Posts Tagged ‘ france ’

Catatan Perjalanan Europe (11) : Rejimen Askar Melayu DiRaja Mengawal Istana Buckingham

( Nota : link ke video perbarisan RAMD )

Sebelum saya meneruskan catatan perjalanan ini dengan aktiviti-aktiviti yang diuruskan di UK, saya ingin berkongsi dulu tentang beberapa pengalaman menarik yang sempat dirasai sekitar waktu lapang yang dicuri-curi dari kesempatan yang ada.

Semasa saya tiba di London, Hairol memberitahu saya bahawa Askar Melayu sedang berada di London. Katanya, mereka diberi penghormatan dijemput oleh Queen untuk bertugas dalam kawalan keselamatan di Istana Buckingham. Pada awalnya memanglah bunyinya agak pelik kerana saya merasakan mengapa pula perlu askar Malaysia mengawal istana Britain? Namun selepas mendengar penjelasan panjang lebar saya memahami bahawa konsepnya adalah sama sepertimana tentera kita diberi kepercayaan dan penghormatan dalam menjalankan tugasan antarabangsa sebelum ini.

Batalion Pertama (batalion istiadat) Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) yang berpangakalan di Sungai Besi adalah unit yang bertanggungjawab dalam hal-hal istiadat. Di Istana Negara, Jalan Mahameru, merekalah juga yang bertanggungjawab mengawal pintu istana. Jika anda biasa melihat pengawal berseragam merah dan berkuda terpaku segak berkawal di situ, itulah mereka. Mereka juga bertanggungjawab dalam perbarisan semasa hari kemerdekaan serta semasa menerima tabik hormat dan pemeriksaan jika ada lawatan ketua negara dari luar. kini mereka dijemput pula untuk satu acara yang menaikkan nama Malaysia di mata orang-orang London.

Khabar oleh Hairol, askar kita akan berkawal bergilir-gilir mengikut hari dengan tentera British. Dan apabila tiba hari-hari upacara pertukaran pengawal atau Change of Guards, kota London khasnya berhadapan Istana Buckingham pasti akan sesak dan beberapa jalan akan ditutup kerana dipenuhi orang ramai yang melihat perarakan. Mendengarnya kisah-kisah Hairol, berdebar-debar rasa di hati saya kerana ingin sangat memastikan peluang seperti ini tidak terlepas. Ya, mungkin London boleh dikunjungi semula di lain kali namun upacara bersejarah seperti ini mungkin tidak akan berulang!

Akhirnya kesempatan itu tiba pada 10 Mei apabila Hairol memberitahu bahawa pada hari tersebut upacara Change of Guard akan dijalankan. Maka saya dan beberapa ahli delegasi segera menyusun perancangan untuk berkunjung ke Istana Buckingham. Cubaan kami untuk sampai seawal 9 pagi gagal kerana rupa-rupanya orang London terlebih dahulu telah memenuhi kawasan2 sekitar istana sejak jam 7.30 pagi ! Begitu sekali sambutan yang saya sendiri tidak menduganya.

Sukar sekali mencari ruang untuk berjalan. Dalam gambar di atas, nampak sahaja macam kosong kerana orang ramai berkerumun dekat dengan pintu istana. Kawasan lapang itu dihalang untuk laluan kerana ia sebahagian dari laluan perarakan.

Upacara bermula dengan perarakan berkuda oleh tentera Britain memasuki perkarangan istana dan diikuti dengan persembahan pancaragam oleh kedua-dua negara secara bergilir-gilir. Kemudiannya barulah dilakukan upacara kawad pertukaran pengawal.

Mendengarkan persembahan oleh RAMD dengan lagu-lagu seperti Getaran Jiwa .. timbul rasa terpegun dan bangga di dada. Tambahan pula tiap kali mereka mengakhiri lagu yang dipersembahkan tepukan dan sorak dari orang-orang London begitu gemuruh sekali. Saya sempat bertemu beberapa orang anggota RAMD yang tidak terlibat dalam perbarisan. Mereka berada selama dua bulan di London melaksanakan tugasan ini. Semasa saya bertemu mereka itu, ada tempoh selama sebulan setengah lagi sebelum mereka pulang ke tanahair.

