Posts Tagged ‘ travel ’

Catatan Perjalanan Europe (11) : Rejimen Askar Melayu DiRaja Mengawal Istana Buckingham

( Nota : link ke video perbarisan RAMD )

Sebelum saya meneruskan catatan perjalanan ini dengan aktiviti-aktiviti yang diuruskan di UK, saya ingin berkongsi dulu tentang beberapa pengalaman menarik yang sempat dirasai sekitar waktu lapang yang dicuri-curi dari kesempatan yang ada.

Semasa saya tiba di London, Hairol memberitahu saya bahawa Askar Melayu sedang berada di London. Katanya, mereka diberi penghormatan dijemput oleh Queen untuk bertugas dalam kawalan keselamatan di Istana Buckingham. Pada awalnya memanglah bunyinya agak pelik kerana saya merasakan mengapa pula perlu askar Malaysia mengawal istana Britain? Namun selepas mendengar penjelasan panjang lebar saya memahami bahawa konsepnya adalah sama sepertimana tentera kita diberi kepercayaan dan penghormatan dalam menjalankan tugasan antarabangsa sebelum ini.

Batalion Pertama (batalion istiadat) Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) yang berpangakalan di Sungai Besi adalah unit yang bertanggungjawab dalam hal-hal istiadat. Di Istana Negara, Jalan Mahameru, merekalah juga yang bertanggungjawab mengawal pintu istana. Jika anda biasa melihat pengawal berseragam merah dan berkuda terpaku segak berkawal di situ, itulah mereka. Mereka juga bertanggungjawab dalam perbarisan semasa hari kemerdekaan serta semasa menerima tabik hormat dan pemeriksaan jika ada lawatan ketua negara dari luar. kini mereka dijemput pula untuk satu acara yang menaikkan nama Malaysia di mata orang-orang London.

Khabar oleh Hairol, askar kita akan berkawal bergilir-gilir mengikut hari dengan tentera British. Dan apabila tiba hari-hari upacara pertukaran pengawal atau Change of Guards, kota London khasnya berhadapan Istana Buckingham pasti akan sesak dan beberapa jalan akan ditutup kerana dipenuhi orang ramai yang melihat perarakan. Mendengarnya kisah-kisah Hairol, berdebar-debar rasa di hati saya kerana ingin sangat memastikan peluang seperti ini tidak terlepas. Ya, mungkin London boleh dikunjungi semula di lain kali namun upacara bersejarah seperti ini mungkin tidak akan berulang!

Akhirnya kesempatan itu tiba pada 10 Mei apabila Hairol memberitahu bahawa pada hari tersebut upacara Change of Guard akan dijalankan. Maka saya dan beberapa ahli delegasi segera menyusun perancangan untuk berkunjung ke Istana Buckingham. Cubaan kami untuk sampai seawal 9 pagi gagal kerana rupa-rupanya orang London terlebih dahulu telah memenuhi kawasan2 sekitar istana sejak jam 7.30 pagi ! Begitu sekali sambutan yang saya sendiri tidak menduganya.

Sukar sekali mencari ruang untuk berjalan. Dalam gambar di atas, nampak sahaja macam kosong kerana orang ramai berkerumun dekat dengan pintu istana. Kawasan lapang itu dihalang untuk laluan kerana ia sebahagian dari laluan perarakan.

Upacara bermula dengan perarakan berkuda oleh tentera Britain memasuki perkarangan istana dan diikuti dengan persembahan pancaragam oleh kedua-dua negara secara bergilir-gilir. Kemudiannya barulah dilakukan upacara kawad pertukaran pengawal.

Mendengarkan persembahan oleh RAMD dengan lagu-lagu seperti Getaran Jiwa .. timbul rasa terpegun dan bangga di dada. Tambahan pula tiap kali mereka mengakhiri lagu yang dipersembahkan tepukan dan sorak dari orang-orang London begitu gemuruh sekali. Saya sempat bertemu beberapa orang anggota RAMD yang tidak terlibat dalam perbarisan. Mereka berada selama dua bulan di London melaksanakan tugasan ini. Semasa saya bertemu mereka itu, ada tempoh selama sebulan setengah lagi sebelum mereka pulang ke tanahair.

