Archive for the ‘ Sejarah ’ Category

Sejarah Peperangan Islam Yang Tercipta Dalam Ramadhan

Pernahkah kita terfikirkan bahawa setiap kali melalui Ramadhan fikiran kita lebih tertumpu tentang hal-hal persiapan membeli juadah berbuka, atau bahan yang ingin dimasak utk berbuka puasa, atau sibuk mencari hotel yang sesuai dengan bufet Ramadhan ..

Seterusnya hal-hal seperti giliran siapa yang kena sediakan moreh, berapa banyak nak tempah kuih raya dari kawan sepejabat, berapa pasang tempahan baju raya untuk tahun ini dan bila nak pergi servis kenderaan atau beli sahaja tiket bas balik kampung, atau tiket kapal terbang, keretapi .. ? ishh banyak betul lah ..

Itulah kita sebagai manusia biasa.

Mungkin ke-terbiasa-an menjadikan kita alpa terhadap peristiwa-peristiwa lain di bulan Ramadhan. Berbanding kalau kalendar tahun Masihi, jarang kita melupakan bahawa 31 Ogos itu adalah hari kemerdekaan, 16 Sept adalah hari Malaysia, 1 Mei Hari Pekerja dan lain-lain lagi .. 

Akhirnya dengan kesibukan kita bekerja dan beribadat puasa serta tarawih, berlalulah Ramadhan  tanpa sempat kita mengimbas, menghayati, menginsafi, dan bermuhasabah diri dengan peristiwa-peristiwa yang satu masa dahulu telah berlaku dan dengan izin Allah menjadikan kita sebagai beragama Islam hari ini.

Contoh. Telah biasa kita dengar tentang Perang Badar. Kisah sejarah tentera Islam Madinah seramai 313 orang di bawah pimpinan Rasulullah SAW menundukkan tentera Quraish Musyrikin dari Makkah yang kekuatannya berjumlah tiga kali ganda. Disebabkan kisah itu telah ‘biasa kita dengar‘ maka mungkin itu membuat kita menjadi ‘biasa-biasa’ sahaja bila mendengar kisah Perang Badar. Jarang-jarang kita bersedia – menunggu ketibaan tanggal 17 Ramdhan setiap tahun – untuk mengingati bahawa 17 Ramadhan 2 Hijrah adalah hari bersejarah berlakunya peperangan pertama dalam survival umat Islam itu.

Ia mungkin menjadi biasa lantaran kita merasakan peristiwa itu sebagai sesuatu yang ‘jauh’ dari kita. Namun, andainya kita ‘hanyutkan’ diri kita dalam nostalgia ; menghayatinya dengan diri kita sebagai ‘sebahagian dari perisitiwa itu’ mungkin kita tidak terasa jauh ..

Misalnya, ambil inisiatif menghadiahkan pahala bacaan surah Yassin sama ada sendiri atau majlis berjemaah kepada askar-askar Islam dalam peperangan itu khasnya para syuhada. Sedikit sebanyak kita rasa bagaikan hampir dengan perisitwa itu. Silap-silap, harus menitis airmata semasa membaca surah Yassin jika benar-benar menghayati bagaimana peperangan itu berlaku; membayangkan mereka berperang dalam letih berpuasa kerana soal hidup atau matinya perjuangan menyebarkan syiar Islam masa itu.

Dengan izin Allah, di atas jihad mereka itu maka sampailah syiar Islam ke bumi Malaysia beberapa ratus tahun kemudiannya. Kalau ditakdirkan sebaliknya, siapa agaknya kita sekarang?

Banyak lagi sebenarnya perisitwa perang dalam bulan Ramadhan.

Perang Khandak atau ‘perang parit’ direkodkan sebagai berlaku pada tahun ke-5 Hijrah di mana persiapan peperangan berlaku pada bulan Ramadhan namun perang sebenar tercetus dalam bulan Syawal. Justeru, bayangkan bagaimana situasi ini dihayati dalam keadaan kita pada zaman ini berhari raya dengan juadah makanan minuman yang tak terhabis dan jemputan rumah terbuka tak putus-putus sehingga 30 hari lamanya sehingga ada yang terpaksa disambung seminggu dua lepas berakhirnya Syawal. Memanglah benar hari raya Aidil Fitri itu disyariatkan kepada umat Islam untuk kita bergembira menyambutnya tetapi kalau diselitkan dengan peristiwa perang Khandaq, mungkin anggota keselamatan kita yg bertugas di hari raya akan lebih bersemangat dan rasa dihargai manakala kita pula akan lebih insaf tentang pengorbanan yg dilakukan oleh pejuang di zaman Nabi SAW.

Satu lagi ialah Perang Tabuk yang juga dikenali sebagai perang tentera berjalan kaki dan perang tentera yang dalam kesusahan (kerana kepanasan dan tiada bekalan air). Peperangan ini dicatakan sebagai bermula sejak bulan Rejab lagi. Kalau kita bayangkan .. Rejab, Syaaban dan masuk Ramadhan, hampir tiga bulan semuanya. Seramai 30,000 tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW mempertahankan utara Madinah dari kemungkinan diserang Rom.

