang kawan karib telah mendaftarkan band kami dalam pertandingan tersebut !  (ok, saya mengizinkan kamu gelak kalau mahu).

Instrumen ?  oh saya tak main alat muzik. Saya adalah vokalis. But seriously guys, the band was real. Band itu ditubuhkan sebelum kami di Tingkatan 3 lagi. Cuma tak serius je, sekadar suka suka. Anggota band ini tiga orang sahaja (style SYJ). Selain saya, Halim bermain gitar dan Asrul drummer. Belum ada bassist masa tu. Selalunya kami lepak main-main gitar kapok di rumah Halim ja sebab rumah dia paling dekat kat sekolah.

Pada asalnya, berkumpul di rumah dia pasal buat study group tapi bila boring kami main lagu. Saya akui Halim memang bagus main gitar, mewarisi kebolehan bapanya bermain alat muzik. Kami kerap memainkan lagu Lefthanded. Masa tu kami juga ada lagu yang digubah sendiri. Tapi tak pernah perform kat orang lain kerana takut malu kalau kalau dikutuk.

Lepas mendapat tahu tentang adanya pertandingan itu, kami berbincang dan setuju untuk masuk. Pada mulanya kami bercadang untuk menyanyikan lagu ‘Keadilan’ atau ‘Seruan’ oleh Lefthanded tetapi lagu tu kena reject kerana berkonsep heavy metal.

Di hari persembahan, suasana amat meriah. Semangat rock terasa amat membara. Baru kami saling mengetahui siapa budak-budak lain yang masuk mewakili kelas masing-masing. Ramai antara mereka juga adalah pelajar Cochrane yang tinggal di Asrama Tun Dr. Ismail (ATDI @ ATUDISMA). Dalam ramai-ramai tu ada seorang pelajar yang kehebatannya bermain gitar sudah diketahui seantero sekolah. Yang saya ingat cuma nama gelarannya iaitu Mumra (ingat Thundercats?).

Bila Mumra sampai dan muncul dengan gitarnya, kami tahu gerenti band dia akan menang. Tapi Mumra selamba menjawab “relax beb, tada kalah menang .. kita semua rockers”. Memang benar, kerana di belakang pentas kami tidak lagi berbeza tetapi sesama cuba-cuba memainkan lagu yang akan dipersembahkan oleh band lain.

Sebaik pertandingan dimulakan, barulah semua orang berasa gementar. Bila tiba giliran kami naik ke pentas  .. hah, STAGE FRIGHT !! Member satu kelas kat bawah dah terpekik pekik menjerit “rockkkk 3B !!”. Halim mula dengan petikan solo dan sejurus itu saya melaungkan “Cochrane, nyanyi bersama kami !!!” lalu disambut suasana riuh rendah. Lagu pertama adalah lagu joget diberi nafas rock yang dicipta Halim sendiri dan diikuti lagu slow ‘Ku Kehilangan Cinta Tiga Dimensi’ yang dipopularkan oleh Lefthanded.

Ya. Itulah persembahan pertama dan terakhir band kami bersama. Saya takkan melupakannya.

Tiba giliran ‘Mumra and Friends’ , dewan sekolah semakin riuh rendah. Mereka mainkan lagu ‘Misteri Mimpi Syakilla’ yang sedang top di hujung tahun 1988 itu. Seperti yang dijangka mereka muncul sebagai pemenang.

Selepas dapat result SRP, kami telah berpecah. Halim masuk ke Teknik KL manakala saya ke Teknik Melaka. Asrul stay kat Cochrane. Mumra, semasa datang ambil result SRP dia berambut panjang. Malangnya keputusan SRP dia tak berapa baik dan katanya dia ingin terus main muzik. Saya tak tahu di mana mereka semua sekarang.

Sehingga hari ini, saya masih menyanyi cuma untuk suka suka. Sekali-sekala kalau ada persembahan atau majlis anjuran ofis, saya tak keberatan naik ke pentas. Setiap kali menyanyi saya akan teringatkan pengalaman pertama berada di pentas yang diceritakan ini. Kepada rockers Cochrane di zaman saya .. you guys rock !

fender.jpg

http://img15.photobucket.com/

Budak Sekolah Rockers

ROCK. Sukar bagi sesiapa yang tidak mengerti falsafah muzik ini untuk memahami jiwa mereka-mereka yang menyanjung aliran muzik ini. Saya memasuki alam remaja ketika muzik rock sudah mula bertapak kukuh di tanah air sekitar tahun-tahun 1985. Pada masa itu, nama-nama band rock 70-an dari Barat seperti Rainbow, Scorpions, Iron Maiden, Dio, Black Sabbath, KISS, Whitesnake telah sedia dikenali ramai.

Berterusan lagi pabila munculnya band-band rock tahun-tahun awal 80-an antaranya Metallica, Megadeth, Cinderella, Motley Crue, Bon Jovi. ‘Rock scene’ tanah air pula menerima kelahiran generasi Battle of The Bands. Walaupun banyak band yang berjaya mengukir nama besar ketika itu namun yang benar-benar bertahan ke hari ni boleh dikatakan cuma Lefthanded dan Search sahaja. Selain itu ada Rusty Blade (Yantzen’s) band dari Singapura manakala May dan Wings pula adalah generasi selepas dari Battle of The Bands.

Bagi sesiapa yang ingin cuba memahami tentang rock, anda boleh cuba menonton filem ‘Detroit Rock City’ dan ‘School of Rock’. Filem Melayu ‘Rock’ bagaimanapun hanya berkisar tentang persekitaran pada zaman itu dan tak banyak menekankan falsafah tentang rock.

Tahun 1986.

