Posts Tagged ‘ pintu syurga ’

Ramadhan Bukan Bulan Ibadah !

Sabar .. jangan terkejut dengan tajuk entri ini. Subhanallah, tiada niat saya untuk memesongkan akidah. Sengaja saya tuliskan ia sedemikian. Provokasi sikit. Kenalah baca sampai abis.

Di surau tempat di mana saya menetap sekarang, aktiviti solat sunat terawih berjalan dengan sungguh meriah secara sederhana. Para imam yang ditugaskan memimpin solat terawih biasanya akan menyelitkan tazkirah ringkas biasanya antara terawih dan witir.

Malam tadi (ke-6) solat terawih dipimpin oleh Ust. Aizam dari JAKIM. Beliau telah menyampaikan sedikit tazkirah mengenai Ramadhan. Mudah-mudahan perkongsian ilmu ini membawa manfaat kepada kita, insya Allah.

______________________________________________________________

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah pintu-pintu neraka manakala sekalian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat”

(Bukhari dan Muslim)

________________________________________________________________________

Dalam bulan Ramadhan, sepertimana yang diketahui bhawasanya pintu-pintu syurga adalah dibuka manakala pintu-pinti neraka pula ditutup dan syaitan dirantai. Dalam hal itu, kita wajib mempercayainya secara hakikat (tekad) walaupun kita tak pernah melihat syurga dan neraka. Sebabnya kita diwajibkan beriman kepada perkara ghaib (dalam rukun Iman ; percaya kepada Hari Kiamat dan syurga neraka adalah sebahagian dari perkara selepas kiamat).

Maknanya, wajiblah kita percaya di syurga sana pintunya dibuka dan di neraka pula pintunya ditutup dan syaitan dibelenggu walaupun semua itu kita tak nampak.

Dalam pada itu, ulama muktabar juga mentafsirkan hadis itu secara simbolik. Apa yg dimaksudkan dengan pintu syurga dibuka ialah dibukakan banyak pintu (ruang) untuk kita mengerjakan amal ibadah yang membolehkan kita beroleh ganjaran pahala untuk memasuki pintu syurga itu.

Contohnya, ada orang yang mungkin layak masuk ke syurga melalui ‘pintu’ solat kerana dalam bulan Ramadhan ini berlipat ganda solatnya. Ada yang mungkin masuk melalui ‘pintu’ sedekah kerana pada bulan ini banyak amal sedekah jariahnya.

Manakala yang digambarkan tentang penutupan pintu neraka dan syaitan dirantai pula adalah ; kurangnya ruang untuk dihukum masuk ke neraka jika direbut peluang untuk memperbanyakkan ibadah. Kerana, dengan banyaknya amalan ibadah yang dilakukan itu iman seseorang itu begitu menebal. Dengan itu terhindarlah ia dari azab neraka dan syaitan pula tidak berjaya menggodanya, itulah yang dimaksudkan ‘dirantai’ atau ‘dibelenggu’.

Berdasarkan pendapat ulama juga, syaitan dirantai adalah yang pangkat besar-besar sahaja sedangkan yang kecil masih menggoda manusia. (agaknya kerana itulah kita masih kalah kepada nafsu dan berbuat silap yg tak sepatutnya dalam bulan Ramadhan)

Maka, berkaitan dengan tawaran yang diberikan Allah itu, maka manusia pun berusahalah mencari keredhaanNya dengan beramal ibadah dalam bulan Ramadhan. Khasnya memperbanyakkan amalan sunat seperti solat terawih, tadarus, solat2 sunat lain dsb.

Dalam hal ini perlulah kita ketahui bahawa,sedangkan pada Allah, amalan yang paling disukaiNya (dicintaiNya) adalah amalan WAJIB yakni FARDHU.

Maka kerana itu lah, adalah tidak sesuai meletakkan Ramadhan sebagai bulan ibadah. Kerana ibadah wajib itu berterusan dalam bulan yang lain. Kalau hanya ditumpu kepada ibadah sunat dalam Ramadhan saja maka tidaklah menepati apa yang paling dicintai Allah iaitu amalan wajib (fardhu).

Kalau dikatakan Ramadhan adalah bulan mengerjakan ibadah, kerana itulah yang sering berlaku di kalangan kita apabila sesudah Ramadhan kita akan kembali kepada ‘kurang’ memberi perhatian untuk bersungguh-sungguh beribadat seperti dalam Ramadhan.

Sedangkan amalan fardhu itu berterusan, termasuk dalam bulan-bulan selebihnya.

Dalam perbandingan juga, Nabi pernah mengingatkan bahawa baginda adalah sama ; seorang manusia dan hamba Allah. Hanya, baginda dilantik sebagai Rasul dan penghulu segala Nabi. Dari segi fitrah dan sifatnya sebagai manusia adalah sama. Begitu jugalah Ramadhan dengan bulan-bulan yang lain. Kalau dalam Ramadhan digalakkan kita melipat gandakan amalan maka dalam bulan lain juga mengapa pula harus kita kurang beri tumpuan. Kerana setiap bulan adalah sama sahaja cuma Ramadhan dilantik sebagai penghulu segala bulan.

Justeru, itulah sebabnya Ramadhan bukanlah bulan beribadat tetapi bulan untuk MEMPERKUKUHKAN ibadah. Wallahu ‘alam bissawab.

Advertisements