Itulah perang pertama antara umat Islam dan Kristian di Eropah yang pada masa itu dikenali sebagai Rom. Andaikan pada hari ini negara-negara Eropah yang kita biasa dengar seperti UK, Jerman, Spain, Portugal, Itali dan sebagainya (katakan termasuk Amerika juga) bergabung dan berperang dengan negara-negara Islam, salah satu angkatan mereka menyerang Malaysia. Bagaimana, adakah semangat kita terasa sekuat tentera Islam Perang Tabuk atau terasa lemah sendi memikirkannya?

Namun dalam Perang Tabuk itu, tentera Islam telah berjaya menyekat kekuasaan Kaisar Rom dan berakhir dengan kejayaan aspek ekonomi dan politik apabila negeri2 dan kawasan yang dijajah Rom sebelum itu telah berani untuk beralih ke bawah naungan kerajaan Islam.

Begitu juga pembukaan kota Makkah selepas Perjanjian Hudaibiyah dilanggar oleh kaum Arab Musyrikin. Nabi memimpin tentera Islam dari Madinah untuk mengambil semula Kota Makkah. Pada masa itu Khalid al-Walid telah pun memeluk Islam dan memimpin satu unit pasukan memasuki Makkah dan mengalami sedikit pertempuran ditentang sahabat karib lamanya Ikrimah Abu Jahal. Mampukah kita berdepan dengan sahabat karib seperti ujian yang dihadapi Khalid itu?

Pada hari ke sepuluh nanti bersamaan Rabu 10 Ogos jangan lupa untuk merenung seketika detik ini, kerana itulah tarikh peristiwa ini mula berlaku 10 Ramadhan 6 H. Dikatakan bahawa pada tarikh 10 Ramadhan itu, tentera Islam mula bergerak menuju ke Makkah dan pada 21 Ramadhan barulah Nabi SAW memasuki kota Makkah. Mungkin dari segi bahasa ia sedikit mengelirukan kerana dinyatakan sebagai ‘pembukaan kota Makkah’. Apa yang berlaku dalam perstiwa ini adalah ‘penawanan’ Kota Makkah secara aman dan kembalinya kuasa mentadbir Makkah kepada Islam setelah sekian lama dipertahankan oleh kafir Quraish.

Dan lama selepas zaman Nabi, bulan Ramadhan juga adalah bulan berlakunya peristiwa Laksamana Tariq bin Ziad memimpin angkatan laut Islam mendarat di Andalusia (Spain) lalu membakar semua kapal bagi membulatkan tekad askar-askar Islam agar tidak berbelah bahagi untuk menyerang kerana tidak ada jalan pulang lagi. Dengan izin Allah, serangan itu berjaya dan Islam bertapak di Spain selama 700 tahun. Lama tu ! dan .. pernahkah anda ber-imaginasi bagaimana sebuah armada angkatan laut @ ‘navy’ Islam ?  atau selama ini bila menyebut tentera Islam anda hanya terbayangkan debu pasir, kuda, pedang .. ?

Maka, di ambang Aidil Fitri nanti iaitu pada 28 Ramadhan, dalam kesibukan kita membuat kuih raya, memasang langsir baru, menjahit baju raya yang ditempah pelanggan dan menservis kereta balik kampung .. janganlah dilupakan tarikh bersejarah perisitwa pembukaan Andalusia yang telah berlaku sekitar 1300++ tahun yg lalu iaitu pada 28 Ramadhan tahun 92 Hijrah.

Justeru, mengapa pula disarankan agar kita jangan melupakan tarikh pembukaan Andalusia  itu ?

Kerana, itulah bermula saatnya bangsa Eropah menerima perpindahan ilmu moden ; maths, perubatan, arkitektur, ketenteraan, saliran, perbandaran, sosiologi, kejuruteraan, astronomi, farmasi, kimia, fizik dan lain-lain sebagainya secara langsung dari umat Islam melalui Andalusia hinggalah akhirnya Fernando dan Isabella pada Rabiul Awal 897H mengusir penguasaan Islam keluar dari Spain dan tiada lagi syiar Islam di sana hatta suara azan pun tidak lagi kedengaran dan masjid ditukar menjadi gereja.

Renung-renungkanlah. Ber-muhasabah-lah. Selain beramal ibadat dalam Ramadhan ini dan bergembira di Syawal nanti, jangan dilupakan peristiwa-peristiwa yang telah sekian lama berlaku tetapi kesannya terhadap kita masih ada hingga hari ini.

Empayar berusia ratusan tahun lagikan musnah kerana ‘kuasa’. Apalagi Malaysia yang baru sahaja berusia setengah abad itupun sudah celaru dengan perebutan kuasa (politik). Kemusnahan dan kematian tak menunggu usia, untuk manusia dan juga negara.
______________________________________________________________

Untuk mendalami lagi :

Lihat pautan mengenai peristiwa dalam bulan Ramadhan, Perang Tabuk, Perang Badar dan Andalusia.

