Posts Tagged ‘ Ramadhan ’

Ramadhan Bukan Bulan Ibadah !

Sabar .. jangan terkejut dengan tajuk entri ini. Subhanallah, tiada niat saya untuk memesongkan akidah. Sengaja saya tuliskan ia sedemikian. Provokasi sikit. Kenalah baca sampai abis.

Di surau tempat di mana saya menetap sekarang, aktiviti solat sunat terawih berjalan dengan sungguh meriah secara sederhana. Para imam yang ditugaskan memimpin solat terawih biasanya akan menyelitkan tazkirah ringkas biasanya antara terawih dan witir.

Malam tadi (ke-6) solat terawih dipimpin oleh Ust. Aizam dari JAKIM. Beliau telah menyampaikan sedikit tazkirah mengenai Ramadhan. Mudah-mudahan perkongsian ilmu ini membawa manfaat kepada kita, insya Allah.

______________________________________________________________

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah pintu-pintu neraka manakala sekalian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat”

(Bukhari dan Muslim)

________________________________________________________________________

Dalam bulan Ramadhan, sepertimana yang diketahui bhawasanya pintu-pintu syurga adalah dibuka manakala pintu-pinti neraka pula ditutup dan syaitan dirantai. Dalam hal itu, kita wajib mempercayainya secara hakikat (tekad) walaupun kita tak pernah melihat syurga dan neraka. Sebabnya kita diwajibkan beriman kepada perkara ghaib (dalam rukun Iman ; percaya kepada Hari Kiamat dan syurga neraka adalah sebahagian dari perkara selepas kiamat).

Maknanya, wajiblah kita percaya di syurga sana pintunya dibuka dan di neraka pula pintunya ditutup dan syaitan dibelenggu walaupun semua itu kita tak nampak.

Dalam pada itu, ulama muktabar juga mentafsirkan hadis itu secara simbolik. Apa yg dimaksudkan dengan pintu syurga dibuka ialah dibukakan banyak pintu (ruang) untuk kita mengerjakan amal ibadah yang membolehkan kita beroleh ganjaran pahala untuk memasuki pintu syurga itu.

Contohnya, ada orang yang mungkin layak masuk ke syurga melalui ‘pintu’ solat kerana dalam bulan Ramadhan ini berlipat ganda solatnya. Ada yang mungkin masuk melalui ‘pintu’ sedekah kerana pada bulan ini banyak amal sedekah jariahnya.

Manakala yang digambarkan tentang penutupan pintu neraka dan syaitan dirantai pula adalah ; kurangnya ruang untuk dihukum masuk ke neraka jika direbut peluang untuk memperbanyakkan ibadah. Kerana, dengan banyaknya amalan ibadah yang dilakukan itu iman seseorang itu begitu menebal. Dengan itu terhindarlah ia dari azab neraka dan syaitan pula tidak berjaya menggodanya, itulah yang dimaksudkan ‘dirantai’ atau ‘dibelenggu’.

Berdasarkan pendapat ulama juga, syaitan dirantai adalah yang pangkat besar-besar sahaja sedangkan yang kecil masih menggoda manusia. (agaknya kerana itulah kita masih kalah kepada nafsu dan berbuat silap yg tak sepatutnya dalam bulan Ramadhan)

Maka, berkaitan dengan tawaran yang diberikan Allah itu, maka manusia pun berusahalah mencari keredhaanNya dengan beramal ibadah dalam bulan Ramadhan. Khasnya memperbanyakkan amalan sunat seperti solat terawih, tadarus, solat2 sunat lain dsb.

Dalam hal ini perlulah kita ketahui bahawa,sedangkan pada Allah, amalan yang paling disukaiNya (dicintaiNya) adalah amalan WAJIB yakni FARDHU.

Maka kerana itu lah, adalah tidak sesuai meletakkan Ramadhan sebagai bulan ibadah. Kerana ibadah wajib itu berterusan dalam bulan yang lain. Kalau hanya ditumpu kepada ibadah sunat dalam Ramadhan saja maka tidaklah menepati apa yang paling dicintai Allah iaitu amalan wajib (fardhu).

Kalau dikatakan Ramadhan adalah bulan mengerjakan ibadah, kerana itulah yang sering berlaku di kalangan kita apabila sesudah Ramadhan kita akan kembali kepada ‘kurang’ memberi perhatian untuk bersungguh-sungguh beribadat seperti dalam Ramadhan.