Mereka yang tidak berbaris pun agak sibuk juga kerana sentiasa menjadi sasaran orang-orang London yang ingin mendampingi dan bergambar bersama. Sebenarnya selain kami, pada masa itu juga ada krew TV3 yang saya lihat menemuramah beberapa orang London serta seorang dua ahli delegasi kami. Khabarnya untuk Majalah Tiga tapi tak tahulah bila akan disiarkan.

Buat anak-anak Malaysia sekalian, sama ada anda turut berasa bangga atau tidak .. mungkin itu kurang penting buat saya. Namun di kala negara kita sekarang ini diwarnai dengan contengan-contengan senario politik yang tidak patriotik (bagi saya) lagi merimaskan .. apa lagi akhlak ahli parlimen yang jelas tidak bertamadun (tidak kira di pihak manapun) .. berdoalah kita agar Malaysia akan terus terpelihara walaupun nyawa kita jadi taruhan. Amin.

( Nota : link ke video perbarisan RAMD )

________________________________________________________________

Tambahan pada 2 Sep 08 : Laporan penuh oleh Utusan Malaysia mengenai tugasan 1 RAMD di London

Advertisements

Catatan Perjalanan Europe (10) : Pulang Ke London

Wah .. wah. Tajuk kali ni boleh tahan juga. Macam balik kampung. Perassann ..

Jadi, selepas menyelesaikan kerja-kerja di Switzerland dan Perancis kami kembali ke London pada 7 Mei kerana terdapat empat lagi institusi yang akan kami kunjungi di UK. Dari Perancis menuju ke London kami sekali lagi memutuskan tidak menaiki flight, sebaliknya mengambil tren ‘Euro Star’. Bagi saya, kalau ada kesempatan eloklah mencuba perjalanan dengan tren ini di Europe. Bukanlah kerana apa cuma untuk merasai pengalamannya. Dan setelah menaikinya, bagi saya sebenarnya tidaklah berbeza pun dengan keretapi laju di tempat kita seperti ERL.

Pengalaman menaiki tren dari Paris mengingatkan saya kepada filem Mr. Bean Holiday. Memang di stesen yang sama jugalah pengambaran filem itu dilakukan. Lebih menjadikan kenangan ini bermakna .. kebetulannya kami sendiri terpaksa melalui pengalaman yang serupa dengan Mr. Bean iaitu berlari mengejar tren. Segalanya disebabkan Q panjang semasa pemeriksaan imigresen, yang menyebabkan kami terpaksa menunggu lama. Kali ini pemeriksaan imigresen yang dilalui boleh tahan panjang soalannya (bagaikan menjawab soalan PTK). Kala selesai pemeriksaan, masa sudah hampir benar untuk tren bertolak meninggalkan stesen. Apa lagi, acara pecut le! Bila dah masuk dalam kabin, betul betul punya terasa penat satu badan beb …

Tren yg kami naiki bertolak meninggalkan Paris jam 6.45 pagi dan mengambil masa perjalanan kira-kira dua jam. Sepanjang masa dalam tren hanya satu yang saya lakukan iaitu melihat sepuas-puasnya pemandangan dalam perjalanan antara Perancis dan England.

Dan inilah antara yang sempat ditangkap melalui lensa …

Namun Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan kami tiba di stesen St. Pancras, London pada jam 8.00 pagi waktu tempatan iaitu sejam lebih lewat dari waktu Perancis. Selepas sampai di stesen dan turun dari tren saya terkejut apabila seorang negro yang bertugas memandu troli bagasi menyapa “hello mate, how do you do?”. Terkejut kerana sejak beberapa hari di Switz dan France, sukar sekali berbual dalam Bahasa Inggeris dengan orang tempatan. Fikr saya ketika itu, wah boleh tahan si orang negro ni .. boleh berbahasa Inggeris dan dalam pelat British pula. Hanya selepas beberapa saat saya seakan tersedar kini dah berada di London dan tentulah org negro itu boleh bertutur sedemikian, ini kan negara dia. Tersenyum menahan rasa ingin ketawa dalam hati, saya membalas sapaannya “owh, i am doing just fine, thanks and you have a nice day, ha”.