Bacaan lain mengenai Andalusia :

Ahmad Zaki Ibrahim (2008). Sorotan Sejarah Kecemerlangan Tamadun Islam Di Andalusia (Sepanyol) Dan Kedudukan Sebagai Jambatan Kecemerlangan Tamadun Eropah, dlm Mohammad Azizan Bin Sabjan Set, Prosiding Seminar Antara Bangsa Andalusia 1300 Tahun, Menyingkap Rahsia Kegemilangan Tamadun Barat, Jabatan Mufti Pulau Pinang, Malaysia (Hlmn 88-107).

Advertisements

Tak Melayu Hilang Di Dunia

[ entri ini mengenai Laksamana Hang Tuah dan rakan karibnya Hang Jebat, adalah dedikasi khas sempena Hari Pahlawan, 31 Julai 2008 ]

siapa tidak kenal dengan ungkapan keramat yang dilafazkan oleh Laksamana melayu terbilang itu. saya ‘diperkenalkan’ dengan beliau pertama kali oleh ibu dan bapa saya semasa saya berusia 6 tahun (1979) iaitu ketika pertama kali di bawa melawat ke negeri Melaka. ketika itu kami tinggal seminggu di rumah nenda saudara saya yang merupakan Pengetua di Sekolah Henry Gurney pada masa itu.

ketika dibawa melawat makam Laksamana dan periginya, saya telah bertanya itu dan ini kepada kedua-dua orang tua saya. saya mula diperdengarkan dengan kisah kepahlawanannya serta tidak ketinggalan tragedi yang membuatkan beliau terpaksa membunuh sahabatnya sendiri. saya mula berfikir tentang siapa gerangannya Laksamana ini. mengapa sedemikian tindak tanduknya.

kembali dari negeri Melaka, saya juga berkesempatan dibawa oleh abah saya melawat Muzium Negara. ketika itu ada satu ruang yang mempamerkan tentang beliau. barang pameran itu adalah berupa ukiran logam yang mengisahkan perjalanan hidupnya. tapi kini rasanya, tidak dipamerkan lagi di muzium.

( lagi info mengenai beliau? )

kesan yang ditinggalkan dek kisah kepahlawanan Laksamana melayu ini, nyata telah menanam pengaruh yang amat besar dalam diri saya. dari sejak itu, saya bercita-cita ingin membaca Hikayat Hang Tuah (HHT). impian itu menjadi kenyataan apabila saya memasuki Tkt 6, walaupun saya agak kaget melihatkan ketebalannya. Namun pada masa yang sama saya juga membaca teks Sejarah Melayu (SM) dan ada kekeliruan kerana dalam HHT Jebat disebut sebagai penderhaka tetapi dalam SM pula Kasturi disebut sebagai penderhaka. Apa sekali pun, saya tak kan lupa yang saya pernah mengalirkan air mata sebak semasa membaca HHT dalam bab di mana Jebat menghembuskan nafar terakhir di pangkuan saudara tuanya itu lalu kemudian mayat diaibkan oleh pihak istana.

selain itu kesan pengaruh kepahlawanan Laksamana itu juga membuatkan saya berazam ingin menjadi seorang pahlawan, dalam erti kata lain ingin menyarung seragam tentera. namun impian itu hanya dapat saya lalui separuh jalan.

kerana pengaruh itu juga, saya menjadi seorang pencinta sejarah. subjek sejarah tidak pernah menjadikan saya bosan sejak mempelajarinya dari darjah 4 hinggalah ke Tikt 6 dan akhirnya mejadi major dalam pengajian saya di universiti dulu.

namun, yang saya mengerti ialah kisah kepahlawanan beliau antara sebab yang menjadikan saya mempunyai naluri tegas dan perasaan berteras patriotik, selain mewarisi sifat itu dari arwah nenda sebelah ibu yang pernah berjuang menuntut kemerdekaan.

dan untuk tulisan ini, saya ingin pautkan ke blog Jebat Must Die (JMD) yang gemar saya kunjungi bila berkesempatan. kisah-kisahnya neutral, sama bentuk pendirian dengan saya. cuma saya belum mahu menulis sesuatu yang berkaitan dengan senario tanah air kerana saya terlalu rasa berdukacita dengan semua yang sedang berlaku sekarang ini. dan agak saya penulis blog ini seseorang yang amat matang dalam analisis wacana politik.

saya ingin pautkan ke satu penulisan dalam blog beliau yang sangat menjadikan hati saya sebak dan tersentuh. bahasa dalam tulisan itu mudah dan jelas. jika anda mampu berimaginasi dengan baik saya yakin anda akan dapat ‘melihat’ Melaka dalam satu zaman yang tidak berbeza dengan rutin kita hari ini. bukan zaman klasik spt dalam bahasa melayu lama. anda akan dapat melihat sesuatu yang lebih realistik dan neutral dalam situasi-situasi yang dipaparkan. Perwatakan watak-wataknya sebagai manusia biasa dan bukan dari sudut fantasi.