Sedangkan amalan fardhu itu berterusan, termasuk dalam bulan-bulan selebihnya.

Dalam perbandingan juga, Nabi pernah mengingatkan bahawa baginda adalah sama ; seorang manusia dan hamba Allah. Hanya, baginda dilantik sebagai Rasul dan penghulu segala Nabi. Dari segi fitrah dan sifatnya sebagai manusia adalah sama. Begitu jugalah Ramadhan dengan bulan-bulan yang lain. Kalau dalam Ramadhan digalakkan kita melipat gandakan amalan maka dalam bulan lain juga mengapa pula harus kita kurang beri tumpuan. Kerana setiap bulan adalah sama sahaja cuma Ramadhan dilantik sebagai penghulu segala bulan.

Justeru, itulah sebabnya Ramadhan bukanlah bulan beribadat tetapi bulan untuk MEMPERKUKUHKAN ibadah. Wallahu ‘alam bissawab.

Advertisements

Hadis-Hadis Palsu Mengenai Fadhilat Ramadhan

Baru-baru ini saya menerima satu email mengenai perkara di atas. Setelah membaca email itu saya membuat sedikit semakan untuk mengesahkan kesahihan maklumatnya. Justeru saya telah menghubungi nombor telefon yang dipaparkan dalam email itu dan didapati nombor tersebut adalah kepunyaan Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (TISB). Manakala Bahagian Pematuhan Syariah yang dinyatakan dalam email tersebut adalah merupakan salah satu bahagian di bawah TISB.

Berpuas hati dengan semakan itu maka saya ingin kongsi maklumat berikut dengan pengunjung blog ini. Mungkin anda telah mengetahuinya melalui kiriman email atau dari blog lain namun jika belum pernah menerimanya, saya berharap maklumat ini dapat membawa kebaikan, insya Allah. 

 

Do’a malaikat Jibril menjelang Ramadhan “Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut: 

 

* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);

* Tidak berma’afan terlebih dahulu antara suami isteri;

* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

 

Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdo’a adalah Malaikat dan yang mengaminkan adalah Rasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat. Oleh itu SAYA TERLEBIH DAHULU MEMOHON MAAF DARI HUJUNG RAMBUT HINGGA HUJUNG KAKI jika saya ada berbuat kesalahan, baik yang tidak di sengaja maupun yang di sengaja , semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dgn penuh keberkatan.

 

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK..

 

**************************************************

Seorang hamba Allah yang prihatin telah menanyakan berkenaan ‘hadis’ ini kepada pihak yang lebih arif dan ini jawapan beliau:

 

Ini komen daripada kami tentang hadis tersebut

 

Merujuk kepada Hadis di atas yang tersebar melalui email dan internet akhir-akhir ini, saya ingin mengemukakan pandangan kami dari Bahagian Pematuhan Syariah TISB.

 

Sesungguhnya Hadis tersebut tidak diketahui sumbernya dan diragui

kesahihannya. Kesamaran Hadis ini berlaku dalam 3 perkara berikut:

 

1- Tiada sumber periwayatan daripada mana-mana ulama’ Hadis yang muktabar.

2- Kandungannya menerangkan bahawa seolah-olah Malaikat Jibril telah menokok-tambah tiga lagi syarat sah puasa iaitu dikehendaki memohon maaf dengan kedua orang tua, suami @ isteri dan masyarakat di sekitar.

2- Hadis ini baru sahaja muncul pada tahun ini.

 

Kesimpulannya, Hadis ini sangat diragui kesahihannya dan kebenarannya. Justeru, dinasihatkan kepada semua untuk tidak berpegang dengannya serta tidak menyebarkannya kepada masyarakat selagi tidak diketahui sumbernya. Walaupun berkemungkinan terdapat sedikt kebaikan pada ‘hadis’ tersebut kerana menyeru supaya kita bermaaf-maafan, namun ia tetap tidak boleh digunakan.

 

Ingin juga dimaklumkan di sini bahawa setiap Dalil (al-Quran dan Hadis) yang ingin digunakan untuk apa-apa tujuan sekalipun perlulah mempunyai sumber rujukannya. Bahagian Pematuhan Syariah sudi untuk membantu sahabat-sahabat sekalian untuk mencari sumber kepada Dalil yang ingin digunakan. Semoga kita dapat menghindarkan diri dari mendustakan Nabi SAW.

