Posts Tagged ‘ Makkah ’

emosi di kala berangkat sebagai tetamu Allah (buat mak dan abah)

bukan aku tak pernah menghantar keberangkatan bakal haji di kelana jaya. bukan aku tak pernah melihat sendiri di depan mata ku, esak tangis waris yang melambai-lambai orang tua mereka di pintu berlepas di kompleks tabung haji itu.

tapi baru kini aku mengerti apa perasaan sebenarnya …

itu mungkin kerana kami adik beradik ipar duai telah berusaha sejak setahun yang lalu berikhtiar mengumpul tabungan dan membuat persiapan. mungkin kerana kami melihat sendiri pengharapan dan pengorbanan orang tua kami dan apa yang dilalui dalam setiap proses dari memohon, merayu, menerima kelulusan, mencukup jumlah simpanan Tabung Haji, mendapatkan suntikan vaksin, menghantar mereka ke kursus haji dan hinggalah akhirnya menyediakan persiapan akhir.

mungkin kerana kami sedikit sebanyak merasai antara bahagian-bahagian itu, maka menjadikan kami lebih mengerti perasaan tatkala melepaskan mereka di pintu pemeriksaan masuk di kompleks TH Kelana Jaya.

apa pun, perasaan itu memang sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata. kalau diikutkan tiada apalah yang sepatutnya disedihkan, kerana mereka menunaikan suruhan Allah dalam melengkapkan kepatuhan kita melalui rukun Islam yang lima. namun emosi itu menjadi berbeza apabila kita menyedari bahawa perjalanan urusan haji ini bukanlah perjalanan biasa. hanya Allah yang Maha Mengetahui dugaan di sana, dan Dia juga yang menentukan takdir Nya atas doa dan pengharapan agar sekalian yang pergi ke sana itu kembali dengan selamatnya ke kampung halaman.

lagi pula, kami sangat menyedari bahawa segala persiapan untuk mak dan abah itu, apa lah sangat nilainya berbanding apa yang kami dapat dari mereka sejak dari tapak kaki sebesar dua ibu jari.

namun yang pentingnya aku sedar kini bahawa ada bezanya antara membantu persiapan orang tua kita menyahut seruan sebagai tetamu Allah ke tanah suci berbanding dengan hanya sekadar menghantar ke kelana jaya ..

dan ketika bersendirian tak lama selepas mereka hilang dari pandangan aku terimbau satu demi satu episod hidup bilamana mak dan abah menghantar aku di stesen bas balik ke asrama dan menghantar aku berlepas di lapangan terbang satu masa dulu ketika meninggalkan kampung halaman untuk mencari erti sebuah kehidupan ..

bagaimana agaknya perasaan mereka di kala itu ?

mungkinkah sama dengan perasaan aku di kala ini. penuh pengharapan – mendoakan yang terbaik – memohonkan agar kembali dengan selamat. tapi aku percaya apa yang mereka rasai terhadap anaknya ini jauh tak terbanding. apalah sangat perasaan ku. tidak akan sama nilainya dengan apa yang mereka telah korbankan.

pada menulis entri ini, mereka telah selamat tiba di Madinah dua hari yang sudah. itulah yang menghadirkan sedikit ketenangan dalam diri aku dan membolehkan aku menulis kembali di sini.

perjalanan sebenar mereka kini bermula. semoga Allah permudahkan urusan mereka di sana. Ya Allah, terima lah mereka sebagai tetamu Mu yang dikasihi, ampuni segala dosa mereka dan berikanlah kelapangan dada, kesihatan dan kekuatan azam untuk mengerjakan perintah Mu, agar dengan itu mereka dapat melaksanakan yang terbai dan beroleh ganjaran haji mabrur dari Mu jua.

untuk aku, ini adalah pengalaman yang baru. kini barulah aku memahami sebenarnya emosi perjalanan ke Tanah Suci; sekurang-kurangnya memahami sedikit sebanyak sebagai orang yang mendoakan dan mengiringi keberangkatan mereka.