Jika anda belum pernah membaca HHT, atau memang tidak pernah berminat ingin membacanya, memadailah dengan teks ini. Khas dari blog Jebat Must Die untuk anda, inilah secebis dari tulisannya:

At that juncture, Jebat grabbed Taming Sari and killed the Sultan’s youngest son, Raden Kelang (son of Raden Galuh) in one swift motion. His voiced had turned cold when he whispered menacingly to the Sultan;

“Engkau yang dilaknati, minta ampun pada Tuhan!” (You who are damned by God, ask for His forgiveness!) …. ikuti bacaan selanjutnya

lebih dari itu, saya berdoa semoga roh mereka semua dirahmati Allah. dan untuk kita berfikir, di mana haluan kita sekarang ini. Politik negara kita ini.. orang-orang yang sedang menjadi pemimpin .. orang-orang ingin dan sedang berebut menjadi pemimpin .. di pihak siapakah kita .. Jebat atau Tuah ?

Malaysia Ke Angkasa Lepas

Salam Aidil Fitri 1428 Hijrah. Mohon Maaf Zahir dan Batin buat semua pengunjung blog ini tak kira di mana berada, di kampung halaman atau seberang perantauan, semoga beroleh keredhaanNya di hari mulia ini.

Alhamdulillah. Syukur ya Allah, Dikau sempurnakan perjalanan Angkasawan Negara yang berangkat atas nama agama dan bangsa !

Di KLCC, 2000 orang hadir ke majlis siaran langsung bersama PM.  Perjalanan majlis sempurna sekali. Jamuan iftar cukup untuk semua orang dan mengenyangkan serta tempat bersolat jemaah yang selesa. Tahniah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Tapi kasihan orang-orang di Dataran Merdeka, skrin besarnya rosak. Sayang sekali detik yang sebegini bersejarah tak setimpal persiapan teknikalnya.

Antara yang menarik di KLCC ialah ada cenderahati berupa baju T hitam berlambang Angkasawan Negara, beg sandang (juga berlambang) , alatulis seperti pen, buku nota, kalendar dan lain-lain. Di sana juga ada pameran program angkasa lepas Malaysia.

Sambil itu saya menemui rakan sejawatan di MOSTI (seorang wanita) yang sedang bertugas dalam majlis tersebut. Katanya beliau akan berangkat ke Moscow pada 19 Oktober(Jumaat), menyertai persiapan MOSTI sebelum pendaratan kapsul Suyoz pada 21 Oktober kelak. Bertuahnya dia dan saya berasa kagum. Saya sempat mengusiknya “lepas tu boleh la kau escort Dr. Sheikh sekali balik ke Malaysia ye tak”

Ok. Itu malam semalam. Hari ini, iaitu sehari selepas Malaysia kini antara negara yang meneroka angkasa lepas, apa kisahnya ?

Saya bangun pagi hari ini (dari sahur) dengan perasaan yang berbeza. Saya berasa bahawa saya adalah rakyat di sebuah negara yang tidak boleh dipandang rendah..

Dulu kita membayangkan apa  angkasa lepas melalui cereka sains ; Star Wars atau Apollo 13. Namun kini, bila memikirkan angkasa lepas tentu sekali memori akan mengimbas kembali ingatan tentang roket yang membawa kapsul Suyoz yang dihiasi Jalur Gemilang dan di dalamnya duduk sama rendah (berdiri, dia lebih tinggi) Angkasawan kita Dr. Sheikh Muszaphar bersama Yuri Malanchenko, Rusia dan Peggy Whitson, Amerika Syarikat.

Malah, siapa sangka kuih bangkit (kuih raya tradisional) yang kita makan di kampung setahun sekali semasa raya itu, kini berada di angkasa lepas !

Itulah anjakan paradigma, yang naik ke angkasa seorang sahaja tetapi pengalaman dalam persiapan ke angkasa lepas nyata dirasai ramai ; saintis makanan (bekalan diet dan nutrien ‘khas’ ke angkasa), ahli agama (solat dan puasa di angkasa lepas), saintis Universiti (bahan bahan eksperimen di ISS), tentera (pemilihan dan latihan awal angkasawan) serta ramai lagi.

Ok lah cukup setakat ini. Di bawah sana ada beberapa gambar tentang suasana majlis di KLCC.  Saya akhiri entri ini dengan andaian, setujukah mungkin tak lama lagi angkasawan kita itu akan bergelar Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar ..

.

jamuan iftar

suasana dewan

temuramah dengan Capt. Robert Gibson, NASA

sut angkasawan SOKOL

cuba mengemudi simulasi stesen angkasa

paparan simulasi stesen angkasa

si cilik .. bakal angkasawan

model stesen angkasalepas antarabangsa (ISS)

model roket / kapusl Soyuz

jalur gemilang pada roket

soyuz berlepas 9.21 mlm

Angkasawan Negara dalam Soyuz

Angkasawan Negara

Esok tanggal 10 Okt 2007 adalah hari bersejarah buat seluruh bangsa Malaysia. Walaupun China dan Jepun adalah bangsa Asia sedikit terlebih dahulu melahirkan angkasawan, namun tidak ada kurangnya kita yang kini telah meletakkan nama sebaris dengan negara-negara lain yang meneroka angkasa lepas.

Semasa bersekolah di Darjah Tiga (1982) masih saya ingat akan satu petikan dalam buku teks yang mengisahkan tentang Neil Amstrong (lahir 1930) menjadi manusia pertama mendarat di bulan. Pada masa itu, sepertimana juga kata Amir Azmi, saya hanya sekadar berasa kagum. Untuk mencita-citakannya atau memikirkan bahawa satu hari kelak Malaysia akan melalui peristiwa yang sama, langsung tidak terfikir oleh akal budak saya.