 

Mungkin kita boleh menghayati bersama Sabda Nabi SAW:

 

Barangsiapa berdusta atasku dengan sengaja, maka ia menempatkan tempat duduknya di dalam neraka. (Hadith ini menurut Imam Nawawi diriwayatkan oleh 200 orang sahabat)

 

Wassalam.

 

Jabatan Pematuhan Syariah

03-7801 1427

 

 

Selain itu terdapat keraguan terhadap sebuah hadis palsu mengenai fadhilat solat terawih yg sudah pun dibawa ke pengetahuan umum sedikit masa lalu, di sini boleh dilihat pautan mengenai ulasan pejabat mufti Terengganu mengenainya. Semoga dengan ini kita dapat meneruskan ibadah di bulan Ramadhan dengan bertambah tenang dan tawaduk.

Sejarah Peperangan Islam Yang Tercipta Dalam Ramadhan

Pernahkah kita terfikirkan bahawa setiap kali melalui Ramadhan fikiran kita lebih tertumpu tentang hal-hal persiapan membeli juadah berbuka, atau bahan yang ingin dimasak utk berbuka puasa, atau sibuk mencari hotel yang sesuai dengan bufet Ramadhan ..

Seterusnya hal-hal seperti giliran siapa yang kena sediakan moreh, berapa banyak nak tempah kuih raya dari kawan sepejabat, berapa pasang tempahan baju raya untuk tahun ini dan bila nak pergi servis kenderaan atau beli sahaja tiket bas balik kampung, atau tiket kapal terbang, keretapi .. ? ishh banyak betul lah ..

Itulah kita sebagai manusia biasa.

Mungkin ke-terbiasa-an menjadikan kita alpa terhadap peristiwa-peristiwa lain di bulan Ramadhan. Berbanding kalau kalendar tahun Masihi, jarang kita melupakan bahawa 31 Ogos itu adalah hari kemerdekaan, 16 Sept adalah hari Malaysia, 1 Mei Hari Pekerja dan lain-lain lagi .. 

Akhirnya dengan kesibukan kita bekerja dan beribadat puasa serta tarawih, berlalulah Ramadhan  tanpa sempat kita mengimbas, menghayati, menginsafi, dan bermuhasabah diri dengan peristiwa-peristiwa yang satu masa dahulu telah berlaku dan dengan izin Allah menjadikan kita sebagai beragama Islam hari ini.

Contoh. Telah biasa kita dengar tentang Perang Badar. Kisah sejarah tentera Islam Madinah seramai 313 orang di bawah pimpinan Rasulullah SAW menundukkan tentera Quraish Musyrikin dari Makkah yang kekuatannya berjumlah tiga kali ganda. Disebabkan kisah itu telah ‘biasa kita dengar‘ maka mungkin itu membuat kita menjadi ‘biasa-biasa’ sahaja bila mendengar kisah Perang Badar. Jarang-jarang kita bersedia – menunggu ketibaan tanggal 17 Ramdhan setiap tahun – untuk mengingati bahawa 17 Ramadhan 2 Hijrah adalah hari bersejarah berlakunya peperangan pertama dalam survival umat Islam itu.

Ia mungkin menjadi biasa lantaran kita merasakan peristiwa itu sebagai sesuatu yang ‘jauh’ dari kita. Namun, andainya kita ‘hanyutkan’ diri kita dalam nostalgia ; menghayatinya dengan diri kita sebagai ‘sebahagian dari perisitiwa itu’ mungkin kita tidak terasa jauh ..

Misalnya, ambil inisiatif menghadiahkan pahala bacaan surah Yassin sama ada sendiri atau majlis berjemaah kepada askar-askar Islam dalam peperangan itu khasnya para syuhada. Sedikit sebanyak kita rasa bagaikan hampir dengan perisitwa itu. Silap-silap, harus menitis airmata semasa membaca surah Yassin jika benar-benar menghayati bagaimana peperangan itu berlaku; membayangkan mereka berperang dalam letih berpuasa kerana soal hidup atau matinya perjuangan menyebarkan syiar Islam masa itu.

Dengan izin Allah, di atas jihad mereka itu maka sampailah syiar Islam ke bumi Malaysia beberapa ratus tahun kemudiannya. Kalau ditakdirkan sebaliknya, siapa agaknya kita sekarang?