 

Kami kembali dijemput oleh Hafiz dan Hairol dan dari stesen St. Pancras terus kembali ke hotel Cumberland dan sekali lagi disambut Taufiq si bell boy yang kelihatannya masih ingat kepada kami. Kami hanya berehat seketika melepaskan lelah kerana tugasan pada hari itu perlu dilaksanakan serta merta iaitu bertemu dengan wakil dari Oxford University.

Catatan Perjalanan Europe (9) : An Evening In Paris

Bukan niat nak ber-hindustani. Tapi tajuk entri ini amat tepat sekali dengan kehadiran saya di Paris. Perjalanan indah selama enam jam dari Switzerland itu berakhir dengan hentian di Paris kira-kira jam 2.00 petang.

Petit Louie, pemandu coach kami terus menurunkan kami di Kedutaan Besar Malaysia. Mengikut jadualnya beliau akan kembali ke Switzerland. Bersama Petit selama 2 hari itu sememangnya amat menyeronokkan kerana seperti yang saya tuliskan sebelum ini, dia ini gemar menyakat orang. Semasa di Swiss, pernah dia melayan kami bercakap Melayu. Ketika itu dia bertanya (dengan Bahasa Inggeris bercampur Perancis) ‘So .. where monsieur go ?’ (nak gi mana lagi lepas ni). Kawan kami yang duduk di seat depan menjawab selamba dalam Bahasa Melayu ‘balik hotel la Petit’. Terus dia menyahut dengan pelat Perancis-nya ‘ok monsieur, balik hotel!’ dan terus memandu menuju hotel tanpa bertanya apa-apa lagi.

berbalik tentang mesyuarat kami dengan INSEAD itu, ia diadakan di kedutaan kerana lokasi kampus INSEAD di Fountanebleau masih jauh dari Paris, justeru wakilnya iaitu Dr. Agata turun ke Paris menantikan kami di sana. Bertemu dengan beliau, sesuatu yang amat menarik sekali. Berketurunan Poland di sebelah ibunya dan berkahwin dengan orang Perancis. Malaysia tidak asing baginya kerana telah agak ramai perwakilan Malaysia mengikuti latihan di bawah bimbingannya di INSEAD. Sekaligus pertemuan itu berhasil menarik minatnya untuk datang ke Malaysia untuk bekerjasama dalam program-program kami.

Mesyuarat berakhir kira-kira jam 5.30 petang dan diiringi lambaian dan salam oleh kawan-kawan di kedutaan. Sebelum itu saya sempat menumpang solat Asar di bilik En Yusri, atache JPA di kedutaan. Bertolak meninggalkan kedutaan, perjalanan seterusnya ialah meronda sekitar Paris di petang yang indah itu.

Lokasi yang ditujui ialah boulevard sepanjang 2 km yang diberi nama The Avenue des Champs-Élysées. Kawasan ini adalah rentetan pusat beli belah yang terkenal dengan nilai hartanah yang sangat tinggi. Semenjak tahun-tahun klasik hinggalah revolusi, laluan ini sudah biasa digunakan untuk perarakan seperti kemenangan perang dsb. Laluan itu yang dulunya dipenuhi kereta kuda kini adalah jalanraya yang sesak dengan kenderaan.

Kami memilih untuk ke sebuah kompleks yang tertulis no 66 dengan besar. Mula-mula ke kedai makan dululah apa lagi. Tapi macam biasalah, demi hendakkan nasi juga maka kedai yang dikunjungi ialah kedai hindustan yang tertulis halal.