Tapi hari ini. Bangsa Malaysia sebagaimana bangsa-bangsa lain (seperti juga orang Amerika semasa Amstrong mendarat di bulan dahulu) akan berasa sangat teruja bercampur bangga apabila mampu menyaksikan sendiri sejarah itu. Dan sebagai orang Islam, bukan teruja dan bangga sahaja tapi juga syukur dan insaf kerana berpeluang menyaksikan kebesaran Allah SWT yang berada di luar dari Bumi.

Bagi diri saya pula. Di ambang cuti raya yang dah bermula sehari dua ni, saya masih bertugas. Dan tugasan terbaru saya terima adalah mewakili jabatan ke majlis siaran langsung pelancaran angkasawan negara yang pertama ke International Space Station (ISS) bersama  YAB Perdana Menteri di KLCC. Walaupun hanya di KLCC dan bukan di Baikonur, Russia namun setidak-tidaknya saya dapat menghargai detik istimewa itu lebih dari hanya menonton di TV.

Memetik kata Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dalam blog angkasawan negara

”I am living in a dream. A dream and hope of all Malaysians. I am hoping to be the eyes and ears of all Malaysian souls in space. It’s time for all Malaysians to dream BIG and reach for the stars ! “

saya rasa sebesar manapun kejayaan pernah kita raih, pasti ada yang lagi besar untuk kita usahakan. Semoga pemergian dan kepulangannya dalam lindungan Allah SWT demi nama agama dan negara.

cosmonauts.jpg

.

added / edited 10 Oktober 2007 :

saya tambahkan info mengenai keberangkatan Dr. Sheikh, yang dipetik dari blog Angkasawan Negara, entri bertarikh 9 Nov 2007 iaitu entri terakhir sebelum beliau berangkat ke ISS. terasa begitu terharu, tersentuh dan membara pabila membaca ucapan beliau, saya kongsikan ia di sini ..

To all my beloved Malaysians,

Today will be my last night on earth before launching to space on the Soyuz capsule. I am very excited for this historic moment. I am very relaxed and calm even to this day. Why ?

For I know that this is what I have dreamt of since I was 10.
This is for all the Malaysian people thriving for success.
This is for all the scientists who has worked hard for the experiments.
This is for my beloved UKM , MRSM Muar and St. Paul.
This is for MOSTI and ANGKASA for making this programme a success.
This is for all the people who believed in themselves.
This is for those who want to make changes for the better of mankind.
This is for all the youth hoping to change their mindset.
This is for all the schoolchildren who will be leaders in the near future.
This is for all the Malaysian who have believed in the angkasawan programme.
This is for all the Muslims all over the world.
This is for all parents who raise their kids to become great achievers.

And most importantly this is for both my mom and dad who has made me what I am today , who believed in me right from the very beginning and whom have never given up hope in me. Never ever. Thank you Abah & Umi for your blessing and for allowing me to go to space. This is all for you Malaysia !Start dreaming big and believe in them. One day it will become a reality. It took me 25 years to fulfill my dream. And if I could do it, I truly believe you could too!

Thank you for all your support.
Love you Malaysia!

Wassalam
Dr Sheikh Muszaphar
Angkasawan Malaysia

Nostalgia Kemerdekaan Ke-50

fireworks - merdeka night - photo by Mike Ng

Akhirnya selesailah sambutan kemerdekaan ke-50 kita. Buat diri saya ada kelainan kali ini kerana tidak disambut di KL atau Putrajaya tetapi di Kelantan, sambil saya sekeluarga bercuti balik ke kampung sebelah isteri. Saya kongsi perasaan pada sambutan itu dengan catatan perjalanan bermula dari pagi 29 ogos ..

Pada pagi Rabu 29 ogos yang diselubungi hujan renyai dan kabus, kami bertolak keluar dari Putrajaya menuju ke MR2 dan seterusnya lebuhraya ke Bentong. Setelah meredah kesesakan jalanraya di pagi itu, saya memasuki stesen minyak Shell berhampiran susur keluar ke lebuhraya dekat UIA. Sebelum mula mengisi petrol, isteri saya memberitahu sesuatu lalu saya menoleh ke pam di sebelah. Kelihatan seorang lelaki tua sedang bersedia mengisi petrol. Dia ialah Datuk Aziz Sattar.

Saya berjumpa dan bersalam sambil bertanyakan khabar sedikit sebanyak. Beliau sedang menuju ke Rawang untuk pengambaran drama. “Ada shooting” katanya sambil tersenyum. Bertemu seorang tokoh seni, ditambah pula sedang dalam perjalanan sempena cuti kemerdekaan, saya disuntik rasa kagum terhadap perjuangan orang lama sepertinya. Semoga beliau terus sihat walafiat hendaknya.

