SELAMAT HARI PAHLAWAN 2009

Posted in Patriotis, Tugas on Julai 31, 2009 by jeff

hari ini 31 Julai adalah Hari Pahlawan. hari yang dipilih khas untuk memperingati jasa pahlawan negara yang telah berkorban nyawa dalam mempertahankan ‘tempat tinggal’ kita hari ini sejak berpuluh tahun yang lampau.

marilah kita luangkan sedikit masa mendoakan kesejahteraan mereka yang telah terkorban. kepada yang beragama Islam …

…. AL FATIHAH …..




… semoga roh mereka dicucuri rahmat.

saya bukanlah anggota polis atau tentera yg pernah bertempur dengan musuh negara. saya cuma seoarng anak Malaysia yang sedar bahawa ..

kita beroleh rahmat bahagia, yang tuhan kurniakan ..

kerana sebelum kita hidup lagi, ada generasi yang sanggup memulangkan nyawanya kepada tuhan .. hanya untuk demi memastikan saya dan anda semua hidup dengan aman bahagia sehingga hari ini.

mereka telah berikan segala-gala milik mereka demi generasi kemudian
mereka (generasi kita); masa, tenaga, keringat, airmata, semangat, jiwa dan kemuncaknya nyawa.

adakah kita mampu memberikan yang sama untuk generasi kemudian kita?

SELAMAT HARI PAHLAWAN

Ku Pohon Ampun Darimu Kawan

Posted in Uncategorized on Mac 30, 2009 by jeff

ribuan ampun saya pohonkan. kerana ucapan tak berjawab. email tak berbalas. saya akan kembali menulis Insya Allah satu hari nanti. tetapi belum lagi buat masa ini.

Salam Tahun Baru

Posted in Kehidupan, Keluarga, Tugas dengan label , , on Disember 30, 2008 by jeff

satu lagi tahun telah berlalu. aktiviti semakin sibuk. tanggungjawab semakin besar. amanah semakin berat.

dalam tahun yang telah dilalui itu, adakah apa-apa perubahan yang telah kita lakukan ? kemajuan yang telah kita capai ? sudah tertunaikan amanah selaku khalifah mukabumi yang dipikul setakat ini?

dengan berlalunya ’satu tahun’ itu ertinya destinasi ke negeri abadi juga semakin hampir. aduh. belum cukup persiapan hamba Mu ini wahai Allah.

Sempena 1 Muharram 1430 Hijrah dan 1 Januari 2009 Masihi yang bakal tiba, mudah-mudahan kita semua diberikan jalan yang dipermudahkan dalam menjalani urusan-urusan seharian serta diberikan kesabaran dalam menghadapi dugaan-dugaanNya.

Amin.

Mencari Embun Hutan Simpan Di Royal Belum

Posted in Kehidupan, Kembara, Tugas dengan label , , , , , , , on Oktober 21, 2008 by jeff

Saya dalam persiapan untuk menyenaraikan diri saya sebagai antara beribu orang yang pernah memasuki Royal Belum, Grik, Perak.

Saya ingin melihat dan menyaksikan kebesaran Allah dalam sejuknya hutan simpan itu. Ketenangan tasiknya, Kejernihan sungainya. Ketuaan alamnya. Ketinggian puncak pokoknya. Kekerdilan serangganya. Keheningan sekitarnya. Agar dengan itu saya mengerti akan siapa sangatlah diri saya, seorang hamba.

Jika hujan turun saya ingin duduk di luar khemah, merasai kesejukannya. Di waktu subuh sambil berwudhu, saya ingin menyapu kelopak mata dengan embun di dedaunan.

Saya ingin mendengar irama riang ria serangga dan unggas di hutan itu sebagai ganti kepada petikan gitar dan paluan drum yang menjadi halwa telinga kala di kota.

Bila siang, saya ingin mengintai matahari di sebalik daunan pokok hutan yang tinggi. Bila malam saya ingin merenung rembulan dan duduk depan unggun api, sambil masak air (macam cerita koboi lah tu, konon).

Saya ingin berbual dengan pokok yang beratus tahun hidup lebih dulu dari saya dan saya ingin bertanyakan perasaan mereka melihat negara ini dilahir dan dibesarkan.

