Posts Tagged ‘ Buckingham ’

Catatan Perjalanan Europe (11) : Rejimen Askar Melayu DiRaja Mengawal Istana Buckingham

( Nota : link ke video perbarisan RAMD )

Sebelum saya meneruskan catatan perjalanan ini dengan aktiviti-aktiviti yang diuruskan di UK, saya ingin berkongsi dulu tentang beberapa pengalaman menarik yang sempat dirasai sekitar waktu lapang yang dicuri-curi dari kesempatan yang ada.

Semasa saya tiba di London, Hairol memberitahu saya bahawa Askar Melayu sedang berada di London. Katanya, mereka diberi penghormatan dijemput oleh Queen untuk bertugas dalam kawalan keselamatan di Istana Buckingham. Pada awalnya memanglah bunyinya agak pelik kerana saya merasakan mengapa pula perlu askar Malaysia mengawal istana Britain? Namun selepas mendengar penjelasan panjang lebar saya memahami bahawa konsepnya adalah sama sepertimana tentera kita diberi kepercayaan dan penghormatan dalam menjalankan tugasan antarabangsa sebelum ini.

Batalion Pertama (batalion istiadat) Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) yang berpangakalan di Sungai Besi adalah unit yang bertanggungjawab dalam hal-hal istiadat. Di Istana Negara, Jalan Mahameru, merekalah juga yang bertanggungjawab mengawal pintu istana. Jika anda biasa melihat pengawal berseragam merah dan berkuda terpaku segak berkawal di situ, itulah mereka. Mereka juga bertanggungjawab dalam perbarisan semasa hari kemerdekaan serta semasa menerima tabik hormat dan pemeriksaan jika ada lawatan ketua negara dari luar. kini mereka dijemput pula untuk satu acara yang menaikkan nama Malaysia di mata orang-orang London.

Khabar oleh Hairol, askar kita akan berkawal bergilir-gilir mengikut hari dengan tentera British. Dan apabila tiba hari-hari upacara pertukaran pengawal atau Change of Guards, kota London khasnya berhadapan Istana Buckingham pasti akan sesak dan beberapa jalan akan ditutup kerana dipenuhi orang ramai yang melihat perarakan. Mendengarnya kisah-kisah Hairol, berdebar-debar rasa di hati saya kerana ingin sangat memastikan peluang seperti ini tidak terlepas. Ya, mungkin London boleh dikunjungi semula di lain kali namun upacara bersejarah seperti ini mungkin tidak akan berulang!

Akhirnya kesempatan itu tiba pada 10 Mei apabila Hairol memberitahu bahawa pada hari tersebut upacara Change of Guard akan dijalankan. Maka saya dan beberapa ahli delegasi segera menyusun perancangan untuk berkunjung ke Istana Buckingham. Cubaan kami untuk sampai seawal 9 pagi gagal kerana rupa-rupanya orang London terlebih dahulu telah memenuhi kawasan2 sekitar istana sejak jam 7.30 pagi ! Begitu sekali sambutan yang saya sendiri tidak menduganya.

Sukar sekali mencari ruang untuk berjalan. Dalam gambar di atas, nampak sahaja macam kosong kerana orang ramai berkerumun dekat dengan pintu istana. Kawasan lapang itu dihalang untuk laluan kerana ia sebahagian dari laluan perarakan.

Upacara bermula dengan perarakan berkuda oleh tentera Britain memasuki perkarangan istana dan diikuti dengan persembahan pancaragam oleh kedua-dua negara secara bergilir-gilir. Kemudiannya barulah dilakukan upacara kawad pertukaran pengawal.

Mendengarkan persembahan oleh RAMD dengan lagu-lagu seperti Getaran Jiwa .. timbul rasa terpegun dan bangga di dada. Tambahan pula tiap kali mereka mengakhiri lagu yang dipersembahkan tepukan dan sorak dari orang-orang London begitu gemuruh sekali. Saya sempat bertemu beberapa orang anggota RAMD yang tidak terlibat dalam perbarisan. Mereka berada selama dua bulan di London melaksanakan tugasan ini. Semasa saya bertemu mereka itu, ada tempoh selama sebulan setengah lagi sebelum mereka pulang ke tanahair.

Mereka yang tidak berbaris pun agak sibuk juga kerana sentiasa menjadi sasaran orang-orang London yang ingin mendampingi dan bergambar bersama. Sebenarnya selain kami, pada masa itu juga ada krew TV3 yang saya lihat menemuramah beberapa orang London serta seorang dua ahli delegasi kami. Khabarnya untuk Majalah Tiga tapi tak tahulah bila akan disiarkan.

Buat anak-anak Malaysia sekalian, sama ada anda turut berasa bangga atau tidak .. mungkin itu kurang penting buat saya. Namun di kala negara kita sekarang ini diwarnai dengan contengan-contengan senario politik yang tidak patriotik (bagi saya) lagi merimaskan .. apa lagi akhlak ahli parlimen yang jelas tidak bertamadun (tidak kira di pihak manapun) .. berdoalah kita agar Malaysia akan terus terpelihara walaupun nyawa kita jadi taruhan. Amin.

( Nota : link ke video perbarisan RAMD )

________________________________________________________________

Tambahan pada 2 Sep 08 : Laporan penuh oleh Utusan Malaysia mengenai tugasan 1 RAMD di London

Advertisements