Perjalanan diteruskan, kami memasuki lebuhraya dan tiada banyak kenderaan jika dibandingkan dengan musim raya. Perjalanan lancar, dengan kabus menghiasi pemandangan di sekitar bukit yang amat mendamaikan. Melepasi Genting Sempah, tiba-tiba sesuatu terlintas di fikiran lalu saya mencetuskan pertanyaan, “kat sini kah Nuri terhempas?” dan disahut isteri saya “tak lah, kat terowong tadi tu”. Terusik hati terbayangkan detik-detik akhir yang dilalui mereka sebelum diragut ajal dalam bertugas menjaga kemerdekaan ini.

Suasana pagi masih agak awal bila kami tiba di Bentong. Kami memilih untuk berhenti bersarapan di pusat perhentian Bentong. Saya ingin mempromosikan sebuah gerai tapi malang, saya lupa namanya ! Di pusat perhentian Bentong itu, ada satu gerai kalau tak silap saya yang keempat atau kelima dari kiri, roti canainya sungguh sedap, garing dan lembut. Kalau tak silap memang gerai itu sahaja yang menjual roti canai di situ. Tak rugi mencuba.

Perjalanan ke Kelantan diteruskan dan sambil memandu, saya dan isteri berbual-bual tentang berbagai2 perkara. Melepasi Kuala Lipis dan seterusnya Merapoh, ada satu lagi persinggahan yang biasanya tidak akan kami lepaskan. Betul-betul di sempadan Kelantan-Pahang, ada beberapa gerai yang menjual kuih ‘akok’ panas. Kami berhenti dan membeli kuih tradisional Kelantan itu untuk dibuat bekal dalam perjalanan seterusnya. Sekitar jam 4 petang kami tiba di kampung.

Malam itu tiada apa-apa program yang kami rancangkan. Letih perjalanan belum hilang lagi. Namun keletihan itu tidak menghalang kami seisi rumah bersorak menonton final Pestabola Merdeka antara Malaysia dengan Myanmar. Ada sentuhan patriotik di situ. Mungkinkah ini detiknya kebangkitan Malaysia dalam bolasepak ? Saya terfikir menulis sesuatu tentang itu tapi belum lagi buat masa ini.

Keesokannya adalah hari ke-30 bulan Ogos. Malamnya nanti ambang merdeka. Saya menghubungi rakan saya Saharudin, seorang kawan susah senang semasa sepejabat dulu, yang kini telah kembali bertugas di negeri asalnya. Kami berjanji untuk ‘ngeteh’ di sebelah malam nanti.

Jam 9.30 malam, pekan Tanah Merah menjadi lokasi perjumpaan. Wah bertemu ‘saing lamo’ memang banyak perkara yang dibualkan. Bermula dengan cerita tentang kawan-kawan lama, kemudiannya cakap-cakap bola ; perkembangan bolasepak tanahair dan hinggalah akhirnya perkembangan politik dan negara. Macam diskusi yang serius saja bunyinya. Hinggalah akhirnya detik 12 malam tiba dan perbualan kami terhenti seketika kerana melihat tayangan sambutan di Dataran Merdeka melalui layar besar di kedai tempat kami ngeteh.

Yang menariknya, setiap kali kami bercerita, di penghujungnya akan ada satu kesimpulan. Macam mesyuarat. Dan kesimpulan di penghujung diskusi kali ini ialah ‘bercakap mengenai politik ini adalah sesuatu yang memenatkan’ . Kami sendiri tertawa dengan kesimpulan yang kami setujui. Kami beransur pulang selewat 1.30 pagi.

Saya sekeluarga tiba semula di Putrajaya petang Ahad. Rancangan seterusnya ialah menyaksikan acara penutup pertunjukan bunga api di PICC. Namun lokasi untuk menyaksikan pertunjukan itu ialah dari tasik di kawasan rumah kami sahaja. Tak disangka-sangka, UncleJ menghubungi saya memberitahu dia sekeluarga juga ingin ke situ menyaksikan bunga api. Bertambah meriahlah kami dua keluarga berjumpa pada malamnya.

Bagi saya sekeluarga, ia satu penutup yang menarik untuk percutian sempena kemerdekaan. Kini saya memiliki nostalgia tersendiri bila-bila kala kelak mengenangkan sambutan kemerdekaan ke-50 ini.

Masih belum lewat untuk sekali lagi saya mengucapkan ‘salam kemerdekaan’. Dan menutup tirai kali ini, sedikit statistik untuk renungan …

111 tahun usia Kesultanan Melayu Melaka
446 tahun zaman penjajahan Portugis hingga Inggeris
50 tahun merdeka semenjak 1957
42 tahun usia Malaysia semenjak 1963

kita baru berumur 50 or 42 tahun. Melaka survived only for 111 years. Agak2 bgmana nasib kita dalam masa 61 tahun lagi bila Malaysia sebaya dengan zaman Melaka yang gemilang itu …

Tragedi Nuri : Semoga Mereka Pergi Dengan Aman

nuriTUDM

Kapten Nor Azlan, Kapten Nor Intan, Sgt. Khusnizam, Sgt. Azmie, Laskar(U) Kanan Saifulizam, Laskar(U) Muhd. Ridzuan. Genting Sempah, hilang 13 Julai 2007. Ditemui terkorban 16 Julai 2007 …