Oh iya. saya juga ingin kenduri sardin sebagai menu utama selama di hutan. Nantilah apabila pulang saya ceritakan perjalanan 4 hari ini (tak lama mana pun). Terlebih dahulu saya bermohon doa agar kamera tidak jatuh ke air agar dapat saya merakamkan gambar-gambar seperti ini …

saya mencari gambar Royal Belum untuk ‘dipinjam’ dan berjumpa dengan blog Glenda Larke seorang penulis, pengembara dari Australia yang menetap di Malaysia. so I borrowed her photo..

[ waaw.. matching giler warna blog dengan gambar ]

terus melangkah ..

Posted in Kehidupan, Kembara on Oktober 13, 2008 by jeff


Sejak mula blog ini ditulis segalanya adalah mengenai “hidup ini nostalgia dan nostalgia itu hidup”. Namun, walau apa pun yang berlaku hari ini dan semalam “hidup ini mesti diteruskan”.

Justeru itu, aku teruskan blog ini dengan inspirasi baru.

this photo is by englishpianoblocker

Di Raya Ini.. Atuk Opah Dah Tak Ada

Posted in Belasungkawa, Keluarga, Masa Kecil, Puasa n' Raya, nostalgia dengan label , , on September 24, 2008 by jeff

‘Opah dah takda’ itulah ungkapan adik bongsu saya melalui panggilan telefon petang Ahad 21 Ramadhan.

Makin ke penghujung, makin mencabar perjalanan Ramadhan tahun ini. Minggu lepas Pak Da (sebelah isteri), dua hari kemudiannya berita kehilangan sahabat yang amat dikasihi Khairil Hisyam Ahmad yang amat menyentap perasaan. Dan hari ini sampailah pula masanya untuk opah dijemput pulang.

Abah ? Jelas dia cuba berselindung di sebalik ketabahan diri walaupun saya tahu dia tidak dapat membendung kesedihannya.

Sementara berbuka puasa dalam keadaan serba sederhana, kami adik beradik dan ipar duai berbincang. Mujur saja semuanya berkumpul iftar di rumah abah petang itu. Senang keputusan dicapai. Masing-masing sepakat ambil cuti. Selepas berkemas ala kadar, kami bertolak balik ke Bendang Panjang, Kuala Kangsar, Perak. Abah dan emak naik kereta saya. Seboleh-bolehnya saya cuba mengelakkan perbualan yang menjurus ingatan terhadap opah walaupun saya tahu itulah perkara yang sedang bermain difikiran semua orang.

Laluan perjalanan juga sedikit sukar di dalam hujan lebat. Pada kala tiada perbualan, saya melayan perasaan seorang diri dan memutar kembali ingatan silam.

21 tahun dulu (1987) atuk pulang menyahut panggilan Illahi. Jauh benar beza masanya dengan opah. Masa itu umur arwah atuk 65 tahun.

Saya masih ingat lagi, abah datang mengambil saya di sekolah pada waktu petang. Malangnya pada masa itu saya sedang didenda berdiri atas kerusi oleh cikgu Bahasa Inggeris, Encik Megat namanya. Entah apa halnya saya pun tak ingat tapi lebih dari separuh kelas sedang berdiri atas kerusi pada masa itu. Ketika berjalan bersama abah, saya takut juga kalau-kalau ditanya tentang denda itu. Tapi abah sebaliknya berkata ‘atuk sakit tenat, kita balik kampung’.

Terus hati dihimpit sayu. Masih saya ingat lagi, pada masa itu baru sahaja lebih kurang sebulan atuk dan opah balik ke Kuala Kangsar selepas datang menziarahi kami di Kuala Lumpur. Ketika berada di rumah kami, atuk menyediakan hidangan nasi tomato ; resepi gubahannya yang lazat. Sampai sekarang pun kalau menjamah nasi tomato saya akan teringatkan atuk, kerana setakat ini belum lagi saya terjumpa nasi tomato yang sama rasanya dengan masakan atuk.

Kalau hari raya pula, atuk buat laksa. Laksa Kuala lain dengan laksa penang walaupun lebih kurang sama dari segi rupanya. Laksa Kuala dibuat dari tepung gandum. Kuahnya pula lebih pedas. Tak semestinya ada telur rebus. Kalau pada hari raya, laksa cepat habis. Kalau habis laksa minum (hirup) saja kuahnya.