Mereka yang tidak berbaris pun agak sibuk juga kerana sentiasa menjadi sasaran orang-orang London yang ingin mendampingi dan bergambar bersama. Sebenarnya selain kami, pada masa itu juga ada krew TV3 yang saya lihat menemuramah beberapa orang London serta seorang dua ahli delegasi kami. Khabarnya untuk Majalah Tiga tapi tak tahulah bila akan disiarkan.

Buat anak-anak Malaysia sekalian, sama ada anda turut berasa bangga atau tidak .. mungkin itu kurang penting buat saya. Namun di kala negara kita sekarang ini diwarnai dengan contengan-contengan senario politik yang tidak patriotik (bagi saya) lagi merimaskan .. apa lagi akhlak ahli parlimen yang jelas tidak bertamadun (tidak kira di pihak manapun) .. berdoalah kita agar Malaysia akan terus terpelihara walaupun nyawa kita jadi taruhan. Amin.

( Nota : link ke video perbarisan RAMD )

________________________________________________________________

Tambahan pada 2 Sep 08 : Laporan penuh oleh Utusan Malaysia mengenai tugasan 1 RAMD di London

Catatan Perjalanan Europe (8) : Jalan Kampung Dari Switzerland ke Perancis

Dari Geneva kami bertolak menuju ke Paris dengan menaiki coach. Mengapa perjalanan darat dan bukan menaiki penerbangan?

Pertamanya, masa penerbangan yang available pada masa itu agak lewat. Keduanya, ditambah lagi masa menunggu di airport sebelum berlepas serta urusan imigresen selepas ketibaan nanti .. jadi dijangka akan sampai di Paris lewat tengahari. Sedangkan perjalanan darat mungkin boleh menjimatkan masa. Jadi keputusan yang dibuat ialah meneruskan perjalanan melalui jalanraya yang menghubung Switzerland dan Perancis. Bon Voyage !

Hikmahnya ? Ya saya sangat bersyukur. Dengan perjalanan darat ini dapatlah kami menghayati perjalanan selama enam jam dengan melihat pemandangan sekeliling sepanjang Switzerland ke Perancis. Seperti yang saya tuliskan sebelum ini, nyata memang indah negara orang tapi di mana-mana pun di bumi ini segalanya masih milik Allah SWT.

Dengan itu, untuk bahagian ini biarlah gambar sahaja yang menceritakan tentang pengalaman yang saya rasai. Namun hakikatnya, dalam menceritakan perasaan yang ingin dikongsi .. baik lensa kamera atau pun tulisan ini, tidak akan setanding jua akan kehebatan mata anugerah Allah yang mampu menjangkau penglihatan 3D seluas 360 darjah dan merakamkan penglihatan saya itu dalam kenangan manis. Subhanallah..

Merentasi pergunungan ..

Menyusuri perkampungan ..

Melalui lebuhraya serta .. menyedut udara sejuk dan menghirup kopi panas

teruskan perjalanan ..

hamparan ‘rape fruit’ .. seluas mata memandang ..

menghampiri pinggir bandar ..

Tiba di Perancis ..

Ya. Memang indah. Namun tatkala melalui perjalanan 6 jam itu sekali sekala fikiran saya diimbau imbasan pemandangan pokok getah dan kelapa sawit di negara sendiri …

Catatan Perjalanan Europe (7) : Geneva di Ambang EURO 2008 (Mei)

Subuh tadi di Vienna, Austria telah sah kejuaraan Euro 2008 menjadi milik Spain apabila menewaskan German 1-0. Melihat wajah-wajah kecewa Poldoski, Ballack, Lehman, Gomez dan Bastian saya pun terikut-ikut rasa sedih. Apa pun bukan tentang final kejuaraan Euro itu yang ingin saya coretkan kali sini. Hanya sekadar mengaitkannya dengan catatan perjalanan ini kerana saya telah singgah di Switzerland ; Geneva dan Lausanne sebulan sebelum kejohanan itu bermula.