Allah SWT lebih menyayangi mereka. Betapa berat mata memandang berat lagi bahu waris mereka yang memikul kesedihan atas kehilangan orang yang tersayang. Sudah begitu resam hidup anggota keselamatan, sebelum menyarung seragam dahulu lagi telah menandatangani ‘borang mati’ yang menuntut kesediaan untuk mengorbankan nyawa bila-bila masa. Dan bila masanya telah sampai, pergilah mereka pulang kepada pencipta-Nya. Namun setiap kita pasti mati .. cuma bagaimana Izrail mengambil nyawa yang membezakan. Telah tersurat takdir mereka berenam terkorban dalam seragam pahlawan negara. Sebagaimana mereka-mereka yang terkorban dalam nahas Nuri, 2004. Juga tragedi pesawat MiG (2006) ; Kapten Rohaizan (abang kepada kenalan saya) serta peswat Hawk (2003) ; Kapten Ashraf dan Kapten Khairul Hazrin (rakan sekolah saya) sebelum ini.

Semoga roh mereka dicucuri rahmat, amin. Al Fatihah.

_________________________________________

Kritik : agak dangkal juga rupanya pemikiran wartawan Malaysia. masih ramai yang berminat hendak bertanyakan soalan yang membuat hati waris remuk redam. apa perlunya soalan seperti ‘adakah dia menunjukkan tingkah laku yang aneh atau pelik sebelum meninggal dunia?’

… apakah setiap yang mati itu pasti berperangai pelik sebelum tiba ajalnya ? kepercayaan yang mana satu ada dalam diri mereka sehingga menjadikan pertanyaan seperti itu satu kemestian ? sungguh tidak beradab …

Zaman Kegemilangan Bolasepak Negara

Al Fatihah.

Bersempena kembalinya Allahyarham Mokhtar Dahari ke rahmatullah pada tanggal 11 Julai 1991. Pergi yang tiada galang gantinya setakat ini. Dan arena bolasepak Malaysia masih meratap kehilangannya melalui prestasi yang tidak mampu dikembalikan ke tahap gemilang sebagaimana yang pernah dicapai semasa zaman hidupnya.

Ada tulisan nostalgia dan klip video You Tube tentang Allahyarham Mokhtar Dahari di sini dan sini.

atau anda boleh saja baca di bawah ini ; terima kasih syukran.wordpress.com di atas tribute yang dihasilkan untuk Allahyarham Mokhtar Dahari. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Semoga satu hari nanti kelak kita kembali bermaruah dalam arena bolasepak.

————————————————————-

Allahyarham Mokhtar Dahari yang masih dikenang sehingga ke hari ini walaupun hayatnya sudah bersemadi hampir 15 tahun lalu.

Biarpun ramai generasi muda masa kini tidak mengenali dengan dekat bintang negara itu, tapi hampir semua pasti pernah mendengar namanya – pemain dengan bakat semulajadi yang mengangkat imej Malaysia setaraf dengan jaguh bola sepak dunia. Paling ketara Pestabola Merdeka yang menjadi gelanggang dia mempamer taring dan kehebatannya.

Pada usia 23 tahun, Mokhtar atau lebih terkenal dengan jolokan SuperMokh diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah dia dinobatkan Olahragawan Kebangsaan 1976.

Kelebihan dimiliki ‘Supermokh’ banyak dengan sepakan deras bak peluru menjadi elemen penting hinggakan tiga jari mendiang R Arumungam, bekas penjaga gol negara pernah patah ketika cuba menampannya. Itu belum dikira bijaknya penyerang ternama negara itu membaca gerakan lawan dan meloloskan diri.

Dengan 167 kaps antarabangsa, dia berjaya meletakkan Malaysia di kedudukan tertinggi pentas bola sepak Asia seterusnya mampu membuka mata dunia hingga kuasa bola sepak dunia. Skuad England B bimbingan Bobby Robson turut merasa bahangnya selepas diikat skuad negara 1-1 hasil jaringan menakjubkan Mokhtar.

Walaupun kelibat pemain istimewa seperti Mokhtar yang tiada galang gantinya sehingga kini sudah lama meninggalkan kita, bayangan kehebatannya tidak pernah padam apatah lagi apabila mengingati susah payah anak kelahiran Setapak, Kuala Lumpur itu mencipta nama walaupun dia memang sudah memiliki kurniaan yang tiada pada orang lain.

Mokhtar sangat gigih ketika latihan, sejak di bangku sekolah lagi dia yang menuntut di Victoria Institution tidak pernah jemu berlatih sehingga namanya sudah sebati dengan di skuad kebangsaan pun dia masih sama apabila terus mengawal bola sambil menggelecek tiang-tiang kecil sebelum melepaskan tendangan kencang ke gawang yang kosong untuk menajamkan kuasa pemusnah yang ada pada dirinya.

Malah dia tidak suka diganggu ketika latihan apatah lagi mengaitkan kemasyhuran dirinya di padang dengan kehidupan peribadi hingga menjadikan dia idola paling diminati.

Apapun kehilangan permata paling berharga bola sepak negara itu tidak seharusnya ditangisi sampai bila-bila dan generasi sekarang sepatutnya cuba menjadikannya sebagai motivasi meningkatkan diri supaya bola sepak negara kembali segar seperti sebelumnya.