Atuk juga, adalah orang yang bertanggungjawab yang memperkenalkan saya kepada ‘meriam’. Bukan meriam buluh tetapi meriam batang paip. Di kebunnya, suatu hari datang sekawan kera yang berhajat menikmati buah-buahan yang masak ranum. Atuk duduk diam-diam sahaja, saya pula yang disuruhnya menembak meriam.

‘pegi tembak’

‘tak pandai le atuk’

‘bukan budak lelaki kalau tak reti’. saya masih berdiam lagi.

‘cammana nak jadi askar ni??’ kata atuk sambil mencebik.

Itulah ayat yang mendorong kaki saya terus berjalan laju ke arah meriam. Berpandukan apa yang disuruh atuk saya pun mula menuangkan kabaid, air dan mencucuh api.

‘Busssss !!’ bunyi pertama yang dikeluarkan oleh meriam itu mengundang ketawa atuk. ‘Rupe bunyi kentut’ katanya. Ah tak boleh jadi. Saya diketawakan atuk.

Sekali lagi saya ulang proses-proses yang telah diajar dengan berhati-hati dan cukup sukatannya. Kali ini .. ‘denttuuummmmm !!!!!!’. Bertempiaran kera lari. Saya sendiri tergolek ke tepi kerana terperanjat dengan bunyi yang sama dengan dentuman meriam betul itu. ‘Nak buat lagi, boleh atuk?’. Dah rasa seronok. ‘Udah, mari kita balik’ katanya. Hampa saya.

Ah jauh pula saya menyimpang dalam tulisan ini. Berbalik tentang perjalanan pulang ke kampung selepas mendapat berita atuk sakit tenat, masa tu belum ada lebuh raya PLUS. Abah memandu laju di jalan lama sehingga terkena perangkap had laju. Polis trafik yang menahan kereta abah, apabila diberitahu tentang ada kecemasan di kampung sempat lagi berpesan pada abah ‘kuala kangsar tu jauh lagi nak sampai encik! sayangkan keluarga yang ini dulu’. Tanpa apa-apa saman kami dilepaskan, dan apabila diingati balik saya kagum dengan kehalusan taktik anggota polis dulu-dulu menasihatkan pemandu.

Namun apakan daya, setibanya kami di sana atuk sudah tiada lagi. Baru saja dalam sejam meninggal dunia .. Saat-saat arwah atuk dimandi, dikafan dan disolatkan masih segar dalam ingatan saya. Tempat-tempat di dalam rumah, di mana jenazahnya diuruskan masih jelas terbayang. Opah menangis setiap kali anak-anaknya seorang demi seorang tiba di rumah.

Dan kini, perjalanan malam itu adalah untuk menziarahi jenazah opah pula.

Opah seorang yang istimewa. Kalau hari raya, tak kan sah kalau tiada halwa kundur. Buah kundur yang dimasak dengan kuah air gula pekat manis. Pajri? Bukan setakat pajri terung atau nenas, pajri rambutan juga salah satu masakannya yang menambat hati. Dan bila rambutan sudah terlebih-lebih dalam musimnya, tidak habis dimakan, opah buat jem rambutan. Home made jam. Sapu dengan butter kat roti.

Opah juga gemar berpantun. Terima sahaja dengan kaku kalau pantun empat kerat yang terlontar dari mulutnya mengandungi persoalan yang sukar dijawab. Sudahlah nak menjawab pantun secara spontan menjadi satu masalah, nak memikirkan apa yang hendak dijawab apalah pula lagi. Saya sukar sekali menepis pantunnya terutamanya ketika di zaman bujang, bila soalannya bertanyakan bila nak kahwin.

Satu lagi, opah gemar memberi nama timang-timangan kepada cucu-cucunya. Macam macam nama diberi. Di masa saya kecil, opah memanggil saya ‘enche musa hitam’ : )   Entah kenapa saya pun tak tau, agaknya mengharapkan saya menjadi timbalan perdana menteri satu hari. sangat besar kemungkinannya itu tidak akan berlaku.

Malam itu sebaik sampai di rumah yang penuh nostalgia itu, jenazah opah terbujur kaku. Sama di sudut jenazah atuk dibaringkan dulu. Abah hiba menatap wajah emaknya. Begitu juga emak. Kami cucu dan menantu juga tak dapat menahan perasaan. Perlahan-lahan saya cuba kuasai diri saya semula dan kami bacakan Yassin dan tahlil untuk arwah.