Advertisements

10 Ramadhan : Pembukaan Kota Makkah

Hari ini masuk hari kesepuluh kita menjalankan kewajipan menunaikan fardhu puasa di bulan Ramadhan. 1423 tahun yang lalu iaitu pada tahun 6 Hijrah, pada hari inilah berlakunya peristiwa pembukaan Kota Makkah oleh Nabi Muhammad SAW. Apa sebenarnya persitiwa pembukaan Kota Makkah ini?

Disebabkan perkataan ‘pembukaan kota’ itu, maksud yang lebih jelas terhadap persitiwa ini agak sukar kita gambarkan. Mengapa tidak digunakan perkataan ‘penaklukan’ sahaja ? Kerana terjemahan terus dari bahasa Arab (saya tidak pasti perkataan asalnya) tidak membawa maksud penaklukan, sebaliknya pembukaan. Begitulah agama Islam meletakkan sesuatu perisitiwa (peperangan) itu pun secara berhemah. Lagipun maklum sahajalah Makkah adalah tempat asal Nabi SAW maka tidaklah sesuai jika dikatakan baginda ‘menakluk’ tempat kelahirannya.

Namun pada hakikatnya pembukaan kota Makkah adalah salah satu dari siri peperangan yang penting dalam Islam, untuk dihayati dan dihargai setiap dari kalangan kita. Bagi menghayatinya, cara yang terbaik adalah dengan mengingatinya pada tarikh ia berlaku malah bukan sekadar mengingati tetapi turut mengetahui (cari bahan) bagaimana perisitwa itu berlaku.

Bagi tulisan ini, sedikit sebanyak ingin saya renungi (khasnya utk diri saya sendiri) akan betapa getirnya perjalanan perisitiwa itu ..

Pergerakan tentera Islam pimpinan Nabi SAW dari Madinah ke Makkah secara berjalan kaki serta dengan haiwan tunggangan tentunya berlaku di bawah panas terik matahari Ramadhan. Kebiasaannya suhu panas di sana boleh mencecah hingga 50 celcius.  Sedangkan di Malaysia ini pun suhunya boleh membuatkan kita pengsan kalau berjalan kaki terlalu lama apalagi dengan keadaan masa itu.

Zaman sekarang, perjalanan Madinah ke Makkah mengambil masa kira-kira 5 jam dengan kereta. Kalau begitu halnya, berapa lamakah agaknya tentera Islam mengambil masa sebenarnya untuk sampai di Makkah pada masa itu ..

Dan segala keperitan itu, dilalui kerana pergi berperang. Sudahlah keletihan, perlu pula bersiap sedia sekiranya bertempur.

Pada perjalanan itu juga Nabi sendiri telah berbuka puasa bagi memberikan isyarat kepada tentera Islam yang amat keletihan bahawa mereka sebagai musafir diberi kelonggaran untuk berbuka puasa. Dan terdapat juga di kalangan tentera Islam itu yang tidak berbuka dan Nabi SAW telah mengatakan bahawa mereka adalah dari golongan yang derhaka. Difahamkan bahawa tegasnya Nabi SAW dalam hal itu adalah kerana tidak mahu mereka memandang rendah kelonggaran yang Allah bagi dalam Islam.

Banyak pengajaran dari peristiwa ini. Tentang rindu dan kasih kampung halaman (negara), memberi kemaafan kepada pihak yang pernah berbuat kejam, menghadapi sahabat yang kufur, pembebasan dari penindasan, pembebasan dari penyembahan berhala, kelonggaran yang diberi kepada musafir berpuasa, ketahanan diri menghadapi ujian dalam berpuasa dan begitu banyak sekali.