Berbalik pada zaman di mana rock adalah segala-galanya, semasa itu saya mula memasuki sekolah menengah (Cochrane Road School). Fesyen dan gaya rockers turut diterapkan ke pakaian seragam sekolah putih-hijau. Antaranya fesyen seluar poket ‘L’ dengan potongan ‘straight cut’ atau ‘slim fit’, bandana (key) merah, aksesori seperti tali pinggang dan buckle kepala Red Indian, peluru atau tengkorak.

Fesyen rambut disikat menegak ke atas. Malah budak-budak yang berani turut memakai celak hitam tipis. Peralatan sekolah juga turut mempunyai identiti rock seperti kasut ‘hi-cut’ jenama Carefree (macam jenama Converse) dan ‘beg gantung’ iaitu beg kain hitam dgn. gambar kumpulan rock yang dijahit sendiri atau boleh dibeli dengan mudahnya di mana-mana pada waktu itu.

Kebanyakan sekolah bagaimanapun tidak mengizinkan pemakaian buckle lalu mengharamkan terus tali pinggang. Gambar-gambar berikut adalah antara apa yang saya ceritakan tadi :

rock-style-students.jpg

sumber gambar :

http://www.therealsim.com
http://www.chemocareheadwear.com
http://www.rabanser.com
http://www.belts-n-things.co.uk

Untuk mengubahsuai / menempah seluar pula serta memilih ‘beg gantung’ pelbagai rekabentuk, ‘booth’ Waris yang terkenal di Puduraya pada masa itu menjadi pilihan utama untuk mendapatkan barangan berimej rockers.

Sebagaimana yang dikatakan oleh kebanyakan orang, ROCK adalah satu fenomena dan bukan setakat muzik sahaja. ROCK merentasi zaman iaitu semenjak akhir tahun 60-an hinggalah sekarang. Jika di tahun 70-an muzik heavy metal mendominasi aliran rock, hari ini muncul pula modern rock. Tapi ia tetap berbeza. Kenangan di zaman sekolah menengah dengan persekitaran rock scene yang pelbagai warnanya, sesungguhnya sungguh manis. Dan kini hanya tinggal kenangan yang dilayan semasa mendengar kembali lagu-lagu rock lama.

rock.jpg

Mula Mengenali Muzik Rock

1983

Latar masa entri ini berlaku ketika saya di darjah empat. Dalam entri bertajuk ‘Kamelia, Belaian Jiwa, Rindu Bayangan, Kereta Merah’ sebelum ini, ada ditulis mengenai bibit-bibit awal tarikan muzik rock terhadap diri saya. Di sini saya nak tulis pula tentang pengalaman bagaimana muzik ‘rock’ telah menakluki jiwa saya.

Semasa cuti sekolah, saya sekeluarga telah balik ke kampung di Batu Gajah, Perak sempena majlis kahwin. Budak-budak telah disuruh bermain di sebuah rumah saudara lain di seberang jalan supaya tak menganggu persiapan di rumah pengantin.

Setelah puas main nyorok-nyorok, perang-perang, kejar ayam dan lastik burung, saya berehat sekejap kat rumah. Ketika itu saya ternampak susunan piring hitam yang banyak di dalam almari. Saya membelek piring-piring hitam itu satu persatu dan terperanjat melihat salah satu piring hitam yang ada gambar hantu pada cover-nya.

Iron Maiden - Peace of Mind - 1983 

Album tersebut adalah ‘Peace of Mind’ oleh band Iron Maiden dari UK. Hantu itu ialah ikon band tersebut iaitu ‘Eddy’. Yang menarik hati saya ialah gambar Eddy sedang meronta-ronta dalam keadaan dirantai. Cover belakang pula ada gambar ahli band di sebuah istana lama sedang menghadap hidangan otak manusia .. masa tu saya ingatkan otak betul.

Sedang saya membelek-belek, abang saudara saya masuk. Dia tanya ‘nak dengar ke?’. Pucuk dicita ulam mendatang. Buat pertama kalinya, saya mendengar muzik rock yang benar-benar keras. Pada masa itu saya belum tahu bahawa muzik itu dinamakan Heavy Metal. Saya cuma tahu ia adalah sejenis muzik yang bingit tetapi sedap.

Tapi saya akui bahawa ada kesan ‘culture shock’ selepas mendengarnya, saya macam jadi sedikit keliru. Tertanya-tanya ‘tak apa ke dengar lagu-lagu yang kasar cam ni’ dan ‘tak salah ke simpan gambar hantu kat rumah’. Tapi lama-lama rasa tak keruan tu hilang.

Maka bermulalah satu era baru dalam hidup saya. Saya menjadi peminat irama Heavy Metal dan seterusnya jiwa saya telah terdorong untuk meminati aliran rock Melayu tanahair yang menguasai persada seni tak lama lepas itu.

Abang saudara saya itu (namanya Jamal) semakin aktif mendalami muzik dan telah mengasaskan band yang diberi nama Saxo. Mereka muncul dengan album berjudul Satu Perjuangan (1990 rasanya). Tapi album tersebut kurang menerima sambutan kerana mereka memainkan muzik thrash metal. Genre itu hanya mula diterima oleh masyarakat selepas Cromox melahirkan album Image of Purity beberapa tahun kemudian. Abang Jamal kini tidak lagi bermain muzik. Beliau telah berkeluarga dan tidak lagi berambut panjang mengurai sebaliknya berjanggut pendek dan berkopiah. 🙂

Bagi saya, nostalgia mendengar muzik Heavy Metal buat pertama kali itu takkan luput dan ia adalah salah satu detik peristiwa yang penting dalam hidup saya kerana telah mencorakkan identiti diri saya semenjak dari itu. Long Live Rock n Roll !