Keesokannya, urusan memandi dan mengkafankan jenazah diuruskan oleh orang-orang wanita. Cicit-cicitnya termasuk anak saya tekun sahaja melihat urusan mengkafan dijalankan. Pengalaman pertama kali menyaksikannya. Perjalanan terakhir menuju pusara dan urusan pengkebumian berjalan lancar. Arwah opah disemadikan bersebelahan pusara arwah atuk. 20 tahun masa memisahkan mereka, kini mereka disemadikan sebelah menyebelah di alam barzakh.

Al Fatihah. Haji Abdul Hamid bin Rodin (1922-1987) dan Hajah Halijah Mat Saman (1922-2008).

_____________________________________________________________

Salam Aidil Fitri kepada semua. Saya menyusun jari sepuluh memohon segala ampun dan maaf atas apa jua kesalahan yang saya lakukan. Ramadhan berbaki seminggu, semoga pengabdian diri dalam 10 malam terakhir membuahkan hasil. AMIN.

‘SELAMAT HARI RAYA’

Ziarah Ke Rumah Arwah Khairil Hisham Ahmad

Posted in Belasungkawa, Kehidupan, Tugas dengan label , on September 21, 2008 by jeff

Alhamdulillah pada hari Sabtu jam 11.30 pagi, di atas usaha beberapa ahli batch The Orange khasnya sdr. Atan dan Azeze, satu rombongan menziarahi keluarga arwah telah diadakan dengan dihadiri kira kira seramai
hampir 50 orang.

Tujuan ziarah adalah untuk usaha mengurangkan rasa sedih keluarganya, menyampaikan ta’ziah dan rasa simpati di samping menyampaikan rasa kasih dari kwan-kawan arwah.

Dalam ziarah itu satu kutipan spontan telah dibuat dan sejumlah hampir RM 1000 telah diserahkan kepada bapa arwah, En. Ahmad.

Keadaan keluarga arwah semasa diziarahi, mereka dalam keadaan sugul dan sangat bersedih. Saudara Zuhairi kemudiannya telah memimpin bacaan tahlil.

Antara kawan2 yg hadir ialah : Azeze/Jaja, Atan, Naim, Ezan/husband, Hidayat, Safuan, Nasim, Surya, Unny Sankar, Ang Li Ling, Alai, Johan, Kamarul Arifin, NAsrol, Hafiz, Ida Syahrina, Syuk,  (saya tak dapat nak ingat lagi yg lain2, ramai sangat .. minta maaf ya)

Terima kasih kami ucapkan kepada kawan2 yang telah meluangkan masa untuk menyertai ziarah tersebut, hanya Allah memberikan ganjaran pahala kepada kalian. Harapnya lebih ramai lagi akan dapat meluangkan masa pada majlis pengkebumian hari Isnin nanti.

Khairil Hisham Ahmad Dalam Kenangan

Posted in Belasungkawa, Tugas dengan label , , , on September 20, 2008 by jeff

Baru sahaja dalam entri yg lepas bercerita tentang kematian.

Satu lagi kehilangan berlaku dalam Ramadhan ini ..

Dia rakan yang tidak pernah tinggal dalam berbuat kebaikan bukan sahaja kepada saya tetapi semua kawan se-batch yg lain. Khusus bagi saya, kenangan bersamanya paling banyak diingati ketika kami berada dalam satu pasukan semasa mengharungi payah getir di Outward Bound School di Lumut, Perak tahun 2004. Segalanya terasa bagai baru sahaja dilalui semalam.

Beliau meninggalkan Malaysia sekitar 2006 kalau tidak silap saya untuk memulakan tugas di Kedutaan Malaysia di Tripoli Libya. Speninggalan beliau ke sana tidak lagi kami berjumpa. Dan semalam 18 Sep 2008 / 18 Ramadhan 1429, dia pulang menyahut seruan Illahi. Kemalangan jalan raya dalam menjalankan tugasnya. Ketika kejadian isteri dan anak2 berada di Malaysia. Anak keduanya baru sahaja lahir pada bulan 6 yang lalu dan kini usianya baru 2 bulan. (sigh).