Yang perlu kita lakukan hanyalah memikirkannya.  Lebih baik jika dapat dicari bahan yang lebih terperinci dan ditulis oleh pengkaji atau ahli sejarah yang bertauliah. Apa yang saya tulis di sini hanyalah cebisan kecil dari pembacaan dan majlis ilmu yang disampaikan oleh para ustaz sebelum-sebelum ini.

Namun sedikit sebanyak, marilah kita mengingati peristiwa tersebut. Khasnya peristiwa itu adalah fasa penting dalam perkembangan syiar Islam. Selepas dari kembalinya Nabi SAW ke Makkah itu pengembangan Islam khasnya ke luar Tanah Arab dapat diperluaskan.

Dan dari kronologi itulah akhirnya Tanah Melayu menerima Islam. Alhamdulillah.

Wallahu a’lam bissawab.

______________________________________________________

pembukaan Kota Makkah secara ringkas

Ramadhan tiup semangat melawan musuh

lakaran peta pembukaan kota Makkah

sejarah yang tercipta dalam Ramadhan

Sejarah Peperangan Islam Yang Tercipta Dalam Ramadhan

Pernahkah kita terfikirkan bahawa setiap kali melalui Ramadhan fikiran kita lebih tertumpu tentang hal-hal persiapan membeli juadah berbuka, atau bahan yang ingin dimasak utk berbuka puasa, atau sibuk mencari hotel yang sesuai dengan bufet Ramadhan ..

Seterusnya hal-hal seperti giliran siapa yang kena sediakan moreh, berapa banyak nak tempah kuih raya dari kawan sepejabat, berapa pasang tempahan baju raya untuk tahun ini dan bila nak pergi servis kenderaan atau beli sahaja tiket bas balik kampung, atau tiket kapal terbang, keretapi .. ? ishh banyak betul lah ..

Itulah kita sebagai manusia biasa.

Mungkin ke-terbiasa-an menjadikan kita alpa terhadap peristiwa-peristiwa lain di bulan Ramadhan. Berbanding kalau kalendar tahun Masihi, jarang kita melupakan bahawa 31 Ogos itu adalah hari kemerdekaan, 16 Sept adalah hari Malaysia, 1 Mei Hari Pekerja dan lain-lain lagi .. 

Akhirnya dengan kesibukan kita bekerja dan beribadat puasa serta tarawih, berlalulah Ramadhan  tanpa sempat kita mengimbas, menghayati, menginsafi, dan bermuhasabah diri dengan peristiwa-peristiwa yang satu masa dahulu telah berlaku dan dengan izin Allah menjadikan kita sebagai beragama Islam hari ini.

Contoh. Telah biasa kita dengar tentang Perang Badar. Kisah sejarah tentera Islam Madinah seramai 313 orang di bawah pimpinan Rasulullah SAW menundukkan tentera Quraish Musyrikin dari Makkah yang kekuatannya berjumlah tiga kali ganda. Disebabkan kisah itu telah ‘biasa kita dengar‘ maka mungkin itu membuat kita menjadi ‘biasa-biasa’ sahaja bila mendengar kisah Perang Badar. Jarang-jarang kita bersedia – menunggu ketibaan tanggal 17 Ramdhan setiap tahun – untuk mengingati bahawa 17 Ramadhan 2 Hijrah adalah hari bersejarah berlakunya peperangan pertama dalam survival umat Islam itu.

Ia mungkin menjadi biasa lantaran kita merasakan peristiwa itu sebagai sesuatu yang ‘jauh’ dari kita. Namun, andainya kita ‘hanyutkan’ diri kita dalam nostalgia ; menghayatinya dengan diri kita sebagai ‘sebahagian dari perisitiwa itu’ mungkin kita tidak terasa jauh ..