Banyak lagi sebenarnya perisitwa perang dalam bulan Ramadhan.

Perang Khandak atau ‘perang parit’ direkodkan sebagai berlaku pada tahun ke-5 Hijrah di mana persiapan peperangan berlaku pada bulan Ramadhan namun perang sebenar tercetus dalam bulan Syawal. Justeru, bayangkan bagaimana situasi ini dihayati dalam keadaan kita pada zaman ini berhari raya dengan juadah makanan minuman yang tak terhabis dan jemputan rumah terbuka tak putus-putus sehingga 30 hari lamanya sehingga ada yang terpaksa disambung seminggu dua lepas berakhirnya Syawal. Memanglah benar hari raya Aidil Fitri itu disyariatkan kepada umat Islam untuk kita bergembira menyambutnya tetapi kalau diselitkan dengan peristiwa perang Khandaq, mungkin anggota keselamatan kita yg bertugas di hari raya akan lebih bersemangat dan rasa dihargai manakala kita pula akan lebih insaf tentang pengorbanan yg dilakukan oleh pejuang di zaman Nabi SAW.

Satu lagi ialah Perang Tabuk yang juga dikenali sebagai perang tentera berjalan kaki dan perang tentera yang dalam kesusahan (kerana kepanasan dan tiada bekalan air). Peperangan ini dicatakan sebagai bermula sejak bulan Rejab lagi. Kalau kita bayangkan .. Rejab, Syaaban dan masuk Ramadhan, hampir tiga bulan semuanya. Seramai 30,000 tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW mempertahankan utara Madinah dari kemungkinan diserang Rom.

Itulah perang pertama antara umat Islam dan Kristian di Eropah yang pada masa itu dikenali sebagai Rom. Andaikan pada hari ini negara-negara Eropah yang kita biasa dengar seperti UK, Jerman, Spain, Portugal, Itali dan sebagainya (katakan termasuk Amerika juga) bergabung dan berperang dengan negara-negara Islam, salah satu angkatan mereka menyerang Malaysia. Bagaimana, adakah semangat kita terasa sekuat tentera Islam Perang Tabuk atau terasa lemah sendi memikirkannya?

Namun dalam Perang Tabuk itu, tentera Islam telah berjaya menyekat kekuasaan Kaisar Rom dan berakhir dengan kejayaan aspek ekonomi dan politik apabila negeri2 dan kawasan yang dijajah Rom sebelum itu telah berani untuk beralih ke bawah naungan kerajaan Islam.

Begitu juga pembukaan kota Makkah selepas Perjanjian Hudaibiyah dilanggar oleh kaum Arab Musyrikin. Nabi memimpin tentera Islam dari Madinah untuk mengambil semula Kota Makkah. Pada masa itu Khalid al-Walid telah pun memeluk Islam dan memimpin satu unit pasukan memasuki Makkah dan mengalami sedikit pertempuran ditentang sahabat karib lamanya Ikrimah Abu Jahal. Mampukah kita berdepan dengan sahabat karib seperti ujian yang dihadapi Khalid itu?

Pada hari ke sepuluh nanti bersamaan Rabu 10 Ogos jangan lupa untuk merenung seketika detik ini, kerana itulah tarikh peristiwa ini mula berlaku 10 Ramadhan 6 H. Dikatakan bahawa pada tarikh 10 Ramadhan itu, tentera Islam mula bergerak menuju ke Makkah dan pada 21 Ramadhan barulah Nabi SAW memasuki kota Makkah. Mungkin dari segi bahasa ia sedikit mengelirukan kerana dinyatakan sebagai ‘pembukaan kota Makkah’. Apa yang berlaku dalam perstiwa ini adalah ‘penawanan’ Kota Makkah secara aman dan kembalinya kuasa mentadbir Makkah kepada Islam setelah sekian lama dipertahankan oleh kafir Quraish.

Dan lama selepas zaman Nabi, bulan Ramadhan juga adalah bulan berlakunya peristiwa Laksamana Tariq bin Ziad memimpin angkatan laut Islam mendarat di Andalusia (Spain) lalu membakar semua kapal bagi membulatkan tekad askar-askar Islam agar tidak berbelah bahagi untuk menyerang kerana tidak ada jalan pulang lagi. Dengan izin Allah, serangan itu berjaya dan Islam bertapak di Spain selama 700 tahun. Lama tu ! dan .. pernahkah anda ber-imaginasi bagaimana sebuah armada angkatan laut @ ‘navy’ Islam ?  atau selama ini bila menyebut tentera Islam anda hanya terbayangkan debu pasir, kuda, pedang .. ?