Kami tiba di IMD Lausanne dan disambut oleh Miss Monica seterusnya diberi taklimat oleh En. Viktor. Pertemuan yang menarik, dan asas untuk peluang bekerjasama di masa hadapan juga dapat dibina. Ini adalah salah satu pemandangan di kampus IMD.

Mesyuarat di IMD berjalan sehingga kira-kira 3 petang dan selepas itu kami berpatah balik ke Geneva. Dalam perjalanan pulang dari Lausanne, kami singgah makan di sebuah restoran Turki.

Inilah menu makan tengahari yang saya pilih. Gabungan daging biri-biri, unta dan lembu.

OK, mesyuarat sudah, makan pun sudah. Perut pun dah kenyang. Kami pun dah berpatah balik ke Geneva. Sebelum balik ke hotel, masa masih ada untuk kami bersiar-siar melihat Geneva. Saya tercari-cari lokasi-lokasi yang menggambarkan tentang EURO 2008. Maklumlah berada di negara tuan rumah kira-kira sebulan lagi sebelum kejohanan, saya pasti mahu bergambar. Dengan papan iklan pun jadi lah !

Tapi hampa .. agak menghairankan sebegitu hampir masanya dengan kejohanan EURO 2008 tidak ada kelihatan promosi di sana sini. Yang saya jumpa ada satu sahaja iaitu sebuah bola besar di tengah-tengah bandar di tepi tasik.

Tidak seperti kita di Malaysia kalau menjadi tuan rumah tentu sekali segala papan tanda, bendera, bunting, banner naik di sana sini termasuk tiang-tiang elektrik. Tak tahu lah pula kalau perhiasan-perhiasan itu tidak kelihatan di Geneva tetapi terdapat di bandar-bandar yang berdekatan dengan stadium kejohanan.

Tapi bagus juga pemerhatian ini. Tidak semestinya berhabis duit menghias ; siang dengan poster dan malam dengan lampunya. Yang penting kualiti menjadi tuan rumah. Malah kalau dilihat di TV semasa Euro berlangsung pun kemeriahan dan warna warni Euro diserlahkan oleh contengan dan fesyen para penyokong sahaja. Elok kiranya kalau di anjuran kejohanan di Malaysia contohnya SUKMA, tidak kita membazir dengan perhiasan yang tidak perlu seperti poster dan bunting yang dipasang di tiang elektrik. Kalau tak dihias pun kita tetap tahu bahawa kita tuan rumah sesuatu kejohanan ye tak?

Agak kecewa juga tak dapat merakamkan kenangan di mana-mana lokasi EURO 2008, saya sekadar bergambar di tengah-tengah bandar. Waktu petang sebegini mereka lepak selepas kerja macam kita, cuma bezanya kalau kita kena teh di kedai mamak tapi mereka di sini minum bir di tempat-tempat terbuka macam dalam gambar ni.

Begitulah catatan perjalanan di Geneva. Sesudah bersiar-siar di sekitar bandarnya kami pulang ke hotel ketika hampir maghrib, sekitar jam 8.30 malam. Perjalanan kami akan diteruskan ke Perancis keesokan hari nanti.

 

Catatan Perjalanan Europe (6) : Tiba di Switzerland

Kami mengambil penerbangan British Airways (BA) dari Heathrow ke Geneva di Terminal 5 yang baru dibuka dan dikatakan sering bermasalah sebelum ini. Ternyata betul. Sebaik memulakan urusan check-in kami sudah menghadapi masalah apabila diminta ke satu demi satu kaunter tanpa tujuan yang pasti. Hanya selepas campurtangan seorang yang berpangkat penyelia barulah urusan berjalan lancar. Dibandingkan dengan KLIA dari segi kemudahan dan kelancaran, Terminal 5 ini belum setanding.