Misalnya, ambil inisiatif menghadiahkan pahala bacaan surah Yassin sama ada sendiri atau majlis berjemaah kepada askar-askar Islam dalam peperangan itu khasnya para syuhada. Sedikit sebanyak kita rasa bagaikan hampir dengan perisitwa itu. Silap-silap, harus menitis airmata semasa membaca surah Yassin jika benar-benar menghayati bagaimana peperangan itu berlaku; membayangkan mereka berperang dalam letih berpuasa kerana soal hidup atau matinya perjuangan menyebarkan syiar Islam masa itu.

Dengan izin Allah, di atas jihad mereka itu maka sampailah syiar Islam ke bumi Malaysia beberapa ratus tahun kemudiannya. Kalau ditakdirkan sebaliknya, siapa agaknya kita sekarang?

Banyak lagi sebenarnya perisitwa perang dalam bulan Ramadhan.

Perang Khandak atau ‘perang parit’ direkodkan sebagai berlaku pada tahun ke-5 Hijrah di mana persiapan peperangan berlaku pada bulan Ramadhan namun perang sebenar tercetus dalam bulan Syawal. Justeru, bayangkan bagaimana situasi ini dihayati dalam keadaan kita pada zaman ini berhari raya dengan juadah makanan minuman yang tak terhabis dan jemputan rumah terbuka tak putus-putus sehingga 30 hari lamanya sehingga ada yang terpaksa disambung seminggu dua lepas berakhirnya Syawal. Memanglah benar hari raya Aidil Fitri itu disyariatkan kepada umat Islam untuk kita bergembira menyambutnya tetapi kalau diselitkan dengan peristiwa perang Khandaq, mungkin anggota keselamatan kita yg bertugas di hari raya akan lebih bersemangat dan rasa dihargai manakala kita pula akan lebih insaf tentang pengorbanan yg dilakukan oleh pejuang di zaman Nabi SAW.

Satu lagi ialah Perang Tabuk yang juga dikenali sebagai perang tentera berjalan kaki dan perang tentera yang dalam kesusahan (kerana kepanasan dan tiada bekalan air). Peperangan ini dicatakan sebagai bermula sejak bulan Rejab lagi. Kalau kita bayangkan .. Rejab, Syaaban dan masuk Ramadhan, hampir tiga bulan semuanya. Seramai 30,000 tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW mempertahankan utara Madinah dari kemungkinan diserang Rom.

Itulah perang pertama antara umat Islam dan Kristian di Eropah yang pada masa itu dikenali sebagai Rom. Andaikan pada hari ini negara-negara Eropah yang kita biasa dengar seperti UK, Jerman, Spain, Portugal, Itali dan sebagainya (katakan termasuk Amerika juga) bergabung dan berperang dengan negara-negara Islam, salah satu angkatan mereka menyerang Malaysia. Bagaimana, adakah semangat kita terasa sekuat tentera Islam Perang Tabuk atau terasa lemah sendi memikirkannya?

Namun dalam Perang Tabuk itu, tentera Islam telah berjaya menyekat kekuasaan Kaisar Rom dan berakhir dengan kejayaan aspek ekonomi dan politik apabila negeri2 dan kawasan yang dijajah Rom sebelum itu telah berani untuk beralih ke bawah naungan kerajaan Islam.

Begitu juga pembukaan kota Makkah selepas Perjanjian Hudaibiyah dilanggar oleh kaum Arab Musyrikin. Nabi memimpin tentera Islam dari Madinah untuk mengambil semula Kota Makkah. Pada masa itu Khalid al-Walid telah pun memeluk Islam dan memimpin satu unit pasukan memasuki Makkah dan mengalami sedikit pertempuran ditentang sahabat karib lamanya Ikrimah Abu Jahal. Mampukah kita berdepan dengan sahabat karib seperti ujian yang dihadapi Khalid itu?