Ya Allah ketentuan ini adalah atas takdir Mu jua, lalu Kau berikan lah keluarganya ketabahan. AMIN

Al Fatihah kepada Allahyarham Khairil Hisham bin Ahmad. Semoga kau tenang bersemadi, mendahului kami yang akan menyusul jua nanti.

Buat rakan2 Orange yang lain, cadangan mengumpul sumbangan boleh dilihat dalam yahoogroup kita.

Belasungkawa tulisan rakan-rakan lain :

berita kemalangan oleh Azral

pengesahan Wisma Putra oleh Wan Rafidah

ziarah ke rumah keluarga arwah di blog ini

pengumuman ketibaan jenazah oleh Mr Otec di blog Azral

upacara pengkebumian oleh Abu Wafi

emel daripada abang arwah oleh Wan Rafidah

kenangan mengerjakan umrah oleh Azral

sajak mengingati arwah oleh Shahir di blog Azral

tulisan di blog Badd

tulisan di blog Hartini

tulisan di blog Abu Wafi

Bagaimana Pula Matinya Aku ?

Posted in Belasungkawa, Kehidupan, Muhasabah dengan label , , , on September 18, 2008 by jeff

(sumber foto)

Biasa dah kita bercakap tentang mati. Ringan sahaja mulut kita mengeluarkan kata-kata seperti mati itu benar, entah bila kita kan mati, mana lah tahu umur saya ni tak panjang, eh meninggal dah dia tu, ish baru je semalam bercakap dengan si arwah, semoga rohnya dicucuri rahmat, mati dalam iman, mati itu mati ini …

Lepas solat juga kita berdoa atau meng-aminkan doa-doa yang dipimpin oleh imam mengenai memohon dimatikan dalam Islam, dimatikan dengan cara yang baik dan sebagainya.

Telah banyak kali kita mendengar berbagai-bagai tazkirah berkaitan mati. Banyak kali juga kita sudah menonton filem dan drama televisyen yang menunjukkan aksi-aksi kematian. Berita tentang selebriti atau tokoh mati pun selalu kita dengar dengan penuh rasa terperanjat.

Tidak kurang banyaknya juga kita menziarah jenazah dalam perjalanan terakhirnya ke kuburan. Lebih dari itu antara kita  pernah ada yang melihat sendiri bagaimana kematian berlaku di hadapan matanya. Tentu sekali ia menjadi saat yang tak dapat dilupa.

Dalam Ramadhan ini sepertimana bulan-bulan yang lain juga, kematian tetap berlaku. Kita kehilangan akan sanak saudara dan ahli keluarga. Bapa saudara isteri saya, PakDa baru sahaja meninggal pada 16 sep. Tahun lalu Pak Anjang saya juga menyahut panggilan Illahi dalam Ramadhan. Mengenang pemergian mereka-mereka itu membuatkan saya berfikir agak jauh tentang nasib diri sendiri kelak.

Iaitu, persoalan tentang bagaimana agaknya ketentuan takdir untuk diri saya nanti. Bagaimanakah keadaan yang Allah tentukan untuk nyawa saya diambil (dan anda semua juga) ?

Itu juga antara perkara yang dah banyak kali mungkin kita pernah fikirkan. Namun sedalam manakah dan sejauh manakah kita memikirkannya?

Mudah-mudahan untuk diri ini dipermudahkan kelak urusan yang sesakit tikaman 300 mata pedang ini. Ini hanya apa yang saya fikirkan, sedangkan Allah SWT berkuasa mematikan kita dengan apa cara yang dikehendakiNya jua ..

Mati sakit tua
Mati semasa tidur
Mati selepas solat

Mati melahirkan anak
Mati tak dapat bernafas
Mati sakit dada
Mati sakit jantung

Mati demam denggi
Mati barah otak
Mati leukimia

Mati ditimpa pokok
Mati disambar petir
Mati terkena eletrik
Mati bangunan terbakar

Mati kelaparan
Mati kehausan

Mati termakan racun
Mati disihir ilmu hitam

Mati kapal terbang terhempas
Mati kemalangan kereta
Mati feri karam
Mati jatuh motosikal
Mati dilanggar lori

Mati jatuh dari bukit
Mati jatuh dari bangunan
Mati jatuh ke lubang dalam

Mati dalam tsunami
Mati dalam puting beliung
Mati dalam banjir

Mati lemas di sungai
Mati lemas di laut

Mati selepas dirompak
Mati selepas diculik

Mati ditembak
Mati dipukul orang
Mati ditetak
Mati disembelih
Mati ditikam

Mati dalam letupan (perangan)
Mati disiksa (perang)

Mati dibaham harimau
Mati ditelan ular sawa
Mati dipatuk ular tedung
Mati dibaham jerung
Mati dibaham buaya

Mungkin sesetengah cara kematian itu kita hanya dengar pernah berlaku kepada orang lain. Kita rasa gerun, kita rasa tak mahu terjadi ke atas diri kita. Namun siapa lah kita untuk menidakkannya.