Kami menaiki penerbangan BA726 jam 8.20 pagi. Naik British Airways ni macam naik Air Asia. Takda business class sebab penerbangan antara negara Euro dianggap domestik. Dalam pesawat saya duduk berdekatan seorang pemuda bernama Ghizan, berketurunan Arab dari Iraq dan semenjak usia 4 tahun menetap di London apabila bapanya menerima tawaran bertugas sebagai guru. Perbualan dengan Ghizan agak menarik. Beliau banyak bertanya tentang Malaysia. Menceburi perniagaan bekalan makanan, dia ingin menghadiri forum halal sedunia yang diadakan di KL hujung bulan itu namun tidak berkesempatan. Beliau juga bertanyakan pendapat saya apa perbezaannya tentang pentadbiran Tun Mahathir dengan DSAAB. Nah, terpana seketika menerima soalan seperti ini dari orang luar, dan saya terfikir juga atas alasan apa dia bertanyakan itu. Pada perkiraan saya selaku ahli perniagaan pastinya Ghizan mengikuti perkembangan politik serta ekonomi rantau lain termasuklah Malaysia. Dan saya dapat mengesan adanya kekaguman dalam dirinya terhadap Tun Mahathir.

Ketika pesawat melakukan terbang turun untuk mendarat saya merakamkan beberapa foto panorama Switzerland. Rasa terpesona melihatkan kecantikan semulajadi di negara orang namun harus tidak kita lupakan di mana-mana jua pun bumi yang indah tetap milik Allah.

Dan inilah LT Geneva pemandangan dari luar sebaik selepas mendarat. Macam biasa otak saya membuat perbandingan dengan KLIA lagi. Apa pendapat anda pula ?

Ketibaan kami di Geneva disambut oleh rakan-rakan di pejabat wakil kedutaan di UN Geneva. Untuk perjalanan di Geneva dan seterusnya ke Paris nanti kami akan dibantu oleh En. Petit Louie yang menjadi pemandu bas. Beliau berbangsa Perancis dan suka betul menyakat orang ..

Kami dibawa menginap di NH Hotel. Hanya 10 minit dari lapangan terbang. Namanya NH Airport Hotel. Selepas memunggah barang-barang masuk ke dalam bilik, kami terus berkumpul semula untuk bergerak ke Lausanne, sebuah bandar kira-kira sejam dari Geneva di mana terletaknya IMD Switzerland, sebuah institusi kepimpinan yang terletak di situ.

Sampai di sini dulu catatan ini buat sementara waktu, akan disambung lagi …

Catatan Perjalanan Europe (5) : Bicester Village

Bicester Village mengambil masa lebih kurang satu jam perjalanan dari London. Kedudukannya boleh dikatakan terletak di kawasan luar bandar. Kira-kira beberapa belas kilometer tidak jauh dari sini terletaknya Oxford University yang akan menjadi salah satu lokasi mesyuarat kami.

Di Bicester ini terdapat gedung membeli belah dengan harga borong. Berbagai-bagai kedai barangan berjenama terdapat di sini, seperti Clarks, Bally, Jimmy Choo, Diesel, Polo Ralph Lauren, Rebook, French Connection, Samsonite, TAG Heuer dan banyaaak lagi. Sesetengahnya jenama yang tak pernah terdengar di Malaysia. Ada lebih kurang 100 outlet di sepanjang deretan Bicester Village.

Namun sebelum itu, ingin saya ceritakan sesuatu. Apa yang pertama kelihatan bila kami sampai di Bicester.. Ada Tesco!! eHeH macam lah tak pernah tengok Tesco di Malaysia. Cuma yang menariknya, rupa-rupanya kalau di Britain, perniagaan Tesco turut membuka stesen minyak. Maksud saya stesen minyak TESCO. Bukan stesen Shell bersebelahan Tesco, tetapi stesen minyak jenama Tesco. Ya, sesuatu yang sepatutnya biasa sahaja tetapi mengundang senyum di kalangan kami apabila ada yang berkata ‘eH Tesco jual minyak lah!’.