Pada hari ke sepuluh nanti bersamaan Rabu 10 Ogos jangan lupa untuk merenung seketika detik ini, kerana itulah tarikh peristiwa ini mula berlaku 10 Ramadhan 6 H. Dikatakan bahawa pada tarikh 10 Ramadhan itu, tentera Islam mula bergerak menuju ke Makkah dan pada 21 Ramadhan barulah Nabi SAW memasuki kota Makkah. Mungkin dari segi bahasa ia sedikit mengelirukan kerana dinyatakan sebagai ‘pembukaan kota Makkah’. Apa yang berlaku dalam perstiwa ini adalah ‘penawanan’ Kota Makkah secara aman dan kembalinya kuasa mentadbir Makkah kepada Islam setelah sekian lama dipertahankan oleh kafir Quraish.

Dan lama selepas zaman Nabi, bulan Ramadhan juga adalah bulan berlakunya peristiwa Laksamana Tariq bin Ziad memimpin angkatan laut Islam mendarat di Andalusia (Spain) lalu membakar semua kapal bagi membulatkan tekad askar-askar Islam agar tidak berbelah bahagi untuk menyerang kerana tidak ada jalan pulang lagi. Dengan izin Allah, serangan itu berjaya dan Islam bertapak di Spain selama 700 tahun. Lama tu ! dan .. pernahkah anda ber-imaginasi bagaimana sebuah armada angkatan laut @ ‘navy’ Islam ?  atau selama ini bila menyebut tentera Islam anda hanya terbayangkan debu pasir, kuda, pedang .. ?

Maka, di ambang Aidil Fitri nanti iaitu pada 28 Ramadhan, dalam kesibukan kita membuat kuih raya, memasang langsir baru, menjahit baju raya yang ditempah pelanggan dan menservis kereta balik kampung .. janganlah dilupakan tarikh bersejarah perisitwa pembukaan Andalusia yang telah berlaku sekitar 1300++ tahun yg lalu iaitu pada 28 Ramadhan tahun 92 Hijrah.

Justeru, mengapa pula disarankan agar kita jangan melupakan tarikh pembukaan Andalusia  itu ?

Kerana, itulah bermula saatnya bangsa Eropah menerima perpindahan ilmu moden ; maths, perubatan, arkitektur, ketenteraan, saliran, perbandaran, sosiologi, kejuruteraan, astronomi, farmasi, kimia, fizik dan lain-lain sebagainya secara langsung dari umat Islam melalui Andalusia hinggalah akhirnya Fernando dan Isabella pada Rabiul Awal 897H mengusir penguasaan Islam keluar dari Spain dan tiada lagi syiar Islam di sana hatta suara azan pun tidak lagi kedengaran dan masjid ditukar menjadi gereja.

Renung-renungkanlah. Ber-muhasabah-lah. Selain beramal ibadat dalam Ramadhan ini dan bergembira di Syawal nanti, jangan dilupakan peristiwa-peristiwa yang telah sekian lama berlaku tetapi kesannya terhadap kita masih ada hingga hari ini.

Empayar berusia ratusan tahun lagikan musnah kerana ‘kuasa’. Apalagi Malaysia yang baru sahaja berusia setengah abad itupun sudah celaru dengan perebutan kuasa (politik). Kemusnahan dan kematian tak menunggu usia, untuk manusia dan juga negara.
______________________________________________________________

Untuk mendalami lagi :

Lihat pautan mengenai peristiwa dalam bulan Ramadhan, Perang Tabuk, Perang Badar dan Andalusia.

Bacaan lain mengenai Andalusia :

Ahmad Zaki Ibrahim (2008). Sorotan Sejarah Kecemerlangan Tamadun Islam Di Andalusia (Sepanyol) Dan Kedudukan Sebagai Jambatan Kecemerlangan Tamadun Eropah, dlm Mohammad Azizan Bin Sabjan Set, Prosiding Seminar Antara Bangsa Andalusia 1300 Tahun, Menyingkap Rahsia Kegemilangan Tamadun Barat, Jabatan Mufti Pulau Pinang, Malaysia (Hlmn 88-107).