Kawallah rasa terperanjat bila mendengar sesuatu kematian. Kawallah rasa sedih pabila menerima berita kematian. Namun jangan dikawal rasa takut pada Allah kerana kita pasti akan menyusul selepas itu. Ada orang matinya hanya berselang minggu. Biasa lah dialog macam di bawah ni ..

” … eh seminggu yang sudah baru je lebai tu meninggal, hari ni dah pak haji tu pulak meninggal … ”

Siapa tahu nasib kita, mungkin berselang hari sahaja ? Biarlah takut itu menguasai diri kita. Ibarat kita menanggung ketar lutut menunggu giliran nak cabut gigi, gementar tak dapat ditahan-tahan.

Mudah-mudahan kita diberi mati yang baik caranya. AMIN.

Berlakunya Nuzul Quran

Posted in Muhasabah, Puasa n' Raya dengan label , , , on September 18, 2008 by jeff

(sumber gambar)

“Gua Hira’ – di sini turunnya wahyu yang pertama, rahmat ke atas kita semua”

Sebelum ini saya memanjangkan perkongsian ilmu mengenai peristiwa pembukaan Kota Makkah pada 10 Ramadhan berdasarkan tazkirah Ramadhan yang disampaikan di surau dekat rumah saya. Insya Allah kali ini saya cuba memanjangkan pula ilmu yang disampaikan di surau sebelum solat tarawih tadi sempena peristiwa bersejarah Nuzul Quran.

Pada saya (secara peribadi) agak tidak adil untuk diri kita sendiri kalau menikmati cuti am Nuzul Quran tanpa mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dalam peristiwa itu. Alangkan cuti 31 Ogos pun kita disuruh menghayati kemerdekaan seawal sekitar pertengahan bulan Ogos lagi. Ini kan pula satu-satunya peristiwa besar yang menjadi titik tolak kepada jadinya kita ini sebagai penganut agama Islam. Jadi, cuti tu cutilah juga ya tapi mudah-mudahan pada masa-masa akan datang kita cubalah membawa suasana cuti Nuzul Quran itu selari dengan temanya.

Kalau Maulidur Rasul kita menghayati perjuangan Nabi SAW, ada perarakan dan majlis2 sebagainya. Kalau Maal Hijrah kita hayati hijrah Nabi SAW. Kalau 31 Ogos kita kibar bendera. Maka untuk Nuzul Quran kita carilah ruang untuk menghayatinya semampu yang boleh (Itu adalah pesan untuk diri saya sendiri khasnya).

Alhamdulillah di surau malam tadi, Ustaz Wan yang dijemput dari UPM telah berkongsi tentang peristiwa Nuzul Quran. Antara yang disampaikan beliau adalah seperti berikut.

___________________________________________________________________________

Tarikh peristiwa nuzul itu ada perselisihan pendapat di kalangan ulama. Sumber hadis tidak sahih, ada yang mengatakan 7hb, 14 hb, 21hb tapi sebahagian besarnya berpendapat ia berlaku pada 17 Ramadhan. Lalu peristiwa nuzul Quran pd 17 Ramadhan itu juga dengan sendirinya adalah peristiwa perlantikan Nabi SAW sebagai Rasul yang terakhir.

Penurunan Quran sebagai wahyu kepada Nabi SAW juga berlaku dengan istimewa. Dari Loh Mahfuz (langit ketujuh) Allah SWT menurunkannya sekaligus (30 juzu’) ke langit dunia. Dan dari langit dunia Jibrail a.s menurunkannya (menyampaikan) sedikit demi sedikit kepada Nabi SAW selama 23 tahun.

Berkaitan dengan itu juga, wahyu pertama yang disampaikan oleh Jibrail a.s kepada Nabi SAW itu adalah pada malam Lailatul-Qadar iaitu berdasarkan surah Al-Qadr.