Berbalik tentang Bicester Village, kedai-kedai di sini mula beroperasi agak lewat iaitu 12 tengahari. masa kami sampai agak lengang dan belum ramai orang sangat. Saya tak berbelanja sangat sekadar membeli beberapa helai t-shirt untuk anak isteri. Takut budget lari maklumlah baru sehari sampai ke UK. Di gedung kasut Clarks, tawarannya boleh tahan menarik. Beli kasut pertama dapatkan kasut kedua dengan potongan 50%.

Maknanya kalau ingin membeli sepasang sahaja kenalah berpakat dengan sesiapa yang boleh dibawa berunding di situ. Bolehlah berkongsi harga dengan lebih murah.

Saya lebih banyak menghabiskan masa dengan memerhatikan karenah orang putih. Ada beberapa perkara yang menarik perhatian saya. Selaku orang tempatan mereka menguasai gedung-gedung jualan sebagai peniaga. Membuatkan saya tersentuh, alangkah indahnya pemandangan ini kalau di Malaysia orang-orang tempatan (Melayu) yang memenuhi gedung beli belah sebagai peniaga.

Keduanya, mereka kerap benar melafazkan ‘sorry’ apabila menumpang lalu, terlaga bahu atau bertembung semasa berjalan. Juga sporting memberikan laluan seperti memberhentikan kereta untuk orang melintas. Hairan juga. Mereka dilihat bersopan dari segi itu namun dalam aspek lain seperti penyokong bolasepak lain pula cara mereka.

Apa pun Bicester Village tempat yang sungguh berbaloi kepada anda yang ingin bershopping barang jenama dengan harga murah. Lupa pula nak tulis .. sesetengahnya memang lebih murah, contohnya kasut Clarks .. walaupun dalam Pound masih murah jika dikira dengan nilai RM bagi Clarks yang dijual di Malaysia.

Nak cerita tentang Bicester ni banyak sangat rasanya, gambar saya di Bicester Village pun tak banyak jadi saya telah memilih laman web ini yang dapat menunjukkan suasana Bicester kepada anda.

Setelah menghabiskan beberapa jam di Bryster kami bertolak balik ke London. Cari tempat makan. Itu yang penting sekarang. Sudahlah mengambil masa sejam untuk balik ke London, terpaksalah menahan rasa lapar buat sementara. Dalam perjalanan itu kami berbincang tentang lokasi yang akan dituju untuk makan dan yang penting ialah restoran halal. Tentulah tidak menjadi masalah bagi Hairol yang memandu kereta kami.

Kami terus dipandu menuju ke sebuah restoran Pakistan bernama Salwa Tandoori. Memang tak susah nak mencari makanan halal di London. Malah tak susah pun kalau nak mencari nasi. Kos sahaja yang menjadi perkiraan. Apa lagi, dengan kelaparan bagai seekor harimau yang menunggu masa membaham rusa itu, terasa sedap sangat nikmat rezeki pada hari itu.

Waktu masih cerah (petang) pada ketika itu namun jam sudah pun menghampiri 8.00 malam. Sesudah makan kami balik ke Cumberland. Penat mula terasa. Esok tugasan pertama bermula di Switzerland. Kami akan menaiki pesawat dari Terminal 5 menuju ke Geneva.

(bersambung)

 

Catatan Perjalanan Europe (4) : The Cumberland

Sebelum turun ke lobi jam 9.00 pagi seperti yang dijanjikan antara kami tadi, saya sempat merakamkan beberapa gambar pemandangan dalam bilik hotel di mana saya menginap itu. Inilah pemandangannya. Amacam, best tak ?

The Cumberland terletak di Marble Arch berdekatan Oxford Street. Berhampiran dengannya terdapat pelbagai kemudahan. Oxford Street itu sendiri adalah deretan kedai sepertimana di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Malahan sesetengah kedai yang dimiliki oleh orang India, cara mereka berniaga adalah sama seperti di jalan TAR. Anda boleh bayangkan kedai-kedai permaidani di Jalan TAR dengan barangannya sampai ke atas kaki lima, begitu jua lah di sini. Kedai-kedai runcit banyak yang dioperasi oleh orang-orang Arab. Tidak terasa was-was jika hendak membeli roti. Malah berdekatan di situ terdapat sebuah restoran makanan segera Subway yang pekerjanya semua berbangsa Arab dan tertampal di pintunya ‘All Halal’.