Selepas selesai mententeramkan perut, seterusnya kami menuju ke Arch de Tromp yang menyimpan sejarah kepahlawanan tentera Perancis semenjak zaman klasik hinggalah Perang Dunia. Namun pada masa itu satu perbarisan oleh pihak tentera sedang diadakan jadi trafik agak sesak dan kami tak dapat rapat sangat ke tempat tersebut. Mungkin itu adalah upacara biasa sahaja kerana tidak kelihatan sebarang kawalan polis.

Gambar yang bawah ni saya amik kat wikpedia, pemandangan Avenue des Champs-Élysées yang dilihat dari atas Arch de Tromp. Teringat saya kat boulevard Putrajaya yang menghubungkan PICC dengan bulatan Masjid Putra dan kompleks Perdana Putra.

(Just this one .. by wikipedia)

Pemandangan di sekitar kota Paris di waktu petang, memang menarik. Tidak ada bangunan pencakar langit pun sebenarnya tetapi bangunan-bangunan lama yang besar bercirikan zaman klasik dengan ciri-ciri rekabentuk Perancis. Samalah keadaannya di London.

Kami kemudiannya ke mercu tanda terkenal Paris iaitu Eiffel Tower. Saya menghabiskan petang itu hinggalah ke waktu maghrib melihat perubahan suasana siang ke malam di Eiffel Tower. Bukanlah apa-apa pun cuma nak menunggu lampunya dipasangkan. Itu pun lama juga menunggu, dah naik bas baru  nampak clear. Itu lah sebabnya, gambar-gambar di bawah ini dari sudut berbeza.

 

Oleh kerana kunjungan yang singkat ke Perancis, angan-angan saya untuk melihat beberapa tempat lain seperti kubu Napolean, Notre Dame dan Osray Museum tidak tercapai. Namun tak mengapalah, ini pun sudah dikira peluang yang amat saya hargai. Kami mengakhiri agenda petang itu dengan balik ke hotel, merehatkan diri yang sudah terlalu penat sebelum esoknya kembali ke London, meneruskan kembali tugasan di sana.

Catatan Perjalanan Europe (8) : Jalan Kampung Dari Switzerland ke Perancis

Dari Geneva kami bertolak menuju ke Paris dengan menaiki coach. Mengapa perjalanan darat dan bukan menaiki penerbangan?

Pertamanya, masa penerbangan yang available pada masa itu agak lewat. Keduanya, ditambah lagi masa menunggu di airport sebelum berlepas serta urusan imigresen selepas ketibaan nanti .. jadi dijangka akan sampai di Paris lewat tengahari. Sedangkan perjalanan darat mungkin boleh menjimatkan masa. Jadi keputusan yang dibuat ialah meneruskan perjalanan melalui jalanraya yang menghubung Switzerland dan Perancis. Bon Voyage !

Hikmahnya ? Ya saya sangat bersyukur. Dengan perjalanan darat ini dapatlah kami menghayati perjalanan selama enam jam dengan melihat pemandangan sekeliling sepanjang Switzerland ke Perancis. Seperti yang saya tuliskan sebelum ini, nyata memang indah negara orang tapi di mana-mana pun di bumi ini segalanya masih milik Allah SWT.

Dengan itu, untuk bahagian ini biarlah gambar sahaja yang menceritakan tentang pengalaman yang saya rasai. Namun hakikatnya, dalam menceritakan perasaan yang ingin dikongsi .. baik lensa kamera atau pun tulisan ini, tidak akan setanding jua akan kehebatan mata anugerah Allah yang mampu menjangkau penglihatan 3D seluas 360 darjah dan merakamkan penglihatan saya itu dalam kenangan manis. Subhanallah..

Merentasi pergunungan ..

Menyusuri perkampungan ..

Melalui lebuhraya serta .. menyedut udara sejuk dan menghirup kopi panas

teruskan perjalanan ..

hamparan ‘rape fruit’ .. seluas mata memandang ..

menghampiri pinggir bandar ..

Tiba di Perancis ..

Ya. Memang indah. Namun tatkala melalui perjalanan 6 jam itu sekali sekala fikiran saya diimbau imbasan pemandangan pokok getah dan kelapa sawit di negara sendiri …