Namun pengkisahan perisitwa di atas hanyalah sebagai pengenalan kepada kita dalam mengenali Nuzul Quran. Lebih dari itu, yang lebih penting adalah perlunya umat Islam menghayati pengajaran dalam peristiwa Nuzul Quran itu. Jika dilihat, ayat pertama (wahyu) yang diturunkan iaitu “Bacalah” adalah asas kepada perlunya kita kembali kepada membaca dan memahami Quran.

Kalangan umat Islam pada hari ini, sukar untuk menemui orang yang memahami maksud al Quran. Mungkin ada yang memahami terjemahan. Tetapi memahami Quran dari segi tafsir sukar ditemui. Lalu wujud sesetengah golongan pada hari ini yang mentafsir Quran mengikut fahaman sendiri, misalnya berdasarkan terjemahan semata-mata.

Tidaklah boleh diterima perbuatan sedemikian. Mentafsir Quran perlulah mengikut panduan yang diberi oleh ulama muktabar. Berdasarkan contoh dan sejarah, Umar al Khatab yg merupakan sahabat Nabi SAW yg dijamin syurga pun mempelajari surah al Baqarah selama 8 tahun sebelum benar-benar memahami tafsirnya.

Justeru, bagi sesiapa yang mentafsir Quran mengikut akalnya semata-mata dikhuatiri termasuk dalam golongan yang disebutkan dalam hadis sebagai ‘golongan yang menyediakan tempat duduknya sendiri di dalam neraka’.

Para ulama muktabar, dalam memberikan tafsir berhubung hukum hakam dalam Quran sebenarnya berperasaan takut sebelum menfatwakan sesuatu perkara. Ini kerana, mereka secara langsung bertindak sebagai ‘jurucakap’ kepada Allah.

Simboliknya, bayangkan jika seseorang yang dilantik sebagai jurucakap kepada seorang pemimpin dan apa yang dicakapkannya itu pula adalah bercanggah dengan maksud asal yang disampaikan oleh pemimpin itu. Tentulah menimbulkan kemarahan kepada pemimpin berkenaan dan mungkin jurucakap itu akan dikenakan hukuman. Maka apatah lagi halnya kalau menjadi jurucakap kepada Allah dalam menerangkan maksud kata-kata Allah SWT sendiri?

Sebagai kesimpulan, Ustaz menyifatkan kelemahan umat Islam hari ini kerana gagal memahami / menghayati maksud wahyu pertama (“bacalah”) itu sendiri. Maka sebaiknya kita luangkanlah masa membaca al Quran dengan memahami maknya dan seterusnya ditingkatkan dengan memahami tafsirnya. Luangkan sedikit masa setiap hari (pagi atau petang atau tengahari, yg mana sesuai) untuk memahami makna al Quran, mulakan dengan bacaan dalam solat dulu. Tidak megapa kalau perlahan-lahan, seperti teladan dari pengalaman Umar al Khattab yang dinyatakan tadi.

Apa-apapun sebaiknya haruslah berguru dengan yang berkelayakan (di surau, masjid atau institusi islam misalnya).

Wallahu alam bissawab.

___________________________________________________________________________

Notasaya 1 : Eloklah kita mengambil iktibar atas peristiwa yang berlaku di sekitar kita khasnya dalam kemelut politik melanda hari ini, khasnya ‘isu tafsiran wanita bertudung’ baru-baru ini sebagai sempadan dan mudah-mudahan Allah memberi petunjuk kepada yang telah tersasar.

Notasaya 2: Kalau majoriti umat Islam dapat mengamalkan apa yang disarankan di atas dengan betul, mungkin akan terbuka hikmah dan jalan kepada pembinaan bangsa-ummah yang lebih baik berbanding sekarang. Dengan sendirinya juga, generasi di bawah dari kita akan mula berpaling dari hiburan yang terlampau seperti tv realiti, konsert2 dsb.

Notasaya 3 : Semoga ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Wan dihalalkannya untuk dipanjang-panjangkan di kalangan kita dan semoga beliau diberi ganjaran pahala atas kebaikan yang kita perolehi dari nasihat ini.

Lagi mengenai Nuzul Quran :

ahmadzaki.wordpress.com
al-azim.com
ibnismail.wordpress.com