Semasa menginap di Cumberland, saya mengalami sesuatu yang pelik. Tidak pula berlaku terhadap ahli-ahli delegasi yang lain, cuma saya sahaja. Iaitu, saya akan terkena renjatan elektrik bervoltan rendah setiap kali saya menyentuh butang-butang suis di lif. Tapi bila menghidupkan suis elektrik tidak pula berlaku apa-apa. Akibatnya setiap kali ingin menekan lif saya terpaksa menggunakan saputangan.

Lobi hotel ini istimewa kerana pencahayaannya berubah-ubah secara evolusi. Dari warna merah ke warna kuning dan seterusnya hijau, biru, ungu dan kembali ke merah. Kecuali gambar berlatarkan warna MERAH, gambar-gambar lain saya cari di internet untuk menepati apa yang saya tuliskan.

Ketika saya turun ke lobi, suasana amat berbeza dengan keadaan semasa kami tiba beberapa jam tadi. Tidak lagi sepi, lobi itu penuh dengan orang ramai yang baru tiba juga yang sudah sampai ketika meninggalkan hotel. Di luar bunyi kenderaan juga kedengaran jelas. Sudah bermula kesibukan di London.

Sementara menunggu ahli-ahli delegasi yang lain turun ke lobi saya terlihat surat khabar pagi itu yang menceritakan sesuatu tentang Taufan Nargis yang melanda Burma. Dalam entri Bhg.1 ada saya tuliskan tentang telah berlakunya satu kejadian semasa kami berada dalam penerbangan malam 3 Mei itu. Inilah berita yang saya maksudkan. Spontan saya terfikir, maknanya taufan itu telah melanda negara itu ketika kami berada dalam penerbangan yang laluannya melintasi Burma. Nah. Terpaku seketika saya memikirkan hal itu. Syukur Alhamdulillah kerana kami selamat melaluinya. Mungkin ketika taufan melanda kami sudahpun berada di luar ruang udara Burma.

Lewat sedikit dari jam 9.00 pagi kesemua kami telah berkumpul. Program untuk hari ini adalah ke Bicester Village. Awalnya tidak ada cadangan kami nak ke sana. Namun memandangkan hari ini sahaja lah merupakan hari cuti sebelum mula bertugas keesokan harinya Hairol dan Hafiz tidak keberatan membawa kami ke sana. Ya, lebih baik meluangkan masa dengan bersiar-siar daripada terperuk di bilik yang cantik di Cumberland itu. eHeH.

Sementara itu jika anda ingin melihat gambaran yang lebih jelas mengenai hotel ini, silalah lawat pautan The Cumberland di sini.

Ikuti tulisan mengenai kunjungan ke Bicester dalam entri yang seterusnya.

(bersambung)

Catatan Perjalanan Europe (3) : Mendarat di Heathrow

Lena tertidur dalam pesawat, saya terjaga sekitar 3 jam sebelum mendarat. Fajar sudah pun terbit di ufuk langit ketika itu dan kiranya sudah di penghujung waktu Subuh. Mengambil kesempatan kerana belum ramai yang sudah terbangun dari tidur saya segera ke tandas, basuh muka dan gosok gigi. Krew sedang bersiap-siap untuk menghidangkan sarapan pagi. Makan nasi lemak di ruang udara London. Saya membetulkan waktu di jam mengikut masa London. Sambil itu pemandangan hamparan bumi di kawasan sekitar Heathrow mula sayup-sayup kelihatan.

Kami mendarat di Heathrow waktu tempatan (London) 5.50 pagi bersamaan 12.50 tengahari waktu KL. Tidak terasa perubahan masa yang berlaku kerana saya merentasi bumi dalam keadaan malam; menaiki pesawat tengahmalam dan tiba di London subuh; walaupun tempoh penerbangan mengambil masa 12 jam.