Maka, di ambang Aidil Fitri nanti iaitu pada 28 Ramadhan, dalam kesibukan kita membuat kuih raya, memasang langsir baru, menjahit baju raya yang ditempah pelanggan dan menservis kereta balik kampung .. janganlah dilupakan tarikh bersejarah perisitwa pembukaan Andalusia yang telah berlaku sekitar 1300++ tahun yg lalu iaitu pada 28 Ramadhan tahun 92 Hijrah.

Justeru, mengapa pula disarankan agar kita jangan melupakan tarikh pembukaan Andalusia  itu ?

Kerana, itulah bermula saatnya bangsa Eropah menerima perpindahan ilmu moden ; maths, perubatan, arkitektur, ketenteraan, saliran, perbandaran, sosiologi, kejuruteraan, astronomi, farmasi, kimia, fizik dan lain-lain sebagainya secara langsung dari umat Islam melalui Andalusia hinggalah akhirnya Fernando dan Isabella pada Rabiul Awal 897H mengusir penguasaan Islam keluar dari Spain dan tiada lagi syiar Islam di sana hatta suara azan pun tidak lagi kedengaran dan masjid ditukar menjadi gereja.

Renung-renungkanlah. Ber-muhasabah-lah. Selain beramal ibadat dalam Ramadhan ini dan bergembira di Syawal nanti, jangan dilupakan peristiwa-peristiwa yang telah sekian lama berlaku tetapi kesannya terhadap kita masih ada hingga hari ini.

Empayar berusia ratusan tahun lagikan musnah kerana ‘kuasa’. Apalagi Malaysia yang baru sahaja berusia setengah abad itupun sudah celaru dengan perebutan kuasa (politik). Kemusnahan dan kematian tak menunggu usia, untuk manusia dan juga negara.
______________________________________________________________

Untuk mendalami lagi :

Lihat pautan mengenai peristiwa dalam bulan Ramadhan, Perang Tabuk, Perang Badar dan Andalusia.

Bacaan lain mengenai Andalusia :

Ahmad Zaki Ibrahim (2008). Sorotan Sejarah Kecemerlangan Tamadun Islam Di Andalusia (Sepanyol) Dan Kedudukan Sebagai Jambatan Kecemerlangan Tamadun Eropah, dlm Mohammad Azizan Bin Sabjan Set, Prosiding Seminar Antara Bangsa Andalusia 1300 Tahun, Menyingkap Rahsia Kegemilangan Tamadun Barat, Jabatan Mufti Pulau Pinang, Malaysia (Hlmn 88-107).

Tak Lama Lagi Dah Nak Puasa !

Lebih kurang setengah bulan lagi sahaja lagi! Kiranya dalam bulan Syaaban ini, adalah musim menjalankan promosi untuk Ramadhan. dan kalau di kaca TV tu, memang rasa bagai hampas kalau waktu begini ada iklan jualan kain murah untuk buat baju raya. nasib baik sekarang dah terkawal. tapi yang pasti tak sabar sabar ditunggu di tv ialah kemunculan YM Datuk Engku, penyimpan mohor besar raja-raja untuk mengumumkan tarikh melihat anak bulan dan seterusnya tarikh mula puasa, walaupun dah tak saspen lagi dah sekarang ni 😛 . Banyak keseronokannya untuk tahun ini. kali ini, berpuasa di rumah sendiri. jiran-jiran yang baru. di rumah ini, surau terletak hanya kira-kira tak sampai seratus kali langkah. mesti meriah kerana suasana para jiran berpusu-pusu ke solat terawih terlihat depan mata dan diri sendiri juga insya Allah akan turut bersama. (foto dari web ini)

tahun lepas dua minggu terpaksa berpuasa di daerah luar kerana tugas. harap-harap tahun ini tidaklah. boleh menikmati Ramadhan dengan lebih teratur, insya Allah. terima kasih kepada Arsaili yang singgah di Putrajaya dan bersusah-susah dengan gift yang dibawa dari Aussie.

SELAMAT BERPUASA !

..

 

(foto from Bayu Hebat).