Berikut diperturunkan sedikit maklumat yang dapat dicari oleh pihak editor untuk golongan muda masa kini.

TARIKH LAHIR: 13 November 1953, di Setapak

ISTERI: Tengku Zarina Tengku Ibrahim

BAPA: Dahari Abeng

EMAK: Maimon Sadikin

ANAK: Mohamad Redza, Nur Azera dan Nur Arina

KELAB: Kelab Sultan Sulaiman, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Talasco, Kwong Yik Bank

MULA WAKILI SELANGOR: Piala Burnley 1971

PIALA MALAYSIA: Wakili Selangor 1972

MULA WAKILI NEGARA: Pestabola Merdeka 1972

TERAKHIR WAKILI NEGARA: Pra-Piala Dunia menentang Korea Selatan di Seoul 1985

KAPS: 167

GOL PIALA MALAYSIA: 177

GOL ANTARABANGSA: 125

JARINGAN TERBAIK: Gol penyamaan menentang England B pada 1978

PENCAPAIAN: Membantu Selangor memenangi Piala Malaysia 10 kali. Menang pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Teheran

ANUGERAH: Olahragawan Kebangsaan 1976

FAKTA: KRONOLOGI MOKHTAR

1971: Mewakili Selangor dalam Pertandingan Piala Burnley (sekarang Piala Razak), di Kuching, Sarawak. Perlawanan pertama menentang Kedah dan menjaringkan gol pertamanya pada perlawanan itu.

1972: Kali pertama turun mewakili pasukan utama Selangor menentang Kelab Hitachi dari Jepun dan perlawanan akhir pertama Piala Malaysia ialah ketika Selangor menewaskan Perak 3-0 dengan Mokhtar menjaringkan satu gol. Mula mewakili Malaysia di Kejohanan Belia Asia, di Bangkok.

– Kali pertama terpilih mewakili pasukan utama Malaysia ke Kejohanan Piala Jakartaraya. Perlawanan pertama menentang Sri Lanka.

1973: Mewakili Malaysia ke pra Piala Dunia di Seoul. Kali pertama beraksi di Pestabola Merdeka menentang Kuwait pada perlawanan akhir. Malaysia menang 3-1 dan Mokhtar jaringkan dua gol.

1974: Mencipta gol terbanyak dalam satu perlawanan antarabangsa apabila menjaringkan lima gol ketika menentang Filipina di Sukan Asia Teheran.

1975: Mewakili negara menentang Arsenal. Malaysia menang 2-0. Mokhtar menjaringkan kedua-dua gol itu.

1976: Mendapat kaps Malaysia ke-100 ketika menentang Jepun di Pestabola Merdeka.

1977: Mendapat Anugerah Olahragawan Kebangsaan 1976.

1980: Kembali beraksi di Pestabola Merdeka dan membawa negara muncul naib juara selepas tewas kepada Maghribi di final. Membawa negara meraih pingat emas Sukan Sea pertama apabila menewaskan Thailand 2-0 pada perlawanan akhir. Mokhtar menjaringkan 1 gol.

1978: Menjaringkan gol penyamaan ketika menentang England `B’. Perlawanan berkesudahan seri 1-1.

1979: Kali pertama dipilih menjadi ketua pasukan Piala Malaysia Selangor (menentang Tentera) apabila Soh Chin Aun enggan meneruskan tugas itu. Mengakhiri zaman bujang selepas berkahwin dengan Tengku Zarina Tengku Ibrahim. Mempertahankan pingat emas Sukan Sea dengan mengalahkan Indonesia 1-0 menerusi jaringan gol tunggal. – Mengumumkan persaraan arena bola sepak antarabangsa.

1981: Menerima kad merah pertama dan terakhir dalam kariernya ketika menentang Singapura (Piala Malaysia). Pengadil `bersejarah’ itu ialah Othman Omar. Mewakili negara ke pra Piala Dunia di Kuwait. Malaysia dikecam kerana gagal. Mokhtar mengumumkan persaraannya bagi kali kedua.

1982: Mengetuai Pilihan Selangor menentang Boca Juniors yang diketuai Diego Maradona.

1985: Kembali menyarung jersi negara ke pertandingan pra Piala Dunia di Seoul menentang Korea Selatan. Malaysia tewas 0-2 dan Mokhtar mengumumkan persaraannya bagi kali ketiga dan terakhir.

1986: Memimpin Selangor menjadi juara Piala Malaysia dan muncul sebagai `Pemain Terbaik Perlawanan Akhir’. Mengumumkan persaraan peringkat negeri dan menghadiahkan jersi `keramat’ nombor 10 kepada Raja Muda Selangor.

1987: Menarik balik persaraannya untuk mewakili Selangor semusim lagi.

1988: Menyertai Kwong Yik Bank dan membawa kelab itu menjadi juara Liga Selangor. Khabar angin bertiup Mokhtar mengidap penyakit ganjil.

1989: Disahkan mengidap penyakit Mascular Dystrophy. – berlepas ke London untuk mendapat rawatan lanjut. Pulang ke tanah air tanpa sebarang perubahan.

1990: Keadaan Mokhtar semakin buruk.

1991: Meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang pada Khamis, 11 Julai jam 8.25 pagi.