Memasuki kompleks terminal, otak saya mula menganalisa. Jauh beza LT Heathrow jika dibandingkan dengan KLIA yang jauh lebih futuristik. Mungkin kerana usia LT Heathrow yang sudah lama itu. Namun rasanya, sewaktu LT Sultan Abdul Aziz Shah Subang masih beroperasi dulu, terminal antarabangsanya pun lebih baik. Pada hari berangkat ke Geneva nanti saya ingin membandingkan pula Terminal 5 Heathrow yang baru itu.

Melepasi pintu demi pintu yang dikawal oleh petugas Imigresen akhirnya saya tiba di kaunter pemeriksaan pasport. Tidak banyak kerenah. Pertanyaannya pun mudah. Meleset anggapan saya, kemungkinan berhadapan dengan pemeriksaan yang memenatkan. Pasport saya dicop dan rasmilah saya kini berada di rantau orang sebagai pengembara yang sah dari segi undang-undang.

Di LT Heathrow, apa yang saya perhatikan ialah agak ramai juga kakitangan Imigresen yang terdiri dari keturunan bukan kulit putih khasnya Arab dan India. Namun pasti mereka itu lahir dan bertaraf kerakyatan UK, kalau tidak manakan bertugas dengan Imigresen.

Bagasi saya yg seberat 10 kilo itu agak awal keluar dari pemunggahan. Keluar ke balai ketibaan delegasi kami disambut oleh En. Hairol dan En. Hafiz, wakil Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) London. Mereka berdua ini sebenarnya bekas student di sana. Selepas menamatkan pengajian mereka membuka perkhidmatan travel agent untuk delegasi Malaysia yang datang di atas urusan rasmi atau lawatan persendirian.

Kami dibawa menuju ke hotel ‘The Cumberland’ berdekatan Oxford Street iaitu sekitar 40 minit perjalanan dari Heathrow. Di sepanjang perjalanan saya asyik memerhati pemandangan di kiri kanan jalanraya. Tak terasa beza kerana ‘right-hand drive’.

Sekitar 6.00 pagi di sana telahpun cerah sepenuhnya. Suhu sekitar 18 darjah. Trafik masih lengang di pagi Ahad itu, maklumlah hari cuti. Hanya sesekali kelihatan orang berjoging atau berjalan di trek yang tersedia di tepi jalan. Kata Hafiz kalau hari Ahad aktiviti orang di sini bermula sekitar jam 8 nanti dengan mula berkunjung ke gereja. Ohhh. Tak terlintas langsung di fikiran saya sebelum itu.

Setibanya di Cumberland, si bell boy seorang pemuda kulit putih dengan senyumannya serta tangannya bertaut di dada sambil membuka pintu kereta lantas mengucapkan ‘Asalamualaikum!’ Wah ? saya sedikit kaget. “My name is Taufik” katanya lagi.Terkejut juga mulanya kerana tak sangka pula dia seorang Muslim. Rupanya dia berasal dari Turki. Namun permulaan sebegitu amat menyenangkan.

Urusan check in hampir-hampir menjadi masalah apabila kredit kad saya tak dapat dibaca oleh mesin. Namun syukur, masalah itu dapat diselesaikan. Kalau di Malaysia boleh lagi tumpang tidur di masjid, tapi jika di sini macam mana pula ??

Sebenarnya tak perlu dirisaukan, kalau berlaku sekalipun masalah penginapan di hotel terus sahaja ke Malaysia Hall (MSD) dan mintalah bantuan penginapan di sana. Itulah kelebihan yang kita ada di London.

Masuk ke bilik sahaja saya terus merebahkan diri di katil. Walaupun cukup tidur dalam pesawat namun masih terasa juga letihnya. Tapi tak lama kerana kami telah diarahkan untuk berkumpul semula di lobi tepat jam 9 pagi.

Oleh kerana hari ini Ahad dan esok sahaja baru bermulanya tugasan maka kami akan mengambil peluang dalam sehari ini untuk berjalan. Kami akan ke Bicester … ikuti kisah entri seterusnya